Friday 25 July 2014

THE WAY OF PADUKAN - MY WAY

Pertama sekali, kita cuba perhatikan maksud 'lian' terlebih dahulu.

Pelbagai tafsiran berkenaan lian boleh kita dapati berdasarkan perguruan masing-masing, yang alirannya bersanad hingga ke Syed Abdul Rahman Al-Yunani.

Setelah diteliti setiap maksud, tafsiran dan takwilan yang pernah kawan dengar melalui muzakarah, melalui pembacaan dan lain-lain, kawan buat tafsiran sendiri.

'The way'

Sepanjang menceburi Lian Padukan secara khusus, dan buah pukul secara amnya, bagi kawan, 'lian' merupakan 'jalan', 'laluan', 'kaedah' atau 'jambatan' yang menghubungkan kita kepada tujuan buah pukul - 'Hendak Mengena, Tak Nak Kena'.

'Lian' itu sendiri adalah khazanah, peti simpanan ilmu buah pukul yang perlu dirungkai, perlu dihurai dengan sepenuh kefahaman melalui bimbingan guru dan latihan. Tidak boleh tidak, guru dan latihanlah yang mengemudi kita melalui 'jalan' yang kita teroka untuk menyampaikan kita kepada tujuan buah pukul itu tadi.

Namun, cuba kita lihat sisi lain 'lian' itu sendiri. Adakah semata-mata bercerita tentang pukul, tentang bertumbuk, dari celik mata ke waktu lena?

Mungkin bagi sesetengah, ya. Sebahagian lagi, tidak. Kawan di sisi mereka yang berkata 'tidak'.

Kami melihat 'lian' ini lebih dari sekadar bertumbuk. Ia adalah 'the way' kami menanggapi kehidupan.

'The way' dalam Lian Padukan akhirnya akan membawa kita mengupas maksud PADUKAN itu sendiri, dari segi rohani dan jasmani. Dari segi jasmani, latihan demi latihanlah yang akan membawa kita ke maksud itu, kerana latihan adalah suatu bentuk 'software' wajib yang dengannya, kita meng'install' segala kemahiran bergayang lima dan bersenjata lapan, dan boleh digunakan di waktu memerlukan tanpa 'lagging' atau 'loading' terlalu lama berfikir mana teknik mahu digunakan, nak gelek ke, nak lapis terus, kalau dia tetak dari atas, apa nak buat. 'Jauh dijemput, datang disambut, dekat direbut, balik diturut' adalah jawapan yang ada dalam jasad kita, apabila 'ukur dan jangka' sebagai 'syarat berdiri' selalu dilatih tubi.

Dari segi rohani, sebaik-baiknya berteleku berdepan guru. Insyaallah, ada huraiannya satu persatu,

Maka, dalam pada menjadikan Lian Padukan sebagai 'the way' yang wajib berlandaskan syarak dan akidah, kawan letakkan kata-kata ini sebagai ingatan yang wajib tersemat kukuh di hati.

'Stop complaining, quit compairing, start doing something'.

Daripada melayan perbalahan yang diwarisi turun-temurun oleh 'peminat' tak langsung Lian Padukan, daripada membanding-banding perkara furuq, adalah baik kawan memulakan sesuatu.

Sesuatu yang dimaksudkan itu adalah 'berlatih'.

This is my way - The Way of Padukan.

No comments:

Post a Comment