Saturday 2 August 2014

HOBI

Alhamdulillah, kita masih di bulan Syawal, meraikan kemenangan kita mengekang nafsu yang buas sepanjang Ramadhan. Harap-harapnya, segala amal bakti kita sewaktu 'menuntut' di 'institut tarbiyah Ramadhan' akan terus sebati diistiqamahkan sepanjang tahun, sepanjang hayat. InsyaAllah..

Yok kita sembang-sembang perkara yang ringan dan mudah, berkenaan hobi.

Hobi secara umumnya adalah suatu aktiviti yang dilakukan untuk memenuhi kepuasan, yang kebiasaannya dilakukan ketika waktu senggang. Terdapat pelbagai bentuk aktiviti yang menjurus kepada hobi seperti mengumpul item, menceburi bidang keseniaan dan kreativiti, aktif dalam kesukanan dan rekreasi, serta lain-lain lagi yang memberi keseronokan dan kepuasan. Bagi mereka yang berterusan dalam hobi yang diceburi, mereka akan mencapai suatu kemahiran dan pengetahuan yang luas dalam hobi tersebut.

Hobi secara saintifik juga berkait dengan emosi, pengalaman, minat dan intelek seseorang. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa seseorang yang mempunyai suatu hobi spesifik mempunyai kualiti hidup yang lebih baik berbanding mereka yang tidak mempunyai hobi atau tidak sepenuh hati berhobi. 

Hobi yang spesifik bermaksud hobi yang dijalankan dengan penuh kecintaan, penumpuan dan sepenuh hati. Hobi seseorang boleh jadi membaca, namun secara spesifiknya seseorang itu sangat meminati bahan bacaan bercorak sastera dan menumpukan sepenuh perhatian mengumpul bahan-bahan bacaan seperti antologi puisi lama hingga sanggup ke ceruk kedai buku mana pun yang menjual buku-buku lama untuk mencari bahan-bahan tersebut. Hobi seseorang boleh jadi mengumpul stem, mengumpul sahaja stem-stem terpakai yang diterima melalui surat-surat yang dipos, namun apabila melihat seseorang yang menggilai hobi mengumpul stem secara spesifik, kita boleh lihat seseorang itu akan menunggu-nunggu hari keluarnya stem hari pertama, mencari-cari stem lama-lama atau stem-stem 'rare' yang salah cetak atau apa-apa sahaj berkaitan stem. 

Kadang-kala, hobi menjadi suatu kegilaan yang menolak kewangan sebagai suatu batasan. Bagi kawan, berpada-padalah mengikut kemampuan.

Hobi juga menjadikan seseorang merasa 'dipunyai' dan 'dihargai' oleh aktiviti yang dicintai. Hasil kepada hobi yang diceburi adalah - kepuasan. 

Apakah hobi kalian? Kepada yang membaca tulisan kawan ini, kawan boleh teka. Hobi kalian adalah SENI BELADIRI.

Samalah kita, gamaknya.

Secara umumnya, kawan perhatikan mereka-mereka yang 'otaku' kepada martial arts mempunyai kecenderungan yang sama. Menyertai mana-mana perguruan martial art secara rasmi atau tidak rasmi, minat menonton rancangan bercorak seni beladiri seperti dokumentari persilatan, UFC, Road FC, One FC, K1, boxing, tomoi dan lain-lain secara live, televisyen atau Youtube, mengumpul bahan bacaan seperti majalah Seni Beladiri, Blackbelt Magazine, Silat Tua, Senaman Silat Untuk Semua dan lain-lain, membaca komik Hong Kong atau manga Jepun berkaitan martial art seperti Alam Perwira dan Karate Shoukoshi Kohinata Minoru dan lain-lain, mengumpul t-shirt dan item berkaitan martial art, ada tergantung 'punching bag' di rumah, ada mengumpul senjata-senjata seperti keris, pedang, kerambit, nunchaku dan lain-lain, suka menyertai seminar-seminar, kursus-kursus dan perkumpulan berkaitan martial art. Ada satu-dua ciri-ciri di atas, anda berhobikan seni beladiri.

Dan yang mengikat hati kita kepada hobi kecintaan kita - seni beladiri -  secara spesifik adalah LATIHAN. Perkara-perkara di atas lebih menjurus kepada teori sahaja, namun praktikaliti melalui latihan menjadikan hobi kita adalah spesifik.

Seperti orang yang suka mengumpul bahan bacaan sastera, lama-kelamaan dia akan cenderung untuk cuba menghasilkan karya sendiri, dan apabila berpuas hati dengan karyanya, akan dikongsikan melalui media-media rasmi seperti Dewan Sastera atau surat khabar. Hasilnya? KEPUASAN.

Begitulah mereka yang berhobikan seni beladiri secara spesifik. Kepuasan hanya akan diperolehi melalui latihan, yang diperkayakan lagi melalui teori-teori yang dikumpul melalui lain-lain sumber seperti gurulatih, bahan bacaan dan perkongsian. Sampai suatu masa, apabila penghobi tadi tiba di suatu takat, dia mahu menguji kemampuannya di gelanggang sukan kombat. Kalah menang itu adat, yang penting hasil akhirnya. KEPUASAN.

Dan ada juga penghobi yang mana di suatu takat, apabila sudah ditauliahkan, akan menyebarkan kecintaannya terhadap seni beladiri kepada masyarakat umum. Jadilah dia gurulatih, dan mengajarkan pengetahuannya kepada penghobi-penghobi baru bidang yang diceburinya. Hasil akhirnya - KEPUASAN.



No comments:

Post a Comment