Friday 18 July 2014

ALLAHYARHAM PAK MAT KEDIDI

Pak Mat Kedidi (Allahyarham) merupakan suatu nama yang sangat gah di arena persilatan tanah air. Siapa tidak kenal dengan beliau? Kreativitinya, kelincahannya, kehandalannya, dan keberaniannya menongkah arus keaslian, tidak pun mampu diragui hatta oleh pendukung-pendukung buah pukul ketika hayatnya. Memang ada yang berbunyi, tapi biasalah orang kita. Beraninya  baling batu sembunyi tangan sahaja.

Ketika hanyatnya dicemuh kerana melanggar norma keaslian dan tradisi, namun bila sudah tiada, disanjung dan tidak segan mahu dihakmilikkan pula. Pelik orang kita.

Nama Pak Mat Kedidi pula tidak sah jika tidak diregukan dengan tiga lagi individu yang membawa cemerlang kepada Lian Padukan. Pertama,
Allahyarham Dato' Haji Awang bin Ahmad, mufti kerajaan Johor yang bertanggungjawab menamakan permainan Pak Mat Kedidi kepada Lian Padukan, malah menghakikatkan nama tersebut sebagai 'Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Nanti'. Kedua, Allahyarham Abdul Razak Sharif yang merupakan menantu kepada Pak Mat Kedidi yang bertanggungjawab meneguhkan permainan Pak Mat ke suatu tahap istimewa dan Haji Hasyim Bin Haji Salleh, Guru Utama Lian Padukan terkini yang diasuh secara langsung oleh kedua-dua marhum guru yang disebut tadi. Beliaulah dalam pada jatuh bangun Lian Padukan, tetap teguh mewarisi nama pusaka tersebut hingga kini, walaupun dikhianati dan difitnah luar dan dalam persatuan.

Berbalik kepada Allahyarham Pak Mat Kedidi, tak perlulah kawan nukilkan sejarah beliau memandangkan rata-rata pembaca sudah fasih amat tentang sejarah beliau, malah mengaku lebih tahu dari Haji Hasyim sendiri. Terpulang.

Cuma, kawan coretkan di sini kerana adanya pihak yang tak pernah aman dengan nama Lian Padukan, dan tak serik-serik menimbulkan balah terhadap nama ini. Tak tau apa yang dijakikan sangat, dan tak pula kita tahu apakah faedah akan hasil pada apa yang dia perbuat.

Soalan seperti 'Kalau Lian Padukan dikembalikan ke Mersing, apa komen anda?' pada kawan adalah suatu soalan yang murni amat, namun kita tidak tahu akan niat si penanya itu tadi. Oh, lupa. Soalan ini kawan temukan di 'medan laga', Facebook namanya.

Berbanding menjawabnya di facebook, kawan selesa jawab di sini. Jawapan kawan - BOLEH!

Dengan syarat, orang yang bertanya itu datang ke Johor Bharu, bertandang sendiri ke gelanggang induk Lian Padukan di Taman Ros Merah. Beremas sepuluh dengan Haji Hasyim dan menunaikan tanggungjawab murid kepada guru, serta bermula dari awal seperti mana pelatih lain, iaitu dengan Jurus 1 walaupun anda mempunyai nama keturunan segah 'Gajah' sekalipun (Tok Moyang pendekar handal-handal, yang bawa namanya sekarang biarlah sehandal mereka, jangan hanya gagah di Facebook saja). Khatamkan permainan mengikut istiadat, kemudian bawalah ke ceruk rantau mana sekalipun kaki melangkah, hatta ke bumi Mersing sekalipun.

Berbalik kepada Pak Mat Kedidi, Abdul Razak dan Haji Hasyim. Mereka yang pernah berlegar di sekitar sejarah Lian Padukan tidak dapat menafikan hubungan dinamik yang dipunyai ketiga-tiga mereka. Hubungan kekeluargaan yang terlalu utuh yang kemudian terus diwarisi pelatih hari ini, di mana hubungan kekeluargaan sesama ahli adalah tulang belakang persatuan dan perguruan. Namun, panas tidak selamanya bertandang, hujan lebat di tengah hari. Angkara salah faham dan fitnah, kedinamikan mereka tergugat juga.

Namun, hubungan batin ketiga-tiga mereka tidak pernah terputus. Kedua-dua mereka tetap guru, 'ayah' dan 'abang' kepada Haji Hasyim. Walaupun dilaga-lagakan pelbagai pihak, mereka tetap diakui sebagai pendiri awal Lian Padukan. Buktinya, hingga kini potret kedua-duanya tetap terpamer di ruang pameran gelanggang induk, malah nama kedua-duanya wajib disebut-sebut dan didoakan dalam majlis-majlis tahlil anjuran perguruan.

Umum mengetahui tentang surat, tentang fitnah, tentang permasalahan yang pernah dihadapi oleh Haji Hasyim dan Pak Mat Kedidi. Bagi yang mengetahui, termasuk guru-guru tua, ia tidak lebih dari perselisihan anak-ayah yang bersifat 'carik-carik bulu ayam'. Umum dan pemfitnah hanya melihat permukaan kejadian, namun di dasarnya, hubungan mereka tetap utuh terpahat.

Dan untuk umum lebih mengetahui, kunjungilah sendiri Haji Hasyim di rumahnya. Dapatkan buah cerita dari mulutnya, kerana beliaulah yang kini membawa nama Lian Padukan, berbanding mulut-mulut orang lama yang tak mahu pun menanggung nama Lian Padukan, tapi bercerita bukan mainnya. Belum lagi mulut-mulut orang-orang mentah seusia kawan ni, baru setahun dua bergelanggang sudah reti pertikai asli tak asli, kulit dan isi.

Dan untuk dikembalikan Lian Padukan ke Mersing, silakan. Ambillah dengan adabnya, selayak orang yang menjunjung Syarat 28. Tak mustahil juga, Lian Padukan kembali beraksi di bumi Mersing dan Endau, sementelah adanya anak-anak Mersing yang diasuh Haji Hasyim sudah pun bergelar 'gurulatih' berseragam putih, dan pelatih-pelatih terbaik dan terkemas Lian Padukan ramainya adalah anak-anak Mersing sendiri di Johor Bahru ini. Mereka sudah pun masak dengan permainan asal bumi mereka, tak mungkin mereka tersilap apabila memilih Lian Padukan.

Yang penting bagi kita, berlapang dada. Buah pukul hanya 'alat' membuat jasa di muka dunia. Dari dipetik nama Allahyarham ke medan laga, kan elok selalu-selalu disedekahkan Al-Fatihah kepada Pak Mat, macam yang Lian Padukan dan 'adik-beradiknya' selalu lakukan setiap kali bergelanggang.

Al-Fatihah untuk semua guru buah pukul, khasnya Allahyarham Pak Mat Kedidi.





No comments:

Post a Comment