Tuesday 3 June 2014

LIAN CAMPUR

"Ilmu yang statik, tanpa penambahbaikan tidak akan membawa kepada kemajuan. Ilmu hendaklah sentiasa berkembang dan dikembangkan, melalui  fasa kajian, disiplin dan penyampaian yang jitu. Yang tidak berubah, namun kekal relevan sepanjang zaman hanyalah Al-Quran dan Sunnah. Dan melalui ijtimak ulama yang mujtahid, permasalahan hari ini yang tidak pun berlaku dahulu, dapat diselelsaikan apabila kita kembali kepada 2 rujukan itu"

Syarah di atas lupa kawan dengar di mana. Namun intipatinya kawan pegang, yakni yang kekal hanyalah Al-Quran dan Sunnah. Itupun Sunnah dan Hadith banyak dipalsukan oleh musuh-musuh Islam. Mujur, kedapatan ulama silam muktabar yang menggariskan disiplin ulum hadith sebagai panduan buat kita membezakan hadith sahih, hasan, dhaif dengan yang maudhu'.

Kawan coretkan perihal ini, untuk merelevankan apa yang bakal kawan tulis di bawah. Mungkin ada yang tak suka pendekatan ini. Terpulang. Kawan menulis bukan untuk memuaskan hati atau menyukakan sesiapa.

Dalam post lepas berkenaan budaya 'menyudi', kawan ada ceritakan berkenaan Lian Campur yang kawan persembahkan di hadapan 'raja sehari'. Kawan mencampurkan Lian-lian yang terkandung dalam silibus Lian Padukan iaitu Lian1, Lian 2, Lian 11 dan Lian 13 secara spontan. Mencampurkan Lian ini sebenarnya adalah antara kaedah latihan yang kawan amalkan secara peribadi bertujuan untuk hafalan, senaman, melatih kespontanan gerak dan penguasaan ruang. Menguasai ruang adalah antara elemen terpenting dalam kesukanan, dan ia juga ada dinyatakan dalam nukil, yakni berkenaan 'ukur dan jangka'.

Secara aerobik, kawan melatih kesemua lian dalam silibus Lian Padukan bermula dari Jurus 1 hingga Lian Gulung tanpa henti. Peluh wajib membasahi baju, dan sangat membantu dalam peningkatan kardiovaskular, pemejalan otot dan pembakaran lemak.

Namun, ada ketika, waktu tidak mengizinkan untuk berlama-lama melakukan Lian, samada tugasan harian atau tanggungjawab pada keluarga. Maka, yang kawan buat ialah melatih semua lian, satu lian satu muka. Kadang-kadang, lian pertama bagi setiap peringkat satu muka, contohnya Lian 1, 5, 9 dan 13 dalam 1 Lian.

Dan kadang-kadang, kawan campur-campurkan lian ikut sempat kawan. Mula dengan Lian 1, lompat ke Lian 6, balik ke Lian 3 dan seterusnya, dalam had masa 5 minit tanpa henti. Kawan pelbagaikan rentak tempo dan kelajuan. Dalam pada itu, kawan tidak pula meninggalkan kaedah '1Minggu 1Lian' yang pernah kawan utarakan sebelum ini.

Kawan cuba mempelbagaikan kaedah latihan untuk peningkatan kendiri kawan. Namun, rata-rata kawan baca di mana-mana medan maya sangatlah anti dengan kegiatan mencampuradukkan lian. Merosakkan keaslian, hilang keberkatan, kata mereka.

Malah, Lian Padukan yang diasaskan Arwah Pak Mat Kedidi dan diteguhkan lagi Arwah Razak, dipusakai oleh Haji Hasyim turut diconteng dengan kata-kata tidak enak dicoret. Yalah, Arwah Pak Mat Kedidi secara terbuka menyatakan aliran yang diasakannya adalah kacukan permainan yang pernah dipelajari, tanpa meninggalkan langsung petua dan rahsia pukul pegangan Buah Pukul Mersing. Sebenarnya kalau kita faham, setidak-tidaknya yang kawan faham, Pak Mat Kedidi hanyalah mengintepretasikan kefahaman yang diperolehinya melalui permainan yang pelbagai dan pengalaman beliau sendiri, malah dengan cara itu, beliau mengakui yang buah pukul tetap adalah yang terbaik, berbukti pada pegangan petua dan rahsia pukul yang menjadi akar permainan yang diasaskan beliau.  Namun, niatnya mungkin disalahfaham oleh pendukung permainan asli. Apa pun, legasi permainan Arwah makin berkembangbiak pula, dengan pelbagai jenama. Al-Fatihah untuk Arwah.

