Sunday 27 July 2014

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Esok seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Bermakna, kita meninggalkan 'institusi tarbiyah rohani', bulan rahmat Ramadhan Al-Mubarak.

Maka, kawan menyeru diri kawan agar bersederhanalah meraikan kegembiraan Syawal. Jangan pula kita tak sambut langsung raya, kerana dianjurkan oleh agama supaya meraikan hari raya dengan kegembiraan.

Isikanlah kegembiraan meraikan Syawal dengan penuh kesyukuran. Raikanlah tetamu dengan penuh kemesraan, terutama tetamu-tetamu yang masih menyandang title 'ahli syurga', iaitu kanak-kanak. Setakat bersedekah duit raya seringgit dua, takkan jadi miskinnya kita. Walaupun ada yang menyatakan budaya ini tidak molek dipanjangkan kerana menjadikan kanak-kanak beraya mengharapkan duit, bukankah kanak-kanak wajib diraikan semesra mungkin mengikut didikan acuan Baginda Rasululluah s.a.w? Ibu bapalah yang patut mendidik anak-anak agar tidak meminta-minta, tapi menerima dengan sepenuh syukur jika dihulur. Ajar anak-anak jangan buka sampul duit raya depan tuan rumah, takut kita pula nanti yang malu dengan tuan rumah sampai 3 kali raya.

Harapnya hiburan di televisyen juga lebih banyak bertemakan kesyukuran dan peringatan, berbanding program nyanyi-nyanyi tayang badan. Tambah-tambah lagi, tahun ini banyak kedukaan melanda negara kita. Dengan MH370, MH 17 dan penderitaan saudara kita di Gaza, tak tergamak rasanya nak berlebih-lebih berhibur. Berpada-pada, sudah..

Ambil kesempatan hari raya ini untuk bermaafan sesama kita. Mohon maaf pada ibu bapa, pada keluarga, pada guru-guru dan sahabat handai. Kita mungkin rasa kita tak buat apa-apa kesalahan, namun kita manusia biasa mana pernah maksum. Kita juga tidak bebas dari menjadi punca fitnah. Bak kata-kata dari tulisan Saudara Ramlee Awang Mursyid yang gah dengan siri saga 'Sunan'nya, 'biar tersalah ampun, dari tersalah hukum'. Nak tau ciri-ciri kependekaran Melayu, ini siri tauladan yang baik.

Kesempatan ini juga kawan nak mohon ampun kepada Ayahanda Haji Hasyim dan keluarga Lian Padukan, andai kedapatan tulisan kawan yang tak bertepatan dengan anjuran sebenar Lian Padukan. Jujur kawan katakan, kawan menukil sekadar kefahaman cetek kawan, dan berkongsi keseronokan kawan meneroka ilmu Lian Padukan yang sangat mengujakan. Kalau ada tulisan kawan mengubah persepsi positif pembaca menjadi negatif terhadap Lian Padukan, kawan mohon beribu keampunan.

Kepada lain-lain sidang pembaca dan pengamal buah bukul khususnya,kawan mohon ampun andai tulisan kawan tidak pun menepati selera kalian, malah mengebiri langsung keinginan kalian untuk berkenalan dengan Lian Padukan. Maklumlah, catatan kawan di sini tidak langsung gah dengan sejarah, dengan rahsia, dengan petua, dengan kisah-kisah 'extraordinary' bersekitar dunia buah pukul dan persilatan. Yang ada setakat pengalaman biasa-biasa, setakat bercerita tentang berlatih, berlatih, berlatih. Memandangkan kawan orang biasa, maka cerita kawan pun biasa-biasa saja, untuk pengamal yang juga biasa-biasa.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri dari kawan,

Al-faqir Al-Padukani


No comments:

Post a Comment