Sunday 31 August 2014

SENI DALAM LIAN PADUKAN

Terlebih dahulu, kawan mewakili warga keluarga Lian Padukan ingin mengucapkan selamat berangkat ke Tanah Suci dan menunaikan ibadah  haji buat Cikgu Nur Azhar Haji Nawawi. Beliau juga lebih dikenali oleh warga Lian Padukan sebagai Cikgu Azhar Kapar, seorang yang sangat progresif dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran buah pukul. terutama drill-drillnya, juga sangat keras pukulannya. Namun, rata-rata murid awalnya kini sudah khatam dan menyambung perjuangan beliau dalam menyebarluas ilmu Lian Padukan. Minta cikgu doakan kami sama ye, di sana.

Hari ini, kita berbicara tentang seni dalam Lian Padukan khususnya, buah pukul amnya.

Ramai yang berpandangan, termasuk pengamal Lian Padukan sendiri, bahawa permainan yang kita dukungi ini tiada seninya. Hanya pukul-memukul sahaja ceritanya. Buah bergocoh dan bergaduh. Bertumbuk.

Umum melihat 'seni' dalam silat adalah seperti yang ditonjolkan dalam silat pulut. Berlimbai tangan, berlela sembah, bertapak melilit, bermain medan dan sebagainya. Tidak salah pendapat itu.

Juga silat-silat yang bertema kuncian. Seni tangkapan, kuncian yang kemas, melekat kuat. Tidak salah pendapat itu. Itulah seni setiap aliran yang wujud, dan wajib diraikan sebagai khazanah ilmu yang tinggi nilainya.

Secara umum, seni sering dilihat sesuatu yang lembut, gemalai. Disebabkan itu juga, silat pulut dipandang enteng oleh sesetengah pihak.

Bagi kawan, secara peribadi, seni adalah lebih dari itu. Seni bukan semata-mata sesuatu yang dilihat, didengar, dirasa. Seni lebih dari itu. Kalau mengikut Kamus Dewan, seni adalah sesuatu yang halus. Halus di sini, bukan bermakna mikro kecil, tetapi adalah sesuatu yang perlu didalami, diterokai, dihayati dan dikaji.

Maka, melihatkan semata-mata limbai tangan orang bersilat pulut semata-mata lembut dan beralun adalah seni,  tidaklah mencukupi tanpa menghuraikan bahawa limbai tangan tersebut adalah suatu 'buah pukulan' yang sangat berbisa sebenarnya. Menghuraikan itu adalah seni. Melihatkan orang bersilat pulut melakukan 'sisip' dan 'calit siku' semata-mata dan mengatakan itulah seni, tidak mencukupi tanpa menghuraikan buah-buah tangkapan dan pukulan yang terkandung di dalamnya. Menghuraikan itulah seni.

Begitu halnya dengan Lian Padukan. Melihat pelatih Lian Padukan menghumbankan tumbukan demi tumbukan bertalu-talu secara keras dan terus menghakim yang Lian Padukan tiada seninya, tidaklah benar. Tumbukan bertalu-talu itu menepati konsep 'tidak bermalam', dan itulah seninya.

Sungguhpun pelatih Lian Padukan mengalunkan lian yang kelihatan rigid, keras, namun tetap ada seninya. Dalam rigid pergerakan itu, tapak dijaga, gelek pinggang diperbetulkan, tangan yang menggenggam penumbuk tetap di dalam 'rumah', melindunginya dari dibolosi, tidak ditarik siku, perisai di hantar dengan tangan yang lurus. Ini contoh kerja yang dilakukan ketika gelek dalam Lian 1. Jika tidak dijaga seninya, sumbanglah ia. Jika dijaga tetapi difahami setiap butir perbuatan, tetap tiada seninya.

Menghuraikan itulah seni.

Seperti mana seni beladiri lain, setiap perbuatan dalam Lian Padukan ada huraiannya. Perbuatan 'simpan' itu sendiri apabila dihuraikan, tersorok pelbagai buah yang 'manis' dimakan. Malah, perbuatan 'simpan' itu sendiri perlu betul diperlakukan. Ketika simpan penumbuk, badan hendaklah tegap, sambil muka menghadap ke posisi baru, bersedia melancarkan serangan. Antara kesilapan yang biasa dilakukan pelatih adalah mencondongkan badan ke belakang ketika menyimpan penumbuk. Kalau ditolak orang, kan tumbang.

Menghuraikan itulah seni.

Untuk memahami seni yang terkandung di dalam Lian Padukan, tidak boleh tidak, berlatih. Jika keseorangan, bersahabatlah dengan cermin. Lihat perbuatan diri dalam cermin. Nak canggih lagi, rakamkan dengan henfon, kamera atau laptop. Jangan lihat sangat tegapnya badan, cantiknya 'biceps' atau menyesali perut yang bergoncangkan lemak, namun lihatlah mana-mana kecacatan perbuatan ketika berlian. Sesi post-mortem di gelanggang juga wajiblah dijadikan pedoman, melalui teguran gurlatih dan rakan.

Apabila kita mampu melihat perincian seni, melihatkan orang bergocoh 'koboi' pun, kita boleh hurai landasan-landasan penumbuk yang dilancarkan. Lagi-lagi kalau orang buah pukul yang bertumbuk, kita boleh lihat dengan jelas lian-lian yang digunakan.

Sebab itu, boxing antara sukan yang sangat kawan minati. Sungguhpun dalam sukan boxing kita hanya menonton dua orang jaguh saling bertukar tumbukan, seninya ada di situ. Setidak-tidaknya, kita boleh melihat bagaimana tapak yang dipasang oleh boxer-boxer tersebut, adakah orthodox atau southpaw.

Juga, kawad kaki. Sungguhpuh dilihat pergerakannya rigid, keras dan sekata, namun tetap ada seninya. Kawalan tempo, nafas, lantunan suara, ketepatan masa, kekuatan derap kaki, aturan satu-dua dan macam-macam lagi wajib diambil kira untuk keseragaman berkawad. Bayangkan kawad kaki tanpa seni, pasti bersepah.

Menghuraikan itu adalah seni.



No comments:

Post a Comment