Monday 16 June 2014

MEMAHAMI LIAN 5.0 : 'LIAN' DALAM LIAN PADUKAN

APAKAH LIAN?

Lian ialah rangkuman kesepaduan pergerakan anggota senjata lapan dan gayang lima tubuh badan membentuk serangan dan pertahanan yang disetkan dalam formasi tertentu secara logikal dan praktikal (perlu lebih rujukan dan pencerahan dari gurulatih)

KAREKTOR

Perbezaan bentuk, corak atau formasi dalam latihan seni beladiri seperti 'kata' bagi karate, 'poomsae' bagi taekwondo, 'san sik' bagi wing chun, 'bunga', 'jurus' atau 'belebat' bagi silat (kebanyakkan silat) 'golongan' dalam silat seni gayong Meor Rahman, 'pecah' dalam sendeng dan 'lian' dalam aliran-aliran Buah Pukul Mersing memberi karektor dan menjadi identiti unik bagi setiap seni beladiri.

Karektor lian dalam Lian Padukan tidaklah terlalu berbeza dengan aliran-aliran buah pukul yang lain. Identiti yang mencorak lian dalam Lian Padukan ialah kaedah gelek 2 belah yang mengutamakan kemahiran kanan dan kiri, langkahan kaki selepas gelek dan penggunaan 'perisai' yang sangat dominan pada setiap lian dalam silibus Lian Padukan.

BANDINGBEZA BUNGA SILAT / SILAT PULUT DAN LIAN

Pergerakan bunga silat/silat pulut bersifat lebih 'circular' dan 'fluid', manakala lian pula lebih bersifat 'bersegi' dan agak linear (perlu lebih kajian dalam hal ini). Walaupun demikian, bunga silat dan lian tetap mempunyai fungsi yang sama, iaitu rangkuman perbuatan menyerang dan bertahan, cuma bunga silat/silat pulut lebih ditonjolkan aspek persembahan berbanding beladiri.


'LIAN' DALAM LIAN PADUKAN

Lian-lian dalam Lian Padukan diasaskan oleh Allahyarham Guru Pak Mat Kedidi, berlandaskan pengalaman seni beladiri beliau yang tetap berpaksikan Buah Pukul Mersing pada prinsip, petua, dan kaedah-kaedahnya. Kini, permainannya diperkembangkan di bawah Ayahanda Dr. Haji Hasyim dengan pemurniaan  pada silibus dan pedagoginya yang menjadikan Lian Padukan lebih mudah dan lebih sistematik untuk dipelajari.

Lian-lian disampaikan oleh gurulatih kepada pelatih mengikut silibus yang sudah termaktub. Namun, dari aspek kefahaman seperti aplikasi lian dan pelaksanaan buah, terdapat keunikan mengikut interpretasi gurulatih dan penerimaan pelatih. Memandangkan setiap individu adalah unik (tersendiri) dari segi saiz badan, kefahaman, pengalaman sedia ada dalam beladiri dan lain-lain, setiap pelajaran yang diberi disesuaikan bertepatan dengan peribadi pelatih tersebut, yang akhirnya membolehkan pelatih mengolah gerak gaya tersendiri dalam Lian Padukan.

PELAKSANAAN LIAN DALAM LATIHAN

Lian (dan jurus) boleh dilatih secara berkumpulan atau individu. Jika dilatih secara berkumpulan, sebaiknya seorang pelatih dilantik sebagai ketua yang akan menurunkan arahan agar keseragaman gerak dapat dibentuk. Ketua yang dilatih sebaiknya dari kalangan pelatih, secara bergilir-gilir mengikut sesi latihan supaya dapat menonjolkan elemen kepimpinan dan keyakinan kendiri, di bawah pemantauan gurulatih. Contoh arahan, hukum atau 'command' sewaktu latihan adalah seperti berikut;

1. Ketua : Lian Padukan, sedia! Lian Satu, pasang!
2. Rakan pelatih : Ihh ! (Rujuk guru)
3. Ketua : AP! (Singkatan kepada 'Attention Please! Setiap 'AP! akan diikuti dengan gerakan)

Kelebihan berlatih secara berkumpulan ialah memupuk semangat kekitaan sesama rakan pelatih, meningkatkan motivasi dan persaingan sihat sesama rakan pelatih.

Sekiranya berlatih secara perseorangan, pelatih lebih bebas mencorak latihan mengikut kreativiti masing-masing, berlandaskan kefahaman dan kemahiran yang dilatih di gelanggang latihan. Penggunaan Bahan Bantu Berlatih juga sangat membantu dalam menajamkan skill individu pelatih.

