Friday 6 June 2014

SIZE : DOES OR DOESN'T MATTER?

Dalam banyak hal, saiz memainkan peranan besar. Tapi, tak perlulah cerita semua. Kita berkisar sekitar ilmu bertumbuk je la ye.

Dalam dunia kependekaran, adakah saiz badan memainkan peranan dalam menentukan kemenangan?

Mungkin, tapi bukanlah faktor yang paling utama.

Dalam sayembara, kemahiran, kepantasan, ketangkasan,  kebijaksanaan, doa dan lain-lain menjadi pemangkin dalam menentukan pemenang.Sebagai pengamal buah pukul, nukil mencatatkan segala petua yang perlu difahami untuk menguasai lawan. Antara yang terpenting ialah, memahami dan melatih 'ukur dan jangka'.

Memang diketahui, lawan yang lebih besar akan mendatangkan lebih tekanan dan beban apabila kita 'bersanggit' secara berdepan. Dari situlah datangnya Lian, yang jika difahami membantu kita mengalihkan kedatangan beban dan tekanan dari musuh secara 'menumpang kederat'. Setiap Lian tercipta begitu, dan antara Lian yang paling berkesan ialah Lian 15 dalam silibus Lian Padukan, iaitu Lian Semutar. Namun, untuk sampai ke lian ini, seeloknya sudahkan dahulu silibus-silibus sebelumnya, kerana silibus sebelumnya menyediakan kita memahami lian ini dengan lebih tajam. Jangan langkau-langkau, dan jangan minta-minta gurulatih tunjukkan pelajaran yang belum waktunya kita pelajari. Ajar sabar dalam diri.

Mukadimah je tu. Sebenarnya, begini. Kawan terdengar rungutan adik kawan, yang sering dibuli di sekolah oleh kaki buli yang lebih besar saiznya. Sebagai 'bekas' mangsa buli waktu persekolahan dulu, kawan faham perasaannya. Kawan pun bertubuh kecil, dari sekolah sampailah sekarang.

Maka, menjadi tanggungjawab kawan mengajar adik kawan serba sedikit ilmu seni beladiri. Berdosa kita, andai ilmu yang ada, tidak diajarkan, terutamanya kepada waris sendiri. Namun, memandangkan adik kawan bukanlah ahli Lian Padukan, kawan cuma ajarkan setakat asas-asas yang perlu diketahui untuk membeladiri. Asas terpenting kawan terapkan ialah sabar, selain 'hendaklah mendulu jangan menunggu, bertalu-talu agar tak tualu' dan 'tidak bermalam', andai kata keadaan mendesak. Alhamdulillah, sedikit bekal kawan beri, sikit sebanyak membantu dia menambah keyakinan dalam diri. Tidaklah digunakan untuk bertumbuk, cuma berbekalkan keyakinan tersebut, dia boleh menghindari diri dari sebarang konfrontasi dan terhindar dari menjadi mangsa buli.

Dan antara sebab utama kawan menyertai Lian Padukan ialah, saiz arwah pengasasnya, iaitu Allahyarham Pak Mat Kedidi. Kawan terpikat dengan cara beliau menjatuhkan Guru Aziz Endau dalam suatu sedutan rakaman rancangan RTM yang boleh ditontonkan di Youtube. Sangat tangkas dan pantas untuk orang tua seusia dan sesaiznya, menjatuhkan lawan yang kira-kira dua kali saiznya. Kawan orang bertubuh kecil, maka permainan orang berbadan kecil lah yang kawan cari. Ini untuk meneutralkan kedatangan musuh yang bertubuh lebih besar.

Jangan dipandang enteng akan orang yang bertubuh kecil atau pendek. Lihat sahaja mendiang O sensei atau Grandmaster Morihei Ueshiba. Dengan saiz dan usianya yang sangat lanjut, lihatlah bagaimana berkembangnya aikido ke serata dunia. Royce Gracie, juara pertama UFC, merupakan peserta paling ringan dan paling kecil di awal kejohanan MMA terulung itu. Kita pun tau, waktu awal-awal UFC, mana ada kelas berat. Peserta diambil dari yang terbaik dari pelbagai aliran. Konsep awalnya adalah perlawanan antara seni beladiri (akhirnya diubah supaya lebih bebas dan lebih kesukanan, berbanding perlagaan aliran seni beladiri yang menimbulkan ketidakpuashatian) yang had undang-undangnya tak silap kawan, tak boleh menggigit lawan dan korek mata sahaja. Lain-lain dibolehkan. Brazillian Jiu Jitsu berkembang gah sejak hari itu, dan merupakan permainan 'core' bagi yang mahu menceburi MMA.

Dan jangan tak pandang ke tanah air sendiri. Selain Guru Pak Mat Kedidi, Guru Pak Andak Majid Pusaka Gayung, Guru Dr. Dahlan Karim Setiabakti, Guru Haji Hamid Sendeng (Allahyarham) dan ramai lagi tokoh persilatan tanah air tergolong bertubuh kecil atau rendah, namun ilmu yang mereka miliki bukankah kecil anak dan boleh direndah-rendahkan. Mereka adalah 'Mahaguru' dalam aliran masing-masing, dan 'Mahaguru' dalam arena persilatan Melayu dan dunia. Pada merekalah kita merujuk untuk sebarang nasihat dan petua. Dan jangan juga dilupakan, orang yang kawan kira boleh dianggap 'regu' Ayahanda Haji Hasyim dalam Lian Padukan, yakni orang kanan lagi kepercayaan Ayah sendiri, iaitu Cikgu Din Gondrong. Ini orang yang paling banyak menyimpan buah dan permainan-permainan 'jahat' dalam Lian Padukan. Berani-beranilah menadah badan 'berdiri' dengannya, Insyaallah banyak yang kita anak Lian Padukan boleh pelajari darinya, terutama yang bersaiz 'comel' macam kita.

Pelajarilah Lian Padukan. Sangat sesuai untuk mana-mana saiz badan sekalipun. Semua insan adalah unik, dan dengan latihan, kita mampu menyesuaikan mana-mana teknik dan silibus dalam Lian Padukan untuk dijadikan pakaian kita, insyaallah.

Menyelit sikit. Ada yang mengatakan Lian Semutar atau Lian Cindai adalah suatu Lian yang sangat 'rare'. Pada kami ahli Lian Padukan, nak kata 'rare', ianya ada diajarkan dalam silibus Lian Padukan. Malah, kawan pernah nampak ada lain-lain aliran lian yang membawa langkah yang lebih kurang sama. Mungkin nama liannya lain, tapi tujuannya sama. Malah, terdapat juga aliran silat Melayu yang mempunyai kaedah begitu. Maka, bagi yang kata ianya 'rare', mungkin sebab mereka tak mempelajari atau meneliti lain-lain aliran buah pukul, sekadar berkisar dengan aliran yang dianuti sahaja. Kalau Lian Tasbih, itu 'rare', sebab penelitian dan pencarian kawan, hanya Lian Padukan sahaja mengajarkan Lian Tasbih, yang tergolong pelajaran-pelajaran tambahan dan dikursuskan. Nak tau, bertandanglah ke gelanggang Haji Hasyim di Ros Merah, Johor Jaya. Datanglah dengan hati terbuka, jika yang dicari itu adalah sebuah kelainan.


No comments:

Post a Comment