Thursday 19 June 2014

MOTIVASI 4.0 MENGADAPTASI LIAN PADUKAN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

LIAN PADUKAN merupakan sebuah perguruan seni beladiri yang didasari oleh permainan buah pukul zaman berzaman. Sebagai sebuah warisan peradaban dan keilmuan silam dan masa kini, falsafah-falsafahnya sentiasa selari dengan peredaran zaman,  samada dalam beladiri mahupun kehidupan.

Berikut merupakan ekstrak daripada falsafah dan kaedah dalam Lian Padukan yang kawan sesuaikan dengan kehidupan kita sebagai renungan. Tak lah asyik bercerita pasal bertumbuk, pasal 'asli tak asli' je.

MENGUASAI ASAS

Dalam Lian Padukan, penguasaan asas adalah sangat dititikberatkan berbanding hafalan lian. Jurus 1 terutamanya, wajiblah dimahiri malah dikuasai oleh semua pelatih. Ketidakmahiran Jurus 1 hanya akan menyumbang kepada kepincangan dalam latihan dan penguasaan pelatih. Dari Jurus 1 itulah satu per satu anggota senjata kita dilatih, kemudian menguasai petua yang mendasari permainan kita, sehinggalah pecahan-pecahan tapak, lian dan buah-buah terbitan. Melalui penguasaan Jurus 1, kita tidak akan hilang punca apabila mempelajari peringkat baru ataupun berhadapan musuh. Pusing pusing, itu juga ceritanya.

Begitu juga kehidupan kita, perlu ada suatu panduan yang menyuluh perjalanan dan pegangan yang memastikan kita kukuh di landasan kehidupan. Dalam hal ini, asas beragamalah yang utama. Jadilah sesiapa pun yang kita mahukan dalam dunia ini. Doktor, jurutera, perdana menteri, cikgu pensyarah, ustaz ustazah, tukang sapu sampah, jaga tandas, siak masjid, kerja Indah Water - namakan sahaja apa kerja halal - pastikan kita tidak tergelincir dari landasan beragama.

Halal haram wajib jaga. Tiang agama wajib dipelihara, yakni solat. Berapa ramai yang melaung slogan 'pembela agama, bangsa, tanah air' tapi solat tak terjaga. Solat terjaga, insyaallah yang lain terjaga, lebih-lebih lagi solat berjemaah. Dan pastikan ilmu agama dituntut semampu mungkin. Ini asas kejayaan kita hidup dunia akhirat. Hebat mana pun pangkat kita, pusing-pusing, itu juga ceritanya. Kita dinilai dari iman dan takwa kita, dan rahmat Allah s.w.t.

MENJAGA KESEIMBANGAN

Silibus Lian Padukan turut menekankan kemahiran mengawal keseimbangan. Pada peringkat Jurus, kita dilatih bergerak ke depan ke belakang bertapak titi sebatang atau papan sekeping (kaedah persilatan Melayu, bukan milik mutlak sesiapa). Pernah di suatu ketika, ahli Lian Padukan melatih Jurus di atas batang kelapa yang dilintangkan. Sudah tentu sukar melaksanakan Jurus, apatah lagi sparring di atasnya. Namun itu adalah latihan supaya pelatih mampu mengekalkan keseimbangan diri. Di peringkat Lian juga, latihan keseimbangan diteruskan melalui kaedah gelek yang betul, postur badan dan drill seperti 'squat kicking' dan lain-lain.

Dalam kehidupan, keseimbangan sangat penting. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan keseimbangan menyeluruh yakni meliputi aspek rohani, jasmani, emosi dan intelek. Keseimbangn ini akan datang melalui pembelajaran dan penambahan ilmu, pengalaman, jatuh bangun dari kegagalan dan kematangan. Dalam mengurus kehidupan kendiri dan keluarga, kesimbangan sangat penting agar kehidupan terurus dan berjalan dengan sempurna.

SENTIASA MENCARI PENYELESAIAN

Lian Padukan adalah suatu permainan yang hidup. Tidak terjerat dengan kekeluan, tidak tualu dengan kemaraan. Lian Padukan tidak menepis, tetapi melapis. Konsep 'haram sentuh', 'tidak bermalam', 'bertalu-talu' dan lain-lain lagi memberi panduan supaya pelatih tidak putus idea untuk terus melawan sekalipun musuh mengekang pergerakan kita. Sebab itu setiap deria dan senjatalapan kita perlu sentiasa cega, curiga dan bermata untuk melapis setiap serangan musuh. Usahakan agar kita yang menguasai musuh, bukan musuh menguasai kita.

Dalam realiti kehidupan yang pelbagai, kita berhadapan dengan terlalu macam-macam konflik dan masalah. Maka, sedapat mungkin kita cuba mencari penyelesaian untuk setiap masalah. Kita tidak menepis, sebaliknya melapis tumbukan. Sama juga, kita tidak menepis atau melarikan diri dari sebarang konflik atau masalah, sebaliknya kita 'melapis' yakni mencari jalan untuk berhadapan dengan konflik, lantas menyelesaikannya. Deria perlu sentiasa cega dan curiga berhadapan permasalahan hidup. Andai kita 'tualu' berhadapan masalah, akhirnya kita sendiri akan ditewaskan oleh permasalahan itu tanpa penyelesaian.

Usahakan agar kita yang menguasai keadaan, bukan keadaan yang menguasai kita.

Bersambung lepas solat Jumaat, bila ada waktu free. Panjang lagi sebenarnya ni. Bukan semua orang kita suka baca panjang-panjang. 




No comments:

Post a Comment