Monday 9 June 2014

'EMPTY YOUR CUP' TERMINOLOGY

Ok, rasanya dah mereda balik. Maka, bersilaturrahim adalah yang terbaik sesama kita, manusia, lagi-lagi manusia yang Islam agamanya.

Tajuk omputih lagi.

Hari ini, sama-samalah kita ligatkan pemikiran kita dengan sebuah terminologi 'empty your cup' atau 'kosongkan cawan kamu'. Ramai yang pandai sebut benda ni, hinggakan guru-guru silat di mana-mana ceruk rantau pun tahu benda ni.

Setakat pengajian kawan, term ini adalah merupakan sebuah kaedah pembelajaran yang digunakan dalam ajaran 'zen' dalam mendidik sifat merendah diri.

Ada kisah sebenarnya berkenaan 'empty your cup'. Lebih kurangnya begini. Seorang guru ajaran zen didatangi seorang ilmuan tahap profesor universiti yang mahu mengetahui tentang zen dengan lebih lanjut. Orang dah sedia pandai, tentulah macam-macam soalan killer, macam-macam spekulasi dan macam-macam lagi yang macam-macam yang nak ditanya kepada guru zen tersebut.

Tetamu dah datang, wajiblah diraikan. Maka guru zen ni pun hidangkanlah teh kepada sang profesor ni. Namun, sewaktu menuangkan teh ke dalam cawan profesor, guru zen tersebut terus menerus menuang teh sehingga penuh cawan, sehingga melimpah air teh dimuntahkan mulut cawan sebab tak muat nak isi. Profesor ni yang asalnya melihat sahaja perbuatan guru zen ni, lama-lama panas hati dan,

"Dah penuh dah cawan tu! Mana boleh isi lagi!"

Guru tu pun dengan hemahnya, berkata,

"Macam cawan ni, kamu sudah penuh dengan pendapat dan spekulasi tentang ilmu aku. Macam mana aku nak tunjukkan kamu tentang zen?"

Ya, ajaran zen ni bukanlah ajaran Islam yang lebih syumul. Tetapi bab merendah diri tu, Baginda Rasulullah s.a.w dah lama mencontohkan kepada kita dengan lebih indah lagi. Namun, pendapat kawan, tak salah kalau kita sekadar meminjam kata-kata hikmah ajaran lain sekadar meraikan rahmat Allah di muka bumi dengan ilmuNya yang tumbuh melata. Alah, kita kemain lagi share kat fesbuk ayat omputeh 'the journey of a thousand miles begins with a single steps' nak mengumpul 'like' yang tak boleh buat kenyang tu, sedar tak tu kata-kata Lao Tzu, pengasas ajaran Taoisme?  Dan lagi, teori-teori pendidikan negara kita banyak berkiblat ke mana? Maka, yang baik kita terima, dan tapis dengan 'filter' akidah kita.

Berbalik pada 'empty your cup' tadi. Kalau kita memahaminya secara permukaan sahaja, kita menerimanya sebagai 'meninggalkan seketika segala pelajaran dan pengalaman lepas, dan merendah diri menerima ilmu baru dari guru'. Tak salah pun.

Ada juga tafsiran bagi term ini yang lebih kurang 'diamkan atau tinggalkan seketika segala anggapan-anggapan atau spekulasi tentang ilmu tersebut, jangan berdakwa dakwi sehingga diterang suluh oleh  sang guru'. Bagi kawan, ini pun betul.

Malah kita boleh buat apa sahaja tafsiran tentang ayat tersebut. Kalau salah tafsir pun, tak berdosa kan. Tu bukan ayat Al-Quran.

