Saturday 19 July 2014

BERSEDIAKAH KITA?


Hari demi hari, isu keselamatan semakin menjadi-jadi. Dari huru-hara yang ditimbulkan Zionis Laknatullah di Gaza, isu MH370 yang tak kunjung selesai, Sabah diceroboh dan terkini, MH17 ditembak jatuh di zon kacau Rusia - Ukraine, belum campur lagi gejala sosial dan jenayah setempat yang berleluasa di negara kita, timbul persoalan pada diri kita - Apakah kita semakin selamat?
Soalan itu, walaupun sepatutnya dijawab oleh pihak berwajib, kita sebagai rakyat wajib turut sama memainkan peranan dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara kita terjamin. Jangan sentiasa persoalkan berkenaan tindakan pihak berwajib, namun diri sendiri kekenyangan tersandar di rumah memamah Mc Donald dan melahap Coca-Cola sambil tengok cerita Korea.

Maka, apakah tindakan kita, dalam membantu mengukuhkan keselamatan di negara kita? Jawapan terbaik adalah - sertai mana-mana perguruan seni beladiri di negara kita.

Terlalu banyak untuk disenaraikan. Kalau tanya kawan, sudah tentu kawan cadangkan sertai Lian Padukan. Apa-apa pun, ikutlah minat dan selera masing. Seni beladiri ini ibarat ulam. Ada yang minat pegaga, ada yang minat ulam raja, ada yang berahikan petai, ada yang tak boleh kalau tak ada jering. Semuanya sedap belaka, lebih-lebih lagi dicicah sambal belacan. Fuhhh.. Elok sangat lah, cerita pasal makan bulan-bulan puasa ni.

Begitu juga seni beladiri, ikut minat masing-masing. Untuk kawan kategorikan mengikut kelebihan, sangat sukar kerana semuanya mempunyai kelebihan tersendiri. Pokok pangkal, carilah perguruan yang diminati dan selalu dikaji secara peribadi.

Untuk apa?

Supaya kita selesa dengan doktrin, latihan, dikri, falsafah dan permainan perguruan. Hampir semua seni beladiri menjurus kepada pembangunan kendiri, di samping tujuan utamanya untuk membeladiri.

Bagi yang mendalami, sungguh-sungguh mendalami seni beladiri, pengamal boleh merasai sendiri perubahan kendiri, hasil disiplin latihan dan pengamatan peribadi. 

Berbalik ke tajuk, bersediakah kita?

Bersediakah kita menghadapi pelbagai kemungkinan di masa hadapan? Dengan peningkatan jenayah setempat, adakah kita merasa selamat? Kalaupun kita rasa kita selamat kerana gagahnya kita lelaki, adakah anak isteri kita pula selamat kita biarkan bersiar-siar tanpa pengawasan kita? Dan adakah kalau dengan adanya kita sekalipun, keluarga kita selamat? Biasa berlaku bukan, sungguh pun berada di rumah sendiri yang dianggap zon selesa dan selamat, tuan rumah tetap menjadi mangsa rompakan, dan kadang-kala berlaku pula 'snow ball effect' dari kejadian tersebut seperti ahli keluarga dirogol, dibunuh dan lain-lain. Ya Allah, mohon kurniakan keselamatan dan keamanan kepada kami dari berlakunya perkara seperti itu.

Itu dari segi jenayah. Dari segi ancaman negara luar? Sabah berturut-turut terancam dengan angkara musuh negara. Terkini, pihak keselamatan terbunuh dan ada yang diculik. Belum lagi kalau tiba-tiba negara kita diancam peperangan. Ya Allah, mohon lindungi kami dari segala kejadian buruk tak kami tertanggungkan.

Maka, dalam surah Al-Anfal ayat 60, sudah Allah  s.w.t nyatakan yang mafhumnya ''Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang. Dengan begitu, kamu menggetarkan musuh Allah dan musuh kamu.”

Dari ayat tersebut, dapat kita ambil faham secara permukaan bahawa Allah s.w.t mahukan seluruh hambaNya yang mukmin agar sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan. Bukan sekadar bersedia, malah bersedia dengan sepenuh kekuatan yang kita sanggupi.

Apakah persediaan awal kita? Wajiblah dengan ilmu. Bab pekerjaan feqah pun wajib dengan ilmu, maka bab kehidupan dan keselamatan juga wajib dengan ilmu. Sepenuh kekuatan yang kita sanggupi adalah usaha kita, latihan kita, masa kita yang kita gunakan dan perbelanjaan kita dalam menuntut ilmu. Sanggupkah kita sebagai ketua keluarga mengeluarkan belanja untuk menghantar anak kita ke kelas-kelas seni beladiri, sebagai persiapan awal untuk diri mereka? Atau kalaupun kita tidak hantar, adakah kita sendiri punyai cukup ilmu untuk membimbing anak-anak kita dengan seni beladiri, selangkah dua sepenumbuk sepenyangga? Tepuk dahi, tanya diri sendiri.

Bagi kawan, sebagai persiapan untuk diri dan keluarga, dua ilmu ini sangat-sangat diperlukan, selain ilmu-ilmu duniawi yang lain seperti pengajian formal dan kemahiran hidup. Ilmu-ilmu yang dua itu ialah ilmu agama dan ilmu seni beladiri. Ini 'perisai' kita menghadapi segala kemungkinan. Ilmu agama menjadikan kita meletakkan pergantungan penuh yakni tawakkal hanya kepada Allah s.w.t. Ilmu seni beladiri pula adalah sekadar ikhtiar kita untuk menempuhi sebarang kemungkinan.

Lebih-lebih lagi kita akan melalui fasa yang dijanjikan Allah s.w.t dan RasulNya, iaitu pengakhiran zaman yang huru-hara yang tercetus di kala itu. Adakah kita layak meletakkan diri kita di atas jalan Allah yakni 'fisabilillah', sedangkan persiapan rohani dan jasmani kita tidak pun sempurna. Masih lompong sana-sini, tak bertampung lagi.

Bersediakah kita?

Tepuk dahi tanya diri.




No comments:

Post a Comment