Samada berlatih berkumpulan atau berseorangan, lian hendaklah dilaksanakan dengan penuh kekemasan dan kawalan nafas yang betul. Postur badan hendaklah sentiasa diperhatikan, supaya betul cara berdiri, kedudukan muka menghadap lawan, gelek, kedudukan tangan yang menumbuk dan melapis, kedudukan kaki ketika berdiri dan mengalih tapak. Berlatih di hadapan cermin turut membantu ketika menilai postur tubuh sendiri, selain melakukannya di hadapan gurulatih untuk diperbetulkan.

Unsur 'realism' hendaklah diterapkan semasa melaksanakan lian. Dengan beranggapan pelatih berhadapan dengan musuh 'bayangan', pukulan dan pertahanan yang dilaksanakan hendaklah dengan daya yang sama dikenakan jika berhadapan lawan sebenar, secara tidak langsung turut melatih pernafasan yang digunakan sewaktu menyerang atau bertahan. Badan dalam keadaan tenang, sehinggalah waktu pelepasan impak yang bersungguh-sungguh, dan pastikan tubuh tidaklah rigid dan robotik ketika melaksanakan gerak. Gerakan hendaklah tajam dan tepat, dengan kawalan nafas dan rentak yang betul. Ini akan menambah nilai estetika sesuatu lian yang dilaksanakan. Kefahaman adalah teras penguasaan lian, dan pelatih wajib memahami lian yang dilatih, tujuan dan aplikasinya.

Gurulatih akan memastikan setiap aspek yang dinyatakan sebelum ini dikuasai oleh pelatih sebelum mendaki ke peringkat pembelajaran seterusnya. Melepaskan pelatih ke peringkat pembelajaran seterusnya tanpa kekemasan dan kefahaman hanya akan membantutkan penguasaan asas pelatih dalam berlian. Pelatih perlu melatih jurus dan lian sekerap mungkin supaya kemahiran tersebut sebati pada jasad.

FAEDAH LIAN

Terlalu banyak faedah yang boleh didapati melalui latihan lian. Antaranya ialah;

1. Meningkatkan fleksibiliti, kemahiran mengalih, kesimbangan dan mengawal tubuh badan dan ruang.

2. Membina otot, kawalan pernafasan dan pergerakan yang lebih lancar dan tepat.

3. Melatih bahagian kiri dan kanan anggota badan.

4. Meningkatkan kemahiran sparring.

5. Meningkatkan fokus dan keyakinan diri.

6. Menjana kreativiti dan kefahaman melalui pemindahan lian kepada buah.

7. Membantu pelatih mengenali potensi diri.

8. Melatih kawalan emosi, memberi ketenangan dan kepuasan kendiri disamping kesihatan fizikal.


KESIMPULAN

Lian dalam Lian Padukan merupakan identiti unik Lian Padukan yang perlu dilatih dengan sepenuh tumpuan dan kefahaman. Meninggalkan latihan lian, tanpa kefahaman dan hanya menumpukan kemahiran psikomotor menumbuk dan menendang, akan merencatkan perkembangan pelatih. Aspek psikomotor, kognitif dan afektif hendaklah berjalan seiringan supaya kemahiran dan kefahaman pelatih sentiasa meningkat dan semakin tajam dari semasa ke semasa.

Lian yang terkandung dalam silibus juga hendaklah terus menerus diamalkan dan disampaikan kepada generasi seterusnya agar kesinambungan Lian Padukan dapat diteruskan, memandangkan lian-lian yang terkandung adalah 'peti' khazanah keilmuan Lian Padukan.

*tulisan di atas adalah rangkuman kefahaman kawan berkenaan lian, berdasarkan pengajian kawan dalam bidang-bidang tertentu dan pengalaman lepas seni beladiri kawan.

**tulisan di atas adalah ringkasan dari tulisan asal, sekadar perkongsian buat ahli Lian Padukan dan bakal ahli. Pembaca luar juga dialu-alukan membaca dan memberi pandangan.

***tulisan di atas adalah sekadar sumbangan kecil kawan dalam penulisan berkaitan buah pukul, terutama Lian Padukan. Sudah tentu kualitinya tidak akan dapat mengatasi Buku Nukil karya warisan terdahulu.

****tulisan di atas sangat terbatas disebabkan kecetekan ilmu kawan dalam Lian Padukan. Insyaallah akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Wajib merujuk gurulatih terdekat untuk lebih kefahaman dan pencerahan.




No comments:

Post a Comment