Sunday 29 June 2014

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK


Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia rahmatNya kita bersama-sama sekali lagi bertemu Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang dijanjikan oleh Allah dan RasulNya seribu satu keberkatan di dalamnya.

Di kesempatan ini, kawan menyusun sepuluh jari memohon keampunan andai kedapatan tulisan kawan yang mengguris hati sesiapa, juga kedapatan tulisan kawan yang tidak menepati selera mana-mana pembaca. Kawan menulis dari hati, dari pengalaman, dari pengamatan yang sangat cetek dan gelap. Maafkan kawan.

Di kesempatan ini juga, marilah kita menjernihkan mana-mana yang keruh antara kita. Cukup-cukuplah dengan segala perselisihan yang pernah bertandang sesama kita. Kita gantikan dengan hubungan baru yang lebih utuh, yakni saling sandar-menyandar antara kita, bangsa buah pukul.

Perisikanlah Ramadhan kita dengan amal ibadah yang sudah pun kita istiqamahkan selama ini. Bagi yang baru berjinak-jinak nak memulakan amal macam kita-kita ni, sekaranglah masa terbaik, memandangkan keseluruhan umat Islam bermotivasi untuk beribadat.

Jadikan bulan ramadhan ini sebagai bulan memohon keampunan Allah dan syafaat Rasulullah s.a.w. Jadikan juga bulan ini sebagai bulan keramat mengisi 'kebatinan' diri kita. Bab batin-batin ni, bukanlah nak jadi kebal, nak jadi handal, nak terbang-terbangkan orang. Kebatinan di sini bermaksud proses penyucian rohani. Kalau selama ini rohani kita tercemar dengan sifat-sifat mazmumah seperti sumaah, ujub, riak, takbur, sombong, iri hati, dan lain-lain, kita bersihkan dengan sifat-sifat mahmudah, dan teruskan beristiqamah walaupun habis bulan Ramadhan.

Itu sebab, ada yang memanggil bulan Ramadhan sebagai "Universiti Tarbiyah Ramadhan". Tarbiyah yang diperolehi dan dilatih sepanjang Ramadhan, diamalkan dan diteruskan ke bulan-bulan berikutnya, sepanjang tahun, sepanjang hayat.

Kalau kita biasa mendengar orang dulu-dulu mencari kehebatan dan penyucian rohani dengan bertapa, bersuluk dan lain-lain, jadikan bulan Ramadhan ini untuk kita berjinak-jinak dengan amalan kerohanian yang sederhana, namun penuh keberkatan dan terhindar dari fitnah. Beramal bukan mengejar pahala, tapi memohon rahmat Allah dan syafaat Rasulullah. Tapi dapat pahala, Alhamdulillah. Itupun kita tak tau amalan kita nilainya bagaimana di sisi Tuhan. berserah sahajalah padaNya.

Tapi, tak salah nak uji diri kita di bulan mulia ini. Kalau sepanjang bulan sebelum Ramadhan ini, kita berlatih buah pukul bagai nak rak, berlatih fitness sampai katang-katang badan, menelaah teori-teori, falsafah-falsafah, petua-petua dan berdebat pula dalam medan maya, di bulan mulia ini kita uji pula kesanggupan kita beribadat sekuat mana. Buah pukul itu sampingan sahaja, yang penting 'buah' akhirat kita. Cuba tengok larat mana kita menyudahkan solat fardhu dan solat sunat terawih berjemaah. Kalau full tiap-tiap hari, sebulan ni, alhamdulillah. Kalau celam-celup, kejap lapan kejap full, kita faham sendiri kita di mana.

Kita tau 'kebatinan' kita setakat mana..

Selamat berpuasa semua, dari kawan..........

No comments:

Post a Comment