Friday 19 September 2014

KAKI

Selamat Hari Lahir diucapkan kepada Ayahanda Haji Hasyim dan pelatih-pelatih yang meraikan hari lahir di bulan September. Hari ini kita bebicara tentang kaki.

Kaki merupakan anggota keempat dalam mengasah senjata lapan. Penggunaan kaki untuk menendang dihuraikan dalam Jurus 4, dan sebelumnya turut dilatih dalam pelampas-pelampas seperti 'squat kicking' yang menjadi antara senaman 'trademark' Lian Padukan, seperti yang dipaparkan dalam rancangan Human Weapon - Silat.

Seperti mana anggota senjata yang lain, kaki juga wajib dilatih dengan intensiti dan kuantiti yang sama. Ini kerana, kemahiran menendang sangatlah penting dalam pertempuran sebenar, dan juga sebagai jurus akhir yang mampu menyelamatkan diri jika keadaan memerlukan, iaitu 'langkah seribu'.

Seperti mana kebanyakkan silat Melayu yang lain, tendangan dalam Lian Padukan lebih berkisarkan kawasan pusat musuh ke bawah. Ini kerana kawasan tersebut lebih selamat untuk kaki melakukan 'kerja'nya. Bukanlah menafikan praktikaliti tendangan-tendangan tinggi, namun begitulah budaya latihan yang diterapkan dalam Lian Padukan. Dan tidak dinafikan, berlatih melakukan tendangan-tendangan tinggi juga memberi kelebihan kepada pelatih, kerana turut melatih fleksibiliti kaki, kepantasan dan ketajaman sasaran kaki. Perlu diingat, Haji Hasyim di waktu sihatnya mampu melakukan tendangan aras tinggi walaupun bertubuh agak tinggi dan besar, hasil pengajian tae kwan donya.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan dalam melatih kaki ialah kekuatan, kepantasan, ketepatan dan fleksibiliti kaki. Kekuatan kaki boleh diasah melalui senaman-senaman seperti 'squat kicking', senaman beban, berbasikal, larian, laga keting, potong wajik, beg tubi dan lain-lain. Senaman-senaman itu juga membantu mengasah kepantasan kaki. Ketepatan sasaran boleh dilatih melalui focus pad, beg tubi dan sesi sparring. Fleksibiliti pula boleh dilatih melalui senaman regangan seperti 'split' yang kawan gagal di situ. Gagal-gagal pun, kena jugak latih, walaupun tak mampu buat 'full split', kerana fleksibiliti kaki sangat memperngaruhi kepantasan dan ketepatan sasaran. Kerap-kerap menendang tinggi melepasi kepala juga membantu orang-orang yang tak fleksible macam kita ni.

Semua latihan-latihan ini membantu meningkatkan stamina kita, selain sangat baik dalam membakar lemak dan pembinaan otot, memandangkan bahagian kaki mempunyai banyak otot-otot besar. Seperti yang kita ketahui dan alami, melatih kaki adalah lebih memenatkan berbanding tangan.

Tidak boleh tidak, peranan kaki sebagai paksi kita berpijak di bumi. Tanpa tapak yang kukuh, serangan atau pertahanan tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Dari hal kaki juga, terbit istilah 'kekuda', 'tapak' dan 'langkah'. Setiap istilah ini ada peranannya yang tersendiri. Apa pun, jangan pusing kepala. Sampai waktunya, terserlahlah ia. Lian Padukan pula pernah Ayah nyatakan dalam suatu temubual dengan rancangan TV, adalah suatu permainan yang 'berpijak di bumi yang nyata'. Dan jangan lupa, sebagai anak buah pikul, kita selalu dengar istilah 'berdiri', bukan?

Kaki juga mempunyai 'buah-buah' yang khusus seperti tendang tikam, sepak badik, terajang, lawi ayam, tendang simbur, potong wajik, potong kiat dan lain-lain lagi. Selain bermotif serangan dan pertahanan, ada juga buah-buah kaki yang bersifat 'kuncian'. Eh, kan Lian Padukan ni buah pukul. Mana ada kunci-kunci. Rilek, saudara. Ingat konsep 'tertakluk pada akal budi bicara'. Bab kuncian, kawan serahkan kepada Ayahanda Haji Hasyim yang huraikan. Kena cara mintak, dapatlah.

Landasan pergerakan kaki dalam menyerang dan bertahan juga tertakluk pada konsep 'gayang lima'. Juga antara petua yang kawan perolehi dari seorang guru silat yang sangat terkenal melalui ziarah hormat ialah 'tangan boleh buat kerja kaki, tapi kaki jangan buat kerja tangan'. Juga, seorang gurulatih Lian Padukan pernah mengungkapkan lebih kurangnya 'kita sibukkan atas, dia lupa yang bawah. Bila kita sibukkan yang bawah, dia lupa yang atas'. Kedua-dua petua ini menjurus pada kesepaduan anggota tangan dan kaki.

Dan sudah semestinya kata-kata yang selalu diungkap oleh Ayah, 'menumbuk dengan kaki, menendang dengan tangan'.



No comments:

Post a Comment