Tuesday 10 June 2014

WANITA : KEPERLUAN MEMPELAJARI SENI BELADIRI

Dewasa ini, terdapat terlalu banyak kes yang melibatkan kaum wanita sebagai mangsa. Ragut, rompak, rogol, bunuh, culik, keldai dadah dan macam-macam lagi yang tak molek disebut.

Pendek kata, dunia sekarang bukanlah tempat yang menyelesakan untuk wanita, hatta lelaki sekalipun, ke sana ke sini tanpa pengawasan dan memikirkan keselamatan.

Memandangkan keperluan untuk wanita mendapatkan perlindungan keselamatan sewajarnya, terciptalah produk-produk di pasaran seperti 'pepper spray' dan banyak lagi. Namun, adakah itu memadai?

Maka, sebaik-baiknya, kaum hawa mempunyai kesedaran untuk mempelajari selangkah dua seni beladiri sebagai bekalan. Kalaupun wanita tersebut tidak mempunyai kesedaran, wajib waris atau majikan menyedarkan mereka akan keperluan mempelajari seni beladiri.

Dalam seni beladiri, wanita turut mempunyai kedudukan teratas dalam sejarah. Dunia mengenali seni Wing Chun yang diasaskan oleh seorang wanita. Silat sendiri, jika diamati sejarah perguruan-perguruan yang kedapatan di nusantara, ada yang bersusurgalur diasakan oleh wanita. Buah pukul aliran Syed Abdul Rahman Yunan juga berkait dengan wanita, melalui pengkisahan sejarahnya dan penceritaan guru-guru dari mulut ke mulut.

Malah, sirah Rasulullah s.a.w juga sangat menjunjung keupayaan wanita. Sejarah Melayu juga banyak melahirkan wanita-wanita perkasa.

Makna kata, wanita perlu mengambil berat akan keperluan seni beladiri. Jangan dihadkan kebolehan diri hanya dengan kata-kata seperti ' wanita kaum yang lemah', 'buat apa nak belajar silat, suami kan ada  nak jaga' dan lain-lain kata yang tidak mesra motivasi.

Baiklah, kita andaikan wanita di Malaysia sudah siap untuk mempelajari seni beladiri. Mungkin soalan yang perlu wanita bangkitkan adalah 'beladiri yang bagaimana? Aliran mana?'.

Mungkin kawan boleh usulkan soalan yang patut ditanya oleh wanita, seperti 'teknik beladiri yang bagaimana sesuai untuk wanita?'. Ini barangkali lebih tepat. Kalau ikutkan, hampir semua seni beladiri mendakwa aliran itu sesuai dipelajari oleh kaum hawa untuk beladiri. Namun, kadangkala dakwaan hanya tinggal dakwaan, tanpa pembuktian. Akhirnya, yang diajarkan kepada wanita adalah silibus demi silibus tanpa penekanan kepada aspek beladiri.

Gurulatih, atau mana-mana aliran beladiri, sepatutnya sensitif denga n keperluan wanita membeladiri. Maka, pembelajaran kaum wanita seeloknya dimulakan dengan teknik beladiri dan langkah pencegahan terlebih dahulu, sebelum silibus. Betul, silibus yang dicipta juga mengandungi teknik beladiri, namun penekanan kepada kaum hawa adalah sungguh-sungguh beladiri. Bukan setakat asas tumbukan dan tendangan kosong tampa sasaran.

Wanita sepatutnya didedahkan dengan situasi mereka sebagai mansa di hari pertama pembelajaran. Apa yang perlu dibuat jika tangan dipegang? Jika dipeluk dari belakang? Kalau digomol semasa baring? Sasaran mana hendak dipukul? Bagaimana mengena sasaran? Ini yang sepatutnya dipelajari kaum hawa sedari awal, tidak hanya melatih kekuda, gulingan, lompatan dan lain-lain. Kita perlu peka, kudrat wanita lain dari lelaki.

Maka, kawan sarankan wanita supaya membuat kaji selidik berkenaan teknik beladiri dan aliran yang sesuai dengan mereka. Tonton demonstrasi aliran seni beladiri, samada secara live depan mata atau media. Tips dari kawan, yang kawan dapat dari guru-guru, untuk wanita,cari permainan yang ringkas dan mudah.

Pelbagai aliran mempromosikan tips dan teknik sebegitu. Banyak juga seminar-seminar yang diadakan bertujuan itu. Pilihlah yang mana berkenan di hati. Dan kalau memilih Lian Padukan untuk tujuan itu, percayalah, insyaAllah, pilihan anda tidak silap.

No comments:

Post a Comment