Friday 20 June 2014

MOTIVASI 4.2 MENGADAPTASI LIAN PADUKAN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

TERTAKLUK PADA AKAL BUDI BICARA

Ini mainan kata-kata kebanyakan pengamal buah pukul, tak terkecuali Lian Padukan. Bagi pelatih yang biasa menatap Nukil yang terpampang di gelanggang induk atau kepunyaan gurulatih yang sudah ditauliah, kata-kata ini ada termaktub di dalamnya. Dan perlu kita fahami yang Lian Padukan adalah permainan berakal dan berpetua, bukan semberono mengcadbury buta.

Pelbagai tafsiran dan takwilan boleh dibuat, seeloknya berguru. Namun, kalaupun salah tafsir, tidaklah pula mendatangkan dosa kerana ini bukan ayat Al-Quran hingga kita mati-matian pertahankan benar salahnya. Berbalik pada akal budi bicara kita.

Dalam sayembara sebenar, kemahiran dan penguasaan kita berlian teruji. Kala itu, segala susun pukul, segala lian, segala buah sudah tidak tersusun oleh kita lagi. 'Kita' yang saya maksudkan, kita-kitalah yang kemahiran masih di takat bertatih lagi. Yang peringkat master-master, itu mungkin lain ceritanya.

Oleh yang demikian, dalam kekalutan bertukar-tukar pukulan, atau diistilahkan 'lapis-melapis' dan 'bergelut-gelut', kita tetap perlu mendepankan akal, di samping menggunakan segala kudrat dan upaya kita. Di sinilah datangnya konsep 'jauh dijemput, datang disambut, dekat direbut, balik diturut' dan 'pat-pat siku lipat'. Kalau dalam silat kampung yang tak bernama pernah kawan ziarah dulu, tok cik (guru silat itu) hanya menyebut "Asal sempat je, kita singgah. Kalau dahi yang dekat, dahi lah kita cecah. Kalau telur yang dekat, telur lah kita cecah. Berfikir perlu, tapi kena ambik jawapan paling cepat."

Tanpa akal di depan juga bahaya. Andai kata kita menderu sepenuh emosi mendatangi musuh, boleh jadi musuh siap mengumpan kita. Jangan lupa hal 'mengarahkan musuh'. Kadang-kala akal musuh lebih mendepani kita. Akal juga memainkan peranan nak menghasilkan keputusan terhadap lawan. Nak bunuh niat, bunuh gerak atau bunuh nyawa. Tertakluk pada situasi, juga budi bicara kita.

Tak terkecuali dalam kehidupan kita. Akal dan budi bicara mencorakkan kita 'siapa' apabila berhadapan masalah. Masalah tidak akan selesai hanya dengan emosi meliar. Maka akal yang memberi panduan menyelesaikan masalah. Orang yang menyelesaikan masalah dengan akal lebih dipandang mulia dan berhemah berbanding mereka yang mendepani masalah dengan nafsu. Lihat sahaja Sejarah Melayu, kebijaksanaan Dato Bendahara menyelamatkan Hang Tuah dari fitnah, berbanding keputusan melulu mahukan Hang Tuah dihukum bunuh. Sejarah Hang Nadim juga menceritakan bagaimana budak berakal mencadangkan kubu batang pisang berbanding pembesar baghal yang mahu rakyat berkubu betis. Tapi itulah, orang berakal sering dicemburui.

Islam juga mahukan umatnya sentiasa bersedia dengan ilmu dan akhlak. Rasulullah s.a.w banyak berhadapan dengan dugaan dan diselesaikan dengan panduan wahyu Ilahi, dan akhlak budi pekerti baginda. Terlalu ramai yang memeluk Islam hanya 'bersenjatakan' akhlak baginda. Ternyata, keteguhan budi bicara juga perlu apabila berhadapan cabaran.

Akal dan budi bicara memberi peluang buat kita menganalisis masalah. Rata-rata tahu bukan, konsep analisis 'SWOT' dalam penyelesaian masalah yang dirangka oleh Albert Humphrey. Berhadapan masalah, kita mula merangka S-strategi, meneliti W-weakness atau kelemahan, meneropong O-oppurtunity atau peluang dan mengenalpasti T-threats atau ancaman kepada strategi yang kita rancang. Hmmmm.. Boleh bukak tajuk baru nanti ni.

Apa-apa hal, ikut pandangan masing-masing. Tertakluk pada akal budi bicara.

No comments:

Post a Comment