Saturday 9 August 2014

THE WAY OF PADUKAN - APA ERTINYA SAYA MEMPELAJARI LIAN PADUKAN?

Tulisan paling sinonim dengan pemikir Islam bernama Fathi Yakan yang sudah diterjemahkan ke Bahasa Melayu ialah 'Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam'. Merupakan antara rujukan utama usrah-usrah di sekolah-sekolah, pusat-pusat pengajian dan pergerakan-pergerakan dakwah dan kesedaran Islamiah. Kawan sarankan, milikilah buku ini untuk menambah kefahaman kita berkenaan agama Islam yang kita anuti. Seeloknya wajibkanlah rumah-rumah kita supaya ada dibeli buku ini dan diperbacakan kepada anak-anak kita, supaya tersemat sebenar-benar maksud 'jihad fi sabilillah' ke dalam jasad dan rohani mereka, bukan semata-mata memboikot membabi-buta sampai masjid-masjid pun ikut kena boikot atau buat 'gathering' makan-makan atas nama 'memperjuangkan agama dan bangsa'.
Kawan pinjam tajuk buku itu untuk tulisan hari ini.

APA ERTINYA SAYA MEMPELAJARI LIAN PADUKAN?

Jika ditanya kepada pengamal-pengamal seni beladiri tentang tujuan mempelajari seni beladiri, terdapat pelbagai jawapan yang boleh didapati. Mahu mempertahankan diri, mahu beriadah dan menyihatkan diri, mahu mencari kenalan baru, mahu aktif dalam sukan tempur dan macam-macam lagi. 

Apabila kawan baru mula mengkaji-kaji mencari gelanggang buah pukul, tujuan mempelajari buah pukul yang selalu didendangkan ialah 'nak bertumbuk'.

Dikatakan kata-kata orang lama, 'belajar buah pukul ni untuk bertumbuk, tiada lain'. Asalnya kawan kurang boleh terima kata-kata itu, namun hari semakin hari, kawan mula jinak hat menerima pendekatan itu.

Bagi kawan, perincian kata-kata itu adalah berdasarkan 'level of acceptance' seseorang pelatih. semakin didalami dan dialami, buah pukul tidak hanya bercerita tentang bertumbuk, bahkan ia juga bercerita tentang frasa 'tiada lain'.

Berbalik ke tajuk, apa ertinya saya mempelajari Lian Padukan? Dari sisi kawan sendiri, asalnya kawan menyertai Lian Padukan kerana 'simplicity' yang ditonjolkan. Kawan di ketika itu bergelut dengan kecederaan lutut akibat terlalu aktif dalam sukan, dan baru pulih dari kemalangan jalan raya. Maka, hambur-menghambur dan berguling-guling bukan lagi keutamaan kawan, sesuai dengan peningkatan usia. Usia meningkat, kadar pemulihan dari kecederaan menurun. Namun minat kawan dalam seni beladiri tidak pula ikut menurun, sebaliknya sentiasa merasa perlu untuk terus mempelajari seni beladiri. Maka, hasil research, sembang-sembang kedai kopi, pembacaan dari internet dan majalah Seni Beladiri serta tontonan Youtube, kawan langsung memilih Lian Padukan.

Awal pembelajaran, kawan terpesona dengan kelasakan yang dilatih dalam Lian Padukan, pukulan-pukulan yang tidak rigid namun penuh dengan petua, dan sudah semestinya pengetahuan luas Ayahanda Dr. Haji Hasyim dan gurulatih-gurulatih Lian Padukan. Masing-masing mempunyai 'trademark' tersendiri dalam mengamalkan dan memberi kefahaman kepada kami pelatih-pelatih baru, terutamanya dua 'Din' yang menjadi tulang belakang Ayah iaitu Cikgu Din Gondrong dan Cikgu Dr. Din Misai. Melihatkan karektor mereka berlian dan bermain buah, menunjukkan Lian Padukan memberi kebebasan untuk pelatih merangka identiti sendiri ketika 'berdiri' berlandaskan silibus-silibus yang sudah cantik dirangka dan menepati ilmu pendidikan bahawa setiap manusia adalah unik dan tersediri, maka kaedah atau uslub untuk menyampaikan ilmu kepada manusia juga harus pelbagai berdasarkan tahap penerimaan dan kefahaman manusia tersebut.

Semakin kawan dewasa dengan Lian Padukan, kawan dapati Lian Padukan khususnya dan buah pukul amnya bukan lagi berkisar hanya pada bertumbuk. Semakin kawan cinta kepada Lian Padukan, semakin kawan dapati ia sangat membantu dalam peningkatan sahsiah dan kendiri, malah membantu kawan mengenali diri.

Terlalu kerap kita didendangkan dengan ilmu yang kita pelajari - tak kira apa aliran sekalipun - kita mampu menghadapi atau mengalahkan musuh luaran atau ilmu aliran-aliran lain. Namun, cuba kita kembali renung ke dalam diri, mencari musuh yang lebih besar dan lebih sukar ditumpaskan. Ya, tidak lain, dalam diri kita sendiri yang memakai nama NAFSU.

Nafsu itu yang mendorong kita mencari kehebatan diri. Bila kita berjaya menumbangkan lawan ketika bertumbuk, nafsu itu pula yang memuji-muji dan takjub dengan kehandalan diri sendiri. Nafsu yang itu juga menyuruh kita mencanang-canang kehebatan diri dan ilmu yang dituntuti, sehingga memandang rendah keilmuan dan keupayaan orang lain, sedangkan ada termaktub dalam Syarat 28 yang dipegang ahli buah pukul bahawa 

" 27. Hendaklah adil dan insaf serta kasih sayang kepada makhluk Allah. Memuliakan guru-guru meskipun guru yang bukan daripada ilmu serta jangan dihina ilmu pengetahuan seorang pun." (ehsan facebook PERBUKU)

Nafsu itu juga yang membisikkan 'malaslah', 'ada kerja lain' dan pelbagai alasan yang menidakkan keinginan kita untuk berlatih dan memajukan diri. Nafsu itu juga yang merajinkan kita untuk makan, makan dan makan melebihi kadar keperluan yang sepatutnya. Malas berlatih + rajin makan = lu pikirla sendiri. 

Sudah sampai masanya, kita ubah cara berfikir kita dalam menanggapi ilmu buah pukul, terutamanya kita pengamal Lian Padukan. 

Dan selalu-selalulah tanya diri sendiri - APA ERTINYA SAYA MEMPELAJARI LIAN PADUKAN?




No comments:

Post a Comment