Wednesday 11 June 2014

WANITA 2.0 : TEKNIK BELADIRI

Sebelum ini, kawan ada catatkan berkenaan kepentingan wanita mempelajari beladiri. Untuk catatan ini, izinkan kawan berkongsi sedikit berkenaan teknik mudah yang boleh dikuasai wanita.

Banyak tips dan formula yang sudah dirumus khusus untuk wanita, memudahkan wanita mengaplikasikan teknik beladiri di saat memerlukan. Banyak sangat, sehingga kawan fikir boleh saja google semua itu. Namun pemerhatian kawan, beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh kaum hawa ialah;

1. Pencegahan
2. Sasaran
3. Teknik

Pencegahan

Langkah mencegah sesuatu situasi buruk berlaku adalah lebih baik, berbanding berhadapan langsung dengan situasi buruk tersebut. Kita selalu dengar mencegah itu lebih baik dari mengubat. Makan berpada-pada sebelum kena obesiti dan diabetes, sekolah menganjurkan latihan kecemasan apabila berlaku kebakaran, penumpang kapal terbang ditaklimatkan dengan pelbagai taklimat keselamatan dan macam-macam lagi. Nyata, langkah pencegahan sangat penting.

Dalam mencegah berlakunya jenayah terhadap wanita, wanita wajib tahu keadaan yang memungkinkannya menjadi mangsa. Tidak dapat tidak, cara berpakaian adalah antara faktor utama. Pakaian mencolok mata mengakibatkan nafsu jantan berbelang membuak, dan boleh menyebabkan anda menjadi mangsa serakah. Alah, tu yang pakai tutup-tutup penuh pun kena rogol. Lelaki kalau dah bernafsu bukan kira dah tutup tak tutup. Ye, betul. Tapi tahukah anda, anda yang berpakaian seksi boleh jadi penyebab kepada orang lain yang menjadi mangsa? Penjenayah melihat wanita yang seksi sebagai bakal mangsa, namun terdapat kekangan kepada niat jahatnya seperti wanita tersebut ada suami, atau lain-lain, maka niat jahatnya terlampias pada mangsa lain yang tiada pengawasan, boleh jadi orang bertudung litup, boleh jadi juga mangsa adalah anak penjenayah sendiri! Nafsu pada orang lain, tapi orang lain jadi mangsa. Ini ada kajiannya ye.

Wanita juga perlu berhati-hati dengan kenalan yang tidak diketahui niatnya, berhati-hati berjalan berseorangan, berhati-hati berkenalan dengan orang di medan maya. Berhati-hati itu pemangkin kepada langkah pencegahan.

Sasaran

Wanita perlu tahu sasaran-sasaran lemah manusia, terutamanya lelaki. Kalau ikutkan, banyak sasaran-sasaran soft spot manusia. Maka, cuba kecilkan bilangan pilihan sasaran supaya anda mudah melaksanakan teknik. Kawan cadangkan, sasarkan teknik anda pada mata, hidung, halkum, persenyawa. Ambik 4 itu pun, sudah banyak membantu sebenarnya. Katang mana pun seseorang lelaki, 4 tempat itu bolehkah dilatih? Hikmah Allah menciptakan manusia, walau gagah mana pun manusia tersebut, tetap ada kelemahan, supaya kita sentiasa mencariNya apabila kita sedar yang kita ini lemah.

Teknik

Teknik yang sepatutnya dimahiri wanita wajiblah mudah, ringkas, dan tidak banyak kerja dan kudrat digunakan. Juga, wanita perlu tahu corak serangan penjenayah. Ini bukan semata-mata macam latihan di gelanggang, pasangan menyerang secara lurus berhadapan. Penjenayah, nak kerja jenayahnya didiamkan dan tidak disedari mangsa. Boleh jadi serangan dari belakang, ketika mangsa tidur, dan lain-lain.

Maka, selain teknik, petua-petua juga waijib diturunkan kepada wanita seperti 'mendulu' apabila penjenayah mengisyaratkan serangan, 'bertalu-talu' ke sasaran supaya penjenyah mati niat, mati gerak hatta mati nyawa sekalipun. Cucukkan mata, gigitan ke telinga, tumbukan sauk ke halkum, tendang tikam ke persenyawa, dan lain-lain lagi, bukan sekadar diketahui, malah waiib dilatih secara 'drill' berulang kali, agar wanita ada idea untuk melaksanakannya ketika kejadian. Nak suruh cuba bertenang, berfikir tentang situasi, dan lain-lain lagi, waktu seminar bolehlah. Waktu betul-betul, minda kosong kerana ketakutan. Sesiapa yang pernah memasuki gelanggang sukan beladiri tanpa latihan, dan orang yang pernah menjadi mangsa jenayah, tahu betapa sukarny keadaan. Alah, suruh bercakap depan orang ramai pun, atas pentas ke, tergagap-gagap budak Melayu kita. Dalam fesbuk kemain handal lagi berbahasa.

Nanti kita cerita lagi. Dah waktu Asar ni.

No comments:

Post a Comment