Monday 28 July 2014

SI LUMPUH DAN ANAK-ANAK - TAULADAN DI HARI RAYA

Baru pulang dari masjid, bersolat sunat Aidil Fitri. Sementara menunggu orang rumah bersiap nak dibawa beraya, kawan curi masa sikit berkongsi pengalaman kawan sewaktu di masjid pagi tadi.


Kami agak lewat juga ke masjid pagi ni. Setiba di masjid, tersangkutlah kawan di depan pintu masjid, memandangkan dewan solat sudah penuh untuk dimasuki. Selang 2 kali takbir raya, jemaah berdiri bersiap untuk menunaikan solat sunat Aidil Fitri.

Di kesempatan para jemaah merapatkan saf dan mengisi saf kosong, kawan  pun ikut mencelah. Hinggalah kawan bersebelahan dengan seorang brader yang berkerusi roda - lumpuh sebahagian badan yang kawan lihat hanya boleh menggerakkan kepala dan mengangkat tangan kiri sahaja. Agak sayu juga sebenarnyan, namun kawan usaikan juga solat sunat bersama jemaah yang lain.

Selesai solat, kawan perbetulkan duduk supaya selesa mendengar khutbah raya.Dalam kepala, sinopsis khutbah dah siap ada. Komfem ada cerita pasal perjuangan syuhada di Gaza, tentang khilangan MH370, pengeboman MH17 dan lain-lain isu yang membawa sedar tentang permasalahan umat akhir zaman. Ternyata betul telahan hamba.

Dan kawan masih bersebelahan brader berkerusi roda tadi.

5 minit khutbah bermula, datang 2 orang kanak-kanak perempuan comel-comel belaka. Seorang dalam lingkungan umur darjah 4, manakala seorang lagi dalam lingkungan 'baru dapat lesen P' untuk berjalan. Mereka mendatangi brader tadi dengan berbekalkan sebotol air masak.

Dengan ekor mata, kawan menjeling ke arah mereka. Kawan kira, kedua-dua budak itu adalah anak-anak kepada brader tersebut. Si kakak langsung menyuakan straw dari botol air masak kepada brader tadi. Tahu yang ayahnya mungkin dahaga.

Dari ekor mata kawan juga, kawan lihat kesan lorongan air mata di sisi pipi brader tersebut. Langsung mata kawan berkaca, hati jadi sebak. Sebelah telinga dengar khutbah, sebelah lagi mendengar celoteh hati sendiri.

Betapa brader ini dikurniakan anak-anak solehah, yang sungguhpun masih kecil,tidak segan berbakti kepada orang tuanya yang tidak cukup sifat. Kawan membayangkan si ayah itu mestilah seorang yang sangat penyayang dan beragama dalam mendidik anak-anak, hingga mampu melahirkan zuriat sebaik itu di ketika sihatnya.

Kawan juga langsung terfikirkan diri kawan sendiri, andai berada di tempatnya. Mampukah kawan masih mahu ke masjid dalam keuzuran sebegitu? Masihkah kawan mahu memikirkan ibadat dan pengabdian kepada Allah s.w.t dalam keadaan yang kekurangan sebegitu?

Allah...

Malah kawan terfikir sendiri, dalam keadaan begitu, mampukah kawan mahu berhujah tentang keampuhan senjata lapan dan gayang lima yang kawan alunkan di setiap waktu latihan? Mampukah kawan pertahankan diri dan keluarga kawan andai ada malapetaka berlaku?

Allah...

Dalam meletakkan diri di tempat brader itu, kawan cuba mengerti sendiri. Sokongan keluarga amatlah perlu untuk meneruskan kehidupan di waktu sebegitu.

Malah, pergantungan kepada Allah s.w.t sangatlah wajib melepasi 100%. Di kala kita sempurna (sangka sempurna), kita tidak pu  merasa perlu kepada Allah s.w.t 100%. Kita rasa apa kita perbuat adalah sepenuhnya dalam kawalan kita, kehendak kita.

Tiba-tiba, Allah s.w.t tarik nikmat 3,4 anggota senjata kita. Mana pergi kita punya '2 gerak 3 ruat'? Mana pergi 'ukur jangka kita'? Mana pergi segala gah 'asli-tak asli kita'? Satu pun takkan mampu membantu, melainkan izin Allah s.w.t.

Sebab tu, dalam didikan Ayahanda Haji Hasyim, selalu beliau ingatkan tentang 'innalillahi wa inna ilaihi raajiun'. Pusing mana sekalipun, kita milik Allah, dan akan kembali padaNya.

Dan kawan juga terfikir tentang usaha kita untuk tetap menjaga kesihatan. Tidaklah kawan mengatakan brader itu tidak tahu menjaga kesihatan, kerana kawan tak pun kenal brader tu. Namun, itu peringatan buat kawan. Rasulullah s.a.w dah oesan lama dah, ingat 5 perkara sebelum 5 perkara, yang salah satunya adalah sihat sebelum sakit. Maka, dengan sihat kawan sekarang ni, apakah yang sudah perlakukan dengan nikmat sihat tersebut?

Kadang-kala kita tak tahu pun apa nikmat sihat sebelum menjadi sakit.

Kawan doakan kesihatan brader tu bertambah baik, dan terus istiqamah beribadat di kala kesihatan yang sebegitu rupa. Juga semoga anak-anaknya menjadi insan-insan solehah yang membungai dunia kemenangan Islam.

Amin..




No comments:

Post a Comment