Friday 20 June 2014

MOTIVASI 4.1 MENGADAPTASI LIAN PADUKAN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

Sambungan

KEKERASAN VS KELEMBUTAN

Konsep antonim atau berlawanan banyak terpakai dalam falsafah beladiri timur, dengan yang ternama adalah 'yin yang'. Konsep ini juga cuba kawan huraikan dalam catatan ini.

Dalam persilatan, terdapat suatu konsep yang dinamakan 'tumpang kudrat', di mana pesilat menggunakan beban serangan lawan untuk mengenakan kembali lawan tersebut tanpa menggunakan daya yang keras atau kuat. Dalam erti kata lain, menggunakan kelembutan dalam mengalihkan daya tujahan. Tidak terkecuali, Lian Padukan turut menggunakan konsep yang sama iaitu ketika 'gelek'.

Secara umum, Lian Padukan dikenali sebagai sebuah seni beladiri offensive yang kelihatan straightforward, keras, ganas dan agresif pada visualnya. Maka, di awal latihan, pelatih dilatih untuk menangani kekerasan dengan kekerasan yang lebih keras lagi. Namun, ada ketika, kita perlu menggunakan kelembutan untuk mengatasi kekerasan. Sebagai contoh, gelek. Gelek dalam Lian Padukan tidaklah selembut tari silat ternama seperti 'lenggang mak janda', namun fungsinya tidaklah berbeza. Gelek bertindak mengalihkan kemaraan musuh yang kita tidak terlayan apabila keras bertemu keras. Maka, proses mengalihkan daya musuh itu melalui gelek merupakan suatu proses 'recovery' iaitu usaha kita mengatasi kekuatan musuh buat seketika, memberi ruang memulihkan diri dan menganalisis peluang lain untuk follow up dengan pukulan terhadap musuh.

Tidak hanya gelek yang kita aplikasikan dalam lian, buah-buah aplikasi juga banyak menggunakan konsep 'tumpang kudrat' yang diregukan dengan 'tidak bermalam' dan 'haram sentuh'. Sebagai contoh, bagi pelatih Lian Padukan, antara buah lapis terawal diajarkan ketika awal mempelajari aplikasi Jurus 1 ialah buah 'kopak'. Buah tersebut dipacu apabila kita melayan tolakan 'perisai' musuh dan kembali dengan 'counter attack'. Tidak terkecuali buah seperti 'malangkan', 'polek', 'sapu cat' dan lain-lain yang menggunakan daya tujah pukulan lawan untuk kembali mengenakan lawan secara 'tumpang kudrat' yang bersifat menyerap dan memantul.

Dalam kehidupan, pancaroba dan dugaan yang hinggap ke atas bahu kita kadang-kadang tidak tertanggung. Masalah zaman kini tidak dapat diduga. Apa yang berlaku, kadang-kala kita cuba menyelesaikan masalah (kekerasan) dengan masalah (kekerasan) yang lebih bermasalah lagi. Sebagai contoh, hutang. Kehendak hidup zaman ini memaksa kita rakyat marhein hidup dalam lingkungan hutang. Hutang demi hutang, akhirnya mendesak kita berhutang pula dengan ah long untuk melangsaikan hutang-hutang terdahulu. Apa yang  berlaku bukan lagi penyelesaian, sebaliknya timbunan masalah.

Juga, kadangkala kita menanggapi setiap permasalahan dengan emosi yang tidak terkawal. Akhirnya, masalah hanya akan semakin buruk kerana emosi tidak terkawal hanya membawa tindakan agresif yang bersifat bodoh dan membinasakan diri.

Dari itu, cubalah kita mencari penyelesaian kepada masalah dengan cara bertentangan dari masalah (kelembutan). Kita cuba luangkan fasa 'recovery' untuk diri kita mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi. Bertindak jangan hanya mengikut emosi yang membawa kemusnahan diri, sebaliknya pimpin emosi ke arah yang lebih positif. Kadangkala, bila terlalu tertekan, menangis pada Yang Hak sangat-sangat membantu. Sungguhpun menangis tidaklah menyelesaikan masalah, tetapi ia boleh jadi fasa 'recovery' bagi kita, lebih-lebih lagi tangisan itu kita khususkan untuk Allah s.w.t kerana menyesali kejahilan dan kesombongan kita melupakanNya ketika senang. Biarpun menangis adalah lambang kelembutan, ketewasan atau kelemahan, tapi siapa kita nak 'mengangkat kepala, mendabik dada' bila mengadu padaNya?

Maka, selepas tempoh pemulihan tersebut, lekas-lekaslah bangkit dengan penuh semangat waja, mendepani segala permasalahan dengan penyelesaian. Bukankah begitu, bila kita gelek. Tak boleh lama berdiri dalam gelek, kena cepat masuk jurus semula agar kita tak tumbang ditolak lawan.

Begitulah adanya gorengan hamba..,

Bersambung...


No comments:

Post a Comment