Tuesday 26 August 2014

TANGAN

Tangan - kanan dan kiri - merupakan senjata terawal yang diajarkan dalam silibus Lian Padukan, menerusi Jurus 1. Agak berbeza dengan aliran-aliran beladiri perdana, kaedah menumbuk dalam Lian Padukan dan kebanyakan  aliran buah pukul sedikit berbeza, namun perbezaan tidaklah perlu diperdebatkan. Yakinilah kaedah aliran masing-masing.

Landasan menggunakan tangan, terutamanya dalam keadaan menumbuk, adalah berdasarkan petua-petua yang digarap khusus, yang sangat kemas diformulasi oleh pendiri-pendiri buah pukul terdahulu agar mencapai tujuan buah pukul iaitu 'Hendak Mengena Tak Nak Kena'. Anak-anak Lian Padukan yang kepingin melihat formula-formula tersebut, ada tersedia di ruang pameran gelanggang induk bagi yang berkesempatan menziarahi Ayahanda Dr. Haji Hasyim.

Malah, Ayah juga dengan pengetahuan luasnya mengekstrak pula formula-formula tersebut dengan garapan yang lebih ringkas dan mudah difahami melalui 'Hikayat 1001 Penumbuk'. Menarik bunyinya, bukan? Seperti namanya, permainannya juga sangat menarik. Ringkas dan direct. Semoleknya, bergelanggang untuk mendapatkan kefahaman. Dan jangan risau, ianya masih beridentitikan buah pukul. Kita ibaratkan begini. Buah-buah penumbuk pelbagai kaedah itu adalah 'huruf', lian pula adalah susunan huruf yang menjadi 'perkataan', manakala aplikasi dan kefahaman buah dan lian adalah susunan perkataan yang membentuk 'ayat'. Maka, dengan itulah kita 'berhikayat', 'bercerita' tentang penumbuk.

Bercerita tentang tangan sahaja, 1001 buah hujung boleh diterbitkan. Tidak hanya rigid pada penumbuk, lain-lain buah hujung yang turut diajarkan adalah tekan, tetak, seligi, jotos, tukul, cengkadak, singkap, tikam, cucuk, polek, dan......... banyak lagilah. Semua ini ada di dalam lian, sama ada sudah ditetapkan bentuknya atau diolah mengikut kesesuaian situasi.

Yanh penting, latihan kita. Biasa dengar bukan, kita adalah apa yang kita biasakan. Train like you fight, so you will fight like you train.

Maka, dalam melatih tangan kita, antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah kekuatan, kepantasan, ketangkasan dan ketepatan, selain kefahaman-kefahaman petua pukul yang menjadikan tangan kita mencecah batang tubuh musuh.

Kekuatan boleh dilatih dengan pelbagai variasi latihan, seperti latihan mengangkat beban seperti dumbell, menumbuk makiwara atau punching bag, latihan kalistenik seperti tekan tubi dan lain-lain. Kepantasan, ketangkasan dan ketepatan turut boleh dilatih melalui pelampas, sesi sparring, menumbuk focus pad dan lain-lain, mengikut apa yang ditunjukkan oleh gurulatih dan inisiatif diri sendiri.

Dan terutama sekali, tangan yang itu juga dilatih untuk berbuat baik kepada sesama makhluk. Sungguhpun tangan sudah dilatih menjadi senjata pemusnah, namun biarlah berpada hanya pada keadaan yang memerlukan. Selebihnya, biarlah tangan itu rajin menghukur salam persahabatan. Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Ini petua hidup bermasyarakat, juga petua dalam memukul.

Apa pun, tangan yang terlebih baik adalah tangan yang dicantumkan, menadah harapan kepada Ilahi. Sesungguhnya doa adalah senjata terampuh kita umat Islam.



No comments:

Post a Comment