Monday 9 June 2014

PANDUAN BERGELANGGANG DI MEDAN MAYA

Kawan panas hati jugak sebenarnya. Namun, mungkin berkat selawat, sejuk sikit hati. Memang pesan asatizah, kalau hati rasa berbara, lekas-lekas berselawat dan beristighfar.

Ternyata Lian Padukan sekali lagi ditarik ke medan balah. Itulah kita gayanya. Kita diam, pun kena kata. Kita berkata-kata, lagilah kena kata.

Maka, kawan tulis garis panduan untuk diri kawan sendiri, sebagai sempadan.

1. Jangan membandingbeza lian lama dengan Lian Padukan di medan maya. Cukuplah diperbincangkan di gelanggang secara ilmiah. Fahamilah yang Lian Padukan terhasil dari kaji selidik Arwah Pak Mat secara ilmiah, dengan diperkasakan lagi oleh Arwah Razak dan diperkembangkan oleh Haji Hasyim, dan sudah pun ada tesis-tesis yang dibuat memperihalkan tentang Lian Padukan, daripada tugasan peringkat sekolah hinggalah PhD.

2. Jangan menyampuk apabila nama Lian Padukan mula ditarik-tarik oleh sesiapapun yang sedang cuba menyiram minyak ke bara perbalahan. Baca komen-komen yang ada diam-diam, sudah. Nak lagi best, baca komen yang berpuluh-puluh, hatta beratus-ratus itu dengan biskut bercicah kopi.  Hati yang panas boleh jadi damai saat mulut mengulum biskut.

3. Adatlah dunia. Lebih berjaya, lebih banyak orang mengata. Kalau kita letak dirikita di kalangan orang berjaya, mengapa perlu melatah dengan kata-kata. Orang lama dah berpesan, setakat kata-kata tak meninggalkan kudis. Orang lama juga ada pesan, anjing gigit kaki kita, takkan kita nak gigit kaki anjing tu balik.

4. Jangan kaitkan atau tarik nama Ayahanda Haji Hasyim ke kancah perbalahan. Kalau kita tengok pun, Ayah berfesbuk untuk ukhwah. Dan kita sendiri pun berfesbuk untuk berukhwah, bukan cari balah. Tak perlu di 'tag' nama beliau pada komen-komen tak tentu hala.

5. Sebagai ahli Lian Padukan, cuba jangan masuk campur kalau ada apa-apa perbincangan sensitif yang melibatkan nama kita.  Untuk yang terbaru, kawan terlihat di group Perguruan Buah Pukul. Kawan perhatikan, tiada seorang pun guru-guru khatam Lian Padukan turut serta berkomen (setakat tulisan ini). Walaupun mungkin nampak yang pihak Lian Padukan tidak cuba membersihkan namanya, namun kita harus faham, yang medan fesbuk itu bukanlah tempatnya. Tempatnya di gelanggang! Mereka nak menegak kita, merekalah yang wajib ke 'rumah' kita! Ada ahli-ahli yang terlepas komen juga, kawan ucapkan terima kasihlah kerana tetap berusaha membela perguruan dan guru kita.


Apa lagi ye... semalam rasa macam banyak... Haaa..

6. Pernah main tak permainan 'radio rosak'? Permainan yang dimainkan secara berkumpulan, menguji kemahiran individu menyampaikan maklumat kepada individu lain secara rantaian. Contohnya, frasa 'she sells sea shells by the sea shore' yang disampaikan secara berbisik orang demi orang yang akhirnya sampai ke orang terakhir, frasa tersebur jadi (contoh) ' Encik Bashi ke stesen Shell ganti minyak enjin'. Jauh kan, bunyinya? Begitulah yang banyak berlaku dengan kita. Sampai menyampai yang jauh dari sumber akhirnya berkesudahan maklumat yang bukan-bukan.

7. Dunia persilatan, hatta buah pukul sekalipun dipenuhi dengan metafora atau perumpamaan yang penuh kiasan dan keindahan bahasa, sebagai antara pedagogi dalam menyampaikan dan memahamkan ilmu kepada penuntutnya. Contohnya, 'pat pat siku lipat', 'membujur lalu melintang patah', 'diam gerak gayang ruat' dan macam-macam lagilah. Namun, kadang-kadang terdapat perumpamaan yang hanya sesuai pada sesuatu perguruan sahaja, dan tidak tepat jika didedahkan secara umum, bimbang mengguris hati. Maka, penyampaian-penyampaiam sebegini cukuplah dibualkan di gelanggang untuk ahli sahaja dan tamat di buku catatan masing-masing. Tak perlu dihebah-hebahkan pada dunia, lagi-lagi dunia fitnah fesbuk.

8. Wajib iktikad dalam hati, ilmu buah pukul yang kita tuntuti adalah ilmu dunia, yang bila betul caranya, insyaallah membantu kita di alam barzakh dan akhirat kelak. Cuma yakinlah, perbezaan 'asli' dan 'tidak asli' itu tidak langsung menggugat akidah pegangan kita. Kawan tertarik dengan komen matang seorang yang kawan kagumi sejarah persilatan dan pembelajaran beliau yang berbunyi,

Tolonglah bertawaquf dalam hal  ini, maksudnya kita tangguhkan urusan ini hingga Allah bukakan hakikatnya. Tak dunia, akhirat kan ada'

Sebenarnya, inilah hakikat bersilat, berbuah pukul sekalipun. Teras utama kehidupan kita adalah agama. Bila berlaku perbalahan, cari Al-Quran, rujuk Hadith. Kuatkan akidah kita, pegangan agama kita. Sudahlah bab agama, bab halal haram pun alim ulama duk bersilih pendapat. Ini bab buah pukul, hal dunia pun kita mati-matian berdebat.

Sangat-sangatlah sepatutnya, dengan sedikit keilmuan yang Allah pinjamkan pada kita, kita bersatu menongkah kebejatan akhlak muda mudi dan menentang maksiat yang semakin berleluasa. Adakah  dengan berbalah hal duniawi ini, yakni buah pukul dan lain-lain ilmu bertumbuk, akhlak muda-mudi makin diperbaiki dan maksiat semakin berkurang? Tanya diri sendiri dulu, sebelum tanya orang lain. Islam semakin kuat dimusuhi di segenap penjuru, tapi kita, berbalah hal 'asli tak asli'? Allah.....

Lagi, perhati-hati juga apa yang kita perkatakan atau kita tuliskan kepada umum. Bimbang di suatu masa nanti, kita malu sendiri dengan apa yang kita luahkan bila sampai usia tua kita, kalau sempat sampailah. Bimbang juga, perkataan kita yang tak sepatutnya mengguris hati, dan tidak pula kita sempat memohon maaf kepadanya. Tidak-tidak pun, ingatlah kanan kiri kita ada yang mencatatnya.

Oleh yang demikian, sebagai penutup, kawan seru diri kawan supaya BERLAPANG DADA berhadapan dengan sebarang perselisihan dan perbezaan pendapat. Tangani dengan kematangan. Walau berbeza mana pun ukuran saiz dada kita, lapangkanlah hati nurani kita agar mudah menerima suluhan cahaya ilmu. Janganlah digelapkan hati kita dengan berdebat mati-matian hal dunia, kelak sempit pemikiran kita.

Demikianlah Syarat 8 adanya......

No comments:

Post a Comment