Wednesday 20 August 2014

THE WAY OF PADUKAN : KEPENTINGAN LATIHAN FIZIKAL DALAM MEMPERKASAKAN MINDA DAN ROHANI

Latihan fizikal sangat penting bagi mereka yang melalui jalan kependekaran. Mungkin bukanlah yang terpenting, namun tetap berada di senarai teratas perkara yang wajib dititikberatkan untuk yang memilih jalan 'the way of Padukan'.

Mungkin bagi sesetengah individu, latihan kemantapan fizikal tidaklah perlu. Cukuplah sekadar iman yang utuh, sahsiah yang terpuji, doa-doa dan satu-dua petua persilatan dalam menghadapi musuh, sudah memadai. Betul, memang cukup, apatah lagi bila kita yakini ayat 'Hasbunallahu wa ni'mal wakil'.

Namun, jika kita mahu tetap dilandasan kependekaran 'the way of Padukan', jangan lupa berpegang sama pada mafhum hadith "Mukmin yang kuat lebih dicintai Allah dari mukmin yang lemah". Kuat di sini, mungkin subjektif maksudnya, dan sebaik mungkin ikutilah syarah-syarah di kuliah hadith terdekat dengan kediaman kita.

Apa yang cuba kawan beritahu ialah, dalam pada kita menekuni pelajaran-pelajaran buah pukul, petua-petua pukul, rahsia-rahsia pukul, amalan-amalan duniawi dan akhirat, jangan kita ketepikan langsung latihan bercorak fizikal.

Pelajaran-pelajaran Lian Padukan bukan bercorak fizikal ke? Ya, semua pelajaran Lian Padukan dari senaman-senaman, pelampas-pelampas, Jurus1 hingga permainan khatam adalah bercorak fizikal 100%. Bukan main hembus-hembus, terbangkan orang ke sana ke sini. 

Namun, intensiti setiap latihan adalah bergantung kepada individu. Syukur, tetap ada gurulatih-gurulatih yang memandang berat hal ini, menitikberatkan latihan fizikal berintensiti tinggi di gelanggang kendalian masing-masing, antaranya Dr. Din Misai, Pengerusi Lian Padukan Selangor dan Kuala Lumpur dan Cikgu Juhann Laksamana, Setiausaha Agung Lian Padukan Malaysia. 

Yang kawan maksudkan dengan latihan fizikal berintensiti tinggi ialah seperti latihan bebanan, latihan larian pecut, larian jarak jauh seperti marathon atau half marathon, latihan kekuatan anggota spesifik seperti penumbuk yang dilatih dengan menumbuk makiwara, tendangan dilatih dengan menendang batang pisang dan lain-lain lagi yang boleh menjadi 'supplement' kepada latihan harian dan gelanggang.

Pokoknya, gurulatih gelanggang hanyalah pemudahcara atau fasilitator untuk melorongkan usaha kita. berbalik kepada kitalah untuk memastikan intensiti latihan fizikal kita sentiasa di paras yang menguji kemampuan kita.

Kenapa penting sangat bunyinya latihan fizikal ni?

Penting. Sangat-sangat penting.

Latihan fizikal yang berterusan secara berkadar masa dengan waktu, pasti akan menampakkan hasil kepada kita dari segi kekuatan otot dan fungsi jantung (stamina), kepantasan gerak tindak dan refleks, kesihatan yang baik dan kesediaan untuk bertindak untuk apa-apa keadaan.

Bukankah kita diseru lama dahulu oleh Baginda Rasul supaya bersiap-sedia dengan segala kekuatan yang kita mampukan?

Apabila fizikal kita cukup fit, segak dan sihat, secara tidak langsung konfiden kepada diri meningkat tinggi. Keyakinan diri yang tinggi menyediakan mental kita untuk menerima dan menampung tanggungjawab yang menggunung. Tanggungjawab pada agama, bangsa, tanah air, keluarga, masyarakat dan sebagainya. 

Kesihatan fizikal yang baik juga menyiapkan rohani kita untuk tekun beramal. Orang yang sihat tubuh badan pasti lebih mudah untuk bangkit beribadah di malam hari berbanding mereka yang sakit. Namun, bagi mereka yang mensyukuri ujian sakit yang dilalui pastilah berganda lebih baik daripada orang yang sihat tubuh badan, tegap dan mapan namun menggunakan kesihatan itu ke jalan yang salah seperti 'memayungi' pusat-pusat hiburan malam, pusat-pusat judi dan segala macam maksiat yang berlainan skala.

