Sunday 28 September 2014

MEMAHAMI LIAN 7.0 : MENGAPA PERLU MEMAHIRI LIAN?

Sambungan tulisan semalam.

Sekali lagi, untuk lebih mesra dibaca, kawan tulis dalam bentuk point.

1. Gerakan-gerakan dalam seni beladiri adalah gerakan yang bukan norma kehidupan kita. Ada yang mengatakan pergerakan aliran mereka dirumus berdasarkan gerakan semulajadi manusia. Terpulang. Tapi kalau tanya kawan, tidak. Cuba bagitau kawan, siapa di sini yang berjalan dalam keadaan bergelek saban waktu? Ada tak orang yang berjalan sentiasa dalam keadaan menendang ke hadapan, tangan menepis-nepis angin dan lain-lain? Tidak, bukan.

2. Oleh kerana seni beladiri bukanlah pergerakan norma manusia seharian, maka gerakan-gerakan itu perlulah dilatih selalu supaya sebati dengan diri. Perlu diingat, tujuan seni beladiri adalah untuk mengasah diri bertindak mengikut situasi. Pelajaran-pelajaran fizikal Lian Padukan khusus untuk tempur. Melalui lian, gerakan-gerakan yang khusus untuk bertumbuk dilatih supaya sebati dan sedia digunapakai.

3. Melalui lian, kita melatih bahagian-bahagian atau otot-otot badan yang terlindung dari berfungsi dengan kerap. Contohnya, perbuatan gelek. Sungguhpun dalam kehidupan seharian, core section iaitu kawasan abdomen dan pinggang adalah antara otot terbesar digunakan, namun tidaklah banyak melakukan rotation seperti gelek. Maka, melalui lianlah, otot tersebut dilatih dan dihidupkan fungsinya.

4. Sungguhpun pergerakan dalam Lian Padukan bukanlah pergerakan kebiasaan dalam pekerjaan seharian, namun setiap pelajaran dan pergerakan yang disetkan adalah diminimakan bagi menghampiri pergerakan seharian. Oleh itu, pengamal akan merasa neutral apabila melakukan gerakan-gerakan tersebut. Sebagai contoh, keluasan tapak dan langkah. Apabila melakukan jurus dan melangkah, keluasan tapak adalah sesedap rasa, namun stabil. Tidaklah terlalu rendah. Ini adalah untuk memudahkan gerakan dalam silibus mudah diaplikasikan dalam tempur sebenar. Begitu juga badan, sentiasa berhadapan musuh agar kekuatan kelapan-lapan senjata dapat dimaksimumkan penggunaannya.

5. Lian, selain rangkuman pergerakan anggota senjata lapan yang bergerak atas landasan gayang lima, juga adalah himpunan konsep-konsep yang menjadikan pukulan kita sampai kepada lawan. Kawan setuju dengan pendapat seorang sahabat yang mengatakan bahawa buah pukul sebenarnya adalah 'concept based martial art', bukanlah suatu 'style based martial art'. Maksudnya, yang terlebih penting untuk dihayati dalam buah pukul ini adalah konsep-konsep atau petua-petua pukul, syarat pukul, rukun pukul, kata-kata hikmah dan lain-lain. Perbezaan bentuk lian, silibus dan lain-lain hanyalah perbezaan 'style' yang taklah perlu diperbesarkan, cukup sekadar diraikan. Ini kerana, ketika  betul-betul bertumbuk, segala 'style' akan ditenggelami oleh 'concept', seperti buah pukul, 'bertalu-talu' dan 'tidak bermalam' yang akan kelihatan diandalkan.

6. Kawan teringat pula tentang mendiang Bruce Lee. Ketika mengasaskan 'Jeet Kune Do', perkara yang paling merisaukan beliau adalah orang akan mengatakan beladiri yang diasaskannya itu adalah 'style' kepada 'Jeet Kune Do' itu sendiri, seperti kaki yang rajin 'shuffle', jeritan 'wooooo' ketika bersedia dan lain-lain. Baginya, JKD adalah 'style with no style', iaitu beladiri tanpa pattern tertentu yang rigid, hanya kebebasan pelatih mengekspresikan gerak tersendiri melalui konsep 'the way of intercepting fist'.

7. Begitu halnya yang menjadi dilema silat pulut. Silat pulut sebenarnya lebih dari apa yang kita lihat. Bunga sembah atau lela sembah yang dilatih itu sebenarnya adalah persediaan menjadikan seorang biasa kepada seorang yang menuntut jalan pendekar. Pergerakan silat pulut iu sendiri bermotif melatih anggota badan meliuk berdasarkan pergerakan bertumbuk. Namun, orang kebanyakan macam kita ni hanya melihat luarannya, sedangkan seni sebenarnya terkandung buah-buah berbisa.

8. Maka kita orang Lian Padukan, latihlah apa yang kita pelajari. Aliran terbaik sebenarnya adalah aliran yang kita latihkan dan kita pelajari.

No comments:

Post a Comment