Bagi kawan pula, secara peribadi, ada pendekatan lain. Apabila kita sudah pun mempelajari sesuatu ilmu sebelum ini, maka kita pegang ilmu tersebut dan sematkan dalam diri kita, sehinggalah kita bertemu guru yang baru. Maka, apabila kita berhadapan guru yang baru, dengan bekalan ilmu yang lepas, kita semakin matang menyerap ilmu-ilmu  baru tanpa membuang langsung ilmu lama. Kalaupun ilmu yang sebelum ini sudah tidak lagi bermanfaat buat masa itu, kita tetap tatang ilmu tersebut kerana mungkin saat dan ketikanya, ilmu lama itu kita terpaksa andalkan, dengan sentuhan ilmu yang baru.

Errr... Kawan pun susah nak faham. Kita buat ceritalah, senang sikit.

Abu merupakan seorang pesilat yang handal dan matang. Tidak sombong, sentiasa dahagakan ilmu persilatan untuk menyiapkan diri membela agama, bangsa dan tanah air.

Berbekalkan keilmuan silat yang ada padanya, dia merantau segenap pelusuk negara melampiaskan kedahagaannya pada ilmu. Resam pendekar, ada sahaja dugaan mendatang. Alhamdulillah, setiap dugaan dan cabaran dihadapinya dengan tabah dan bijaksana.

Sehinggalah suatu hari, dia terdengar tentang keampuhan suatu persilatan yang dikenali sebagai 'buah pukul'. Maka berkelanalah dia mencari guru yang mengajarkan ilmu ampuh itu. Pencariannya bernoktah, apabila guru yang diidamkan, ditemui.

Apabila berhadapan guru tersebut, melihatkan sahaja penampikan guru tua itu, Abu berteka-teki dengan kemampuan, kebolehan, keilmuan dan ketangkasan guru tersebut. Namun, mujurlah ibu bapanya di kampung sudah siap menerapkan budi pekerti mulia bersendikan syarak dan budaya Melayu, maka teka-teki dan dakwa-dakwi dalam tengkorak fikirnya didiamkan sahaja. Yang dia mahukan hanyalah ilmu guu tersebut, tiada lain.

Terpaut dengan budi bahasa si anak muda, guru tua itu berkenan menunkan ilmu. Namun, firasat guru tua mendulu, yang anak muda di hadapannya bukan calang anak. Ilmu sudah pun berkepuk di pundak. Maka, sebagai pendiri 'buah pukul', diajaknya 'berdiri', sekadar mahu melihat kemahiran anak muda.

Abu, muda yang baik, patuh. Disorongnya penumbuk ke arah guru. Tidaklah berniat mencederakan, sekadar mahu melihat keilmuan guru yang lebih tahu darinya. Sorongan demi sorongan, malah tendangan demi tendangan, mudah sahaja dilapis sang guru. Habis dikerahkan segala ilmu dan kederat yang ada. Malah, tidak pun sempat dia menyorong, dia sudah tumbang dahulu.

Lain persilatan guru ini, berbanding yang pernah aku alami. Getus hati mudanya.

Guru tua hanya senyum. Akad guru-murid bermula. Abu terus melangsungkan hari-harinya sebagai murid guru tua itu. Diajar dari asas hingga petua, malah rahsia. Akhirnya mahirlah ia dengan segala pelajaran dari guru tersebut.

Bangga sang guru tua, melihat muridnya mudah menyerap keilmuannya. Di hujungnya, guru tua itu berpesan,

"Alhamdulillah, Abu sudah pak ajarkan segala ilmu pak. Tinggal lagi, hendaklah Abu latih dan pelihaa sehingga Abu peroleh hak Abu, andalan Abu sendiri. Maka, untuk itu, janganlah Abu tinggalkan langsung ilmu yang pernah Abu pelajari sebelum ini. Mungkin tidak sekarang Abu gunakan, tapi siapa tahu di masa akan datang."

Abu menerimanya dengan terbuka, namun ada suatu persoalan yang bermain di benaknya. Maka Abu pun bertanya,

"Tapi pak, Abu lihat ilmu buah pukul pak ini sangatlah ampuh berbanding lain-lain ilmu yang pernah Abu tuntuti. Kunci-mengunci langsung tak lekat pada pak, sedangkan Abu juara persilatan di negeri Abu. Abu tekad, permainan pak lah yang Abu 'gigit', sampai mati."