Alang-alang bergelumang selut, kawan seluk jugalah, moga-moga beroleh belut. Faham ke peribahasa ni?

Sebenarnya, apa yang kawan lakukan tak lebih dari cuba menambahbaik ilmu dan penguasaan kawan dalam berLian. Setidak-tidaknya, ini cara kawan berpeluh, selain bergelanggang secara berkala mingguan.

Malah, pada kawan, kaedah mencampurkan lian-lian berlandaskan silibus masing-masing mampu menyiapkan diri kita dalam apa jua situasi untuk bergerak spontan berdasarkan input serangan yang kita terima. Contohnya musuh di depan kita sempat siku, pusing belakang musuh bersiap menyerang, kita matikan gerak dengan singkap. Contoh. Waktu betul-betul memerlukan, kita tidak sempat lagi nak susun pukul. Apa yang kita latih, itulah yang diprogramkan pada senjata lapan kita, dan kita outputkan secara spontan. Namun, latihan susun pukul jangan pula kita tinggalkan, kerana sedikit sebanyak ia memberi idea pada kita untuk saling lapis melapis, menghidupkan gerak dan anggota.

Apa pun, apa yang kawan buat ni tak lebih dari latihan secara peribadi. Di gelanggang, pelajaran yang diajarkan hendaklah berlandaskan silibus yang sudah ditetapkan, tanpa diubah-ubah. Ini penting untuk gurulatih membuat penilaian ke atas pelatih, dan menyeragamkan bentuk pelajaran yang pelatih terima secara umum. Pelatih pula, jika ada apa-apa idea baru untuk diketengahkan dalam memperkasakan latihan, jangan segan-segan. Jika ada kebaikannya, kan elok dikongsikan.

Kalau kita lihat pun, kedapatan ahli lama dan gurulatih-gurulatih khatam yang mengaplikasikan Lian Campur ini sebagai latihan dan selalu digunakan ketika persembahan. Boleh dilihat di rakaman-rakaman majlis khatam Lian Padukan dan majlis-majlis grading. Nampak segak, kejap, padat permainan. Tidak rigid, menampakkan kreativiti yang dijana melalui latihan yang berterusan.

Dalam masa sama, kawan juga meluangkan waktu mempelajari lian yang asal dari seorang guru secara peribadi. Lebih kepada mengambil kefahaman. Walaupun kawan dalam aliran yang dikatakan 'new school', tidaklah kawan menolak langsung kepentingan aliran-aliran lama yang dibawa guru-guru terdahulu. Dan kawan bersetuju, kelangsungan aliran lama tetap perlu diteruskan dan diwariskan kerana ada nilai sejarahnya yang tersendiri. Namun janganlah dirisaukan dengan yang 'baru', kerana percayalah, pegangan nukil dan buku nukil tetap utuh terjaga dan dibawa bersama, kerana guru kami bersanad dan dirukhsahkan dengan pengakuan berijazah.

Dan kawan dapati, aliran buah pukul sangat kuat apabila perbezaan diraikan, persamaan diperkemaskan. Aliran buah pukul sebenarnya saling sandar menyandar.

Apa pun, bak kata Almarhum Guru Pak Mat Kedidi, 'tertakluk pada akal budi bicara'.

Jangan kita rigidkan perkembangan ilmu. Berkembanglah seiring dengan perkembangan ilmu. Kaedah cuba-jaya selalu diterapkan oleh guru-guru, sejak persekolahan hingga ke menara gading. Yang kita mahukan adalah keberhasilan. Itupun wajib berlandaskan Al-Quran dan Sunnaturrasul.


No comments:

Post a Comment