Sunday 13 July 2014

DOA UNTUK GAZA, JIHAD MENAHAN PERUT DAN TINDAKAN KITA


Gaza dibedil lagi! Kita doakan Allah Al-Jabbar wal Muntaqim meletakkan laknat ke atas Zionis Yang Direjam!

Di saat kita semua dihanyutkan dengan demam Piala Dunia dan meraikan ibadah di bulan Ramadhan, saudara-saudara kita teruk diserang di Palestin sana. Allah...

Dan kita, setakat apakah mampu kita lakukan di kejauhan ini? Ingatlah, setiap kita akan disoal kelak berkenaan permasalahan saudara-saudara seIslam kita. Sudah sepatutnya kita semua bersatu hati dan meneguhkan aqidah dalam meluruskan saf perjuangan kita.  

Sayangnya, kita dihadkan oleh sempadan nasionalisme, sedangkan suatu ketika dahulu di zaman kekhalifan Islam, kita semua saudara tanpa had sempadan. Saudara di Barat dicubit, saudara di Timur merasa sakitnya. Kini, kita hanya mampu melihat sahaja saudara kita kesakitan. Bahana 'pecah dan perintah' angkara kuffar laknatullah. Allah...

OIC yang kita harapkan untuk membela dunia Islam, hanya mampu 'berkokok' menggesa PBB yang ditunjangi kaum kafir. Ketegasan yang berpura-pura. Hanya sekadar buat dari tiada apa. Sedangkan saudara kita di sana, menderita saban hari.

Allah...

Kita usahakanlah semampu kita. Jangan kedekut menghulur bantuan semampunya. Doa jangan ditinggalkan, titipkan buat hero-hero kita di sana, Briged Al-Qassam. InsyaAllah, sebacaan Al-Fatihah yang kita kirimkan buat mereka, akan membantu menaikkan kekuatan rohani mereka menghadapi musuh durjana.

Dan mungkin apa yang patut kita lakukan sekarang adalah bersedia dan bersiap siaga, menunggu ketika yang dijanjikan Allah untuk memusnahkan angkara yang dimulai Zionis Yahudi Laknatullah.

Berdasarkan sebuah hadith yang selalu diperkatakan tentang maqam sanad dan riwayatnya, di mana Rasullullah s.a.w bersabda yang membawa maksud 'seorang hamba yang mujahadah melawan nafsu' apabila ditanya apakah jihad yang lebih besar dari ke medan perang, dapatlah kita simpulkan bahawa sebesar-besar jihad adalah bermula dari diri kita sendiri.

Kembali ke maksud jihad, jihad adalah 'bersungguh-sungguh menggunakan tenaga'. Dalam konteks perang fisabilillah, jihad dimaknakan dengan 'berjuang bersungguh-sungguh di medan tanpa gentar, hanya Lillahitaala'. Ganjaran yang menanti para pejuang jihad adalah dua, samada hidup menang atau mati syahid.

Namun, 'fisabilillah' sering disalahertikan oleh mereka yang dangkal ilmu agama. Maka, jadilah yang berantai leher, menogak kencing setan, kaki clubbing dan perempuan, kaki nombor dan macam-macam perkara mazmumah sebagai pakaian sewenang-wenang menjerit 'jihad fisabilillah' tanpa pengertian. Samseng-samseng yang tidak ada langsung ciri-ciri kepahlawanan seperti yang diwajahkan oleh hero-hero kita, Briged As-Syahid Izzudin Al-Qassam. 

Jihad, andai difahami dan dimengerti, adalah bermula dengan aqidah, akhlak dan feqah yang sempurna diterapkan ke dalam diri. Menggigit teguh kalimah syahadah dengan gigi geraham sekuat-kuatnya. Di kala itu, tiada lagi gentar di hati menghadapi musuh. Bukan sekadar beramai-ramai 'berbaju-baju' menunjuk gagah. 

Sebagai memulakan latihan menerapkan jihad ke dalam diri, mulakan dengan perut sendiri dahulu. Alhamdulillah, kita kini di bulan mulia Ramadhan, institusi tarbiyah rohani yang terbaik. Merasa berlapar bersama-sama golongan miskin fakir, gelandangan dan saudara kita di medan perang. Sesungguhnya, kekuatan para mujahidin muncul ketika berlapar, kerana yang diisi ketika itu bukanlah makanan jasmani, tetapi rohani. Lihatlah ibrah yang ditunjukkan oleh 313 pahlawan Badar.

Maka, kita pun ambillah iktibar dari hikmah berlapar ini. Kalau kita fikirkan, Rasulullah s.a.w mahukan umat Islam sihat dan gagah. Saidina Umar Al-Khattab dikhabarkan mahukan pejuang Islam mampu melompat ke atas kuda dengan sekali lompat sahaja, dan di setiap mukim disediakan tempat latihan memanah dan berkuda. Era Islam menyebar luas ke seluruh pelusuk dunia.

Jadi, fahamlah kita. Umat Islam yang gagah amatlah diperlukan. Kegagahan kita menimbulkan gerun di mata musuh. Di mata pun sudah menggerunkan, di hati apatah lagi. Timbulkan kegerunan musuh dengan fizikal kita, hasil menjaga perut yang dibiasakan berpuasa. Mana yang lebih menggerunkan musuh, pahlawan dengan body mass index (bmi) sempurna 24 yang mengacung senjata mengejar musuh, atau ber'bmi' melebihi 30 (obes) yang termengah-mengah selepas 10 meter berlari anak.

Perut juga wajiblah dilatih menjauhi perkara syubhah dan haram dalam melahirkan diri mujahidin dalam jasad setiap umat Islam. Dadah, arak, rokok, rasuah, riba dan lain-lain, sedar atau tidak, perlahan-lahan memamah keperibadian dan kerohanian umat Islam, samada yang mengamalkannya atau tidak. Yang mengamalkannya, sudah tentu terkesan dengan kemungkaran yang dilakukan, tetapi bagaimana pula bagi yang tidak mengamalkannya? Apabila kita mendiamkan sahaja kawan-kawan atau saudara-mara kita tegar meminum arak, mengambil dadah, beratur di kedai judi nombor, seolah-olah kita merelakan maksiat itu terus berlaku. Ya, kita membenci perbuatan itu dengan hati, dan itulah selemah-lemah iman.

Apa pun, kita usahakan menjaga kesihatan diri sendiri, di samping beristiqamah memenuhkan tuntutan rohani ke atas diri. Semangat jihad tidak hanya datang dari laungan emosi membuta tuli. Ia datang dari hati yang sebati dengan akidah, akhlak dan fekah yang senantiasa dipelajari dan dituntuti.

Dan sudah semestinya, persiapkan diri kita dengan ilmu seni beladiri. Mahu berjuang perlulah dengan ilmu. 






No comments:

Post a Comment