Guru tua senyum, sambil melepaskan nafas yang berat bunyinya.

"Abu, kau sudah ku khatamkan. Namun itulah, khatam bukan bererti faham, tapi adalah sebuah permulaan. Takpe, pulanglah Abu ke kampung asal Abu. Insyaallah, Abu peroleh kefahaman melalui pengalaman."

Berangkatlah Abu meninggalkan guru yang disayanginya. Tekad dia, akan dikembangkan pelajaran guru yang sangat ampuh itu.

Dalam perjalanan, Abu berhenti di persinggahan, di Pudu Raya (ya, ini cerita zaman sekarang. Bukan dulu-dulu). Tiket dan duit bertukar di kaunter, dan Abu pun berjalanlah ke Platform nombor 98 (ada ke? Kawan petik je ni. Nama pun cerita rekaan) untuk menanti bas pulang.

Tiba-tiba, terdengar jeritan yang kuat, riuh rendah orang ketakutan. Abu menoleh ke arah riuh rendah. Ada orang mengamuk berparang!

Orang mengamuk itu melibas-libas parang ke sana, ke mari. Tidak mahu ada yang jadi mangsa, berbekalkan semangat hero yang sudah tertanam, Abu langsung bergegas ke tempat kejadian.

Kini, Abu menghadap pengamuk. Orang ramai bertempiaran lari menjauhi mereka berdua. Pengamuk ternampak Abu yang siap siaga. Geram jadinya. Diangkat parang setingginya, bersiap melancarkan pakukan ke ubun-ubun Abu.

Belum sempat pengamuk menghayunkan parang, Abu masuk mendulu. Petua yang ditanam guru tua ke jasadnya, melalui latihan demi latihan. Muka, halkum dan penyawa jadi sasaran. Pukulan yang tidak bermalam. Pengamuk terkesima, terkujat, tergamam dan tumbang kerana sakit. Tangan yang memegang parang segera dikilas Abu, dan dikuncinya dengan kuncian silat kampung yang tidak sempat pun dilapis pengamuk yang mengerang kesakitan. Makin meronta, makin kejap kunciannya.

Segera itu juga, polis bantuan tiba menggari pengamuk. Abu dipanggil membuat laporan, dan sempat disekolahkan oleh pegawai bertugas kerana membahayakan diri sendiri dan orang ramai kerana bertindak sendirian. Abu hanya diam, kerana tahu itu silapnya. Namun, naluri keheroan yang ada dalam diri tidak tegar melihat huru hara berlanjutan.

Pendekkam cerita (yang dah jadi panjang ni), bas pun tiba. Penumpang tidaklah ramai. Abu pun teus ke seat belakang, walaupun nombor seatnya di hadapan. Mahu privacy.

Sepanjang perjalanan, Abu termenung memikirkan kejadian tadi. Tidak pun dirancang, disusun setiap pukulan dan kuncian tersebut. Tubuhnya bagai bebas bergerak sebelum sempat fikiran mendahuluinya. Pukulan-pukulan itu mungkin hasil latihan selama ini, maka cepat sahaja keluar. Namun kuncian di akhir itu, agak lama ditinggalkan.

Abu senyum, buat kesimpulan sendiri. Nyata pak guru telahannya betul. Ilmu lama atau baru yang diperolehi, jika dipelihara, tidak dilekeh-lekehkan, akan sangat ampuh apabila menyatu. Ilmu lama yang dipelajarinya, akhirnya berjasa tanpa dirancangnya.

Abu setuju sendiri, ilmu lama atau baru, aku junjung ke mati. Nyata, Abu 'dikhatamkan' oleh pengalaman.




Macam tak sampai je cerita ni dengan 'empty your cup'? Sori, kawan pun lost. Haha.


No comments:

Post a Comment