Dari aspek bertarung pula, kecergasan fizikal akan membentuk daya tahan dan stamina yang baik. Dalam sayembara, pertukaran tumbuk-menumbuk dan tendang-menendang akan ditentukan oleh daya toleransi kita terhadap kesakitan. Detik demi detik, stamina pula teruji. 2, 3 kali kita terpaksa merempuh halangan stamina untuk terus bertahan, terutama bagi mereka yang biasa berlaga di gelanggang sukan tempur. Apabila halangan stamina tiba pada hadnya, hanya tinggal keteguhan hati yang kuat yang mampu menolak kita untuk terus bangkit bertempur.

Biasa kita dengar bukan, 'alah, bergaduh ni bukan lama. Satu dua minit belum tentu sampai.' Tidak salah pun ayat ini, namun kata-kata ini hanya mainan bibir mereka yang berfikir di luar konteks seni beladiri. 

Mereka ini tidak langsung melihat jalan kependekaran sebagai suatu gaya hidup dan cara fikir yang membina sahsiah. Kepala mereka hanyalah bertumbuk, menang, bertumbuk, menang.

Sebenarnya, latihan fizikal berintensiti tinggi juga adalah suatu kaedah mendisiplinkan diri supaya sentiasa tegas kepada diri sendiri. Kawan pinjam kata-kata Mendiang Masutatsu Oyama, Pengasas Kyokushin Karate yang terkenal dengan jolokan 'karate terkuat di dunia'. 

"Be kind to other people, but be firm with ourselves''. Tak dilupa, "one becomes a beginner after 1000 days of training, and become an expert after 10000 days of training."

Jadilah orang yang baik kepada orang lain, namun tegas pada diri sendiri. Apabila kita tegas kepada diri sendiri, kita tidak akan mudah goyah dengan keputusan yang kita buat, dan cekap menilai baik buruk sesuatu keputusan.

Bukankah dalam nukil sudah tercatat, "Tertakluk pada akal budi bicara"?

Kita pula kadang-kala sudah merasa diri 'fighter' sempurna apabila sudah khatam silibus, padahal itulah sebenar-benar pembohongan terhadap diri sendiri. Khatam sebenarnya adalah permulaan kepada sebuah pencarian yang hakiki. Apabila kita meletakkan diri kita sentiasa di tahap 'beginner', kita akan sentiasa merasa perlu kepada latihan. Sentiasa rasa tidak senang duduk jika sehari tidak berlian. Dan untuk sungguh-sungguh mahu menjadi seperti apa yang disiplin kita mahukan, iaitu Lian Padukan, hendaklah terus menerus menghayati segala ajaran, petua dan rahsia yang turun-menurun guru-guru zaman-berzaman wariskan kepada kita. Kalau ikutkan 10000 days tu, kira pukul rata, 28 tahun jugak. Genapkan jadi 30 tahun, maknanya 30 tahun mengamalkan disiplin beladiri yang kita ceburi, barulah kita di tahap 'expert', walaupun itu bukan matlamat kita yang utama.

Apa pun, tulisan ini sekadar peringatan kepada diri kawan sendiri, supaya mengotakan apa yang dikata. Lebih-lebih lagi, kita di era yang memerlukan persiapan menyeluruh. Bersempena dengan program 'FitMalaysia' yang diusahakan menteri paling sporting lagi macho, En. Khairy Jamaluddin, kita warga persilatan sepatutnya terkedepan dalam mempromosikan beladiri sebagai cabang kesihatan dan kecergasan. Pertama sekali, perangilah statistik  'Malaysia paling tinggi kadar obesiti di Asia dan Asia Tenggara'.

"Al-aqlu salim fi jismi salim". Akal yang cerdas dari badan yang cergas. Pepatah arab yang menjadi kesimpulan kepada tulisan kawan hari ini. Janganlah kita hanya cerdas di mulut atau di jejari yang menaip sahaja, namun fizikal ke laut, akal melalut.









No comments:

Post a Comment