Thursday 17 July 2014

SIKU

Alhamdulillah, kita sudah hampir memasuki fasa ketiga Ramadhan, iaitu dijanjikan pembebasan dari api neraka, yang mana wilayah pertama berpuasa, umat Islam dijanjikan rahmat Allah s.w.t dan keampunan di fasa kedua. Ini  boleh dirujuk dalam kitab-kitab hadith yang menyentuh bab kelebihan berpuasa di bulan Ramadhan.

Namun, dalam masa sama kita selesa beribadah di Malaysia, saudara kita jenuh 'berpayung' tawakal, 'berbasah' hujan peluru dan selut darah di Gaza sana, angkara Yahudi Zionis Laknatullah. Kita selalukanlah mengirim doa dan  bantuan semampu kita. Ambil ibrah yang ditunjukkan seekor burung kecil yang cuba memadamkan api yang mahu membaham Nabi Ibrahim a.s. Walaupun usahanya kecil, tak mampu pun menjejaskan kemarakkan api, namun tetap digagahkannya sesuai dengan tubuh kecilnya, hanya kerana takut akan ditanya akan usahanya, adakah hanya melihat kezaliman berlaku ke atas utusan Allah s.w.t, atau mengambil tanggungjawab membela Nabi yang dizalimi. Dan ia hanyalah seekor haiwan, yang tidak akan dihisab pun di Yaumul Mahsyar nanti.

Dan harapnya, apa yang berlaku di Gaza, memberi iktibar buat kita untuk sentiasa bersedia dan siaga menghadapi kemungkinan. Antara persiapan kita adalah, teruskan berlatih walaupun di bulan Ramadhan. Usai solat sunat tarawih, gagahkan diri ke gelanggang di hari ada kelas. Berkat bulan Ramadhan ni, doakan sama agar mudah kita dianugerahkan kefahaman.

Siku merupakan anggota sendi engsel di lengan kita. Dalam buah pukul, siku merupakan anggota senjata yang kedua selepas penumbuk. Dalam Lian Padukan, silibus permainan siku diajarkan dalam Jurus 2, Pengenalan Senjata 8.

Siku secara umumnya merupakan anggota senjata yang sangat ampuh, dan menjadi antara 'buah' andalan bagi sejumlah besar perguruan seni beladiri. Keampuhan siku dalam pertempuran jarak dekat tidak dapat dipertikaikan lagi, dan seni Tomoi atay Muay Thai merupakan antara aliran paling komersial menjenamakan siku ke pengetahuan umum, di samping lain-lain aliran yang jika mahu disenaraikan akan mengambil masa hingga waktu ke sahur lusa pun belum tentu habis.

Sungguh, siku memang sangat merbahaya. Bahaya kepada dua individu, iaitu mangsa siku dan penyiku itu sendiri.

Serangan siku mampu mendatangkan kecederaan yang sangat besar kepada mangsa serangan. Betul cara, boleh koyak kulit kepala, boleh retak tengkorak. 'Scene' penggunaan siku paling 'memorable' ialah cerita 'Ong Bak'.

Siku juga, jika tidak cermat digunakan dalam menyerang, boleh mendatangkan kecederaan kepada pengamal siku itu sendiri. Ini kerana, jarak masuk siku ke pertahanan musuh adalah terlalu rapat, yang hanya boleh dimasuki jika pengamal sungguh-sungguh berani masuk ke 'rumah' musuh. Namun, wajib diingat, musuh juga bukan calang-calang pengamal. Andai kata dia sudah masak menganalisis pattern serangan dan penggunaan siku kita, sudah pasti dia akan menahan 'umpan' agar kita khayal dan seronok sendiri melancarkan serangan siku yang sebenarnya menjerat kita ke kancah ketewasan.

Dalam Lian Padukan, seawal Jurus 2 lagi pelatih diperkenalkan dengan penggunaan siku. Melalui silibus, penggunaan siku berkait dengan kelangsungan pelajaran sebelumnya iaitu Jurus 1. Sasaran siku juga diajarkan, di samping pelatih diasuh supaya memahami dan mengenali punca siku, arah siku, 'ukur dan jangka' siku. Kompleks bunyinya, namun sebenarnya mudah sahaja. Lebih-lebih lagi jika pelampas tangan dan siku dilatih selalu, 'buah-buah' mudah sahaja dilancar.

Dalam Lian Padukan, penggunaan siku mempunyai kedudukan istimewa dalam silibusnya. Selain di peringkat Jurus, penggunaan siku secara khusus juga boleh dilihat berleluasa di peringkat Lian seperti dalam Lian 2, iaitu Lian Siku dan dalam Lian Peringkat Reju, setidak-tidaknya di Lian 5 dan 6. Namun, dari segi aplikasi secara realistik, boleh saja disumbat penggunaan siku ini di mana-mana keadaan bersesuaian sekalipun, mengikut akal budi bicara dan respon spontan tubuh badan kita.

Teori sahaja tidak cukup, walaupun kita tahu tentang keampuhan siku. Latihan wajiblah digiatkan agar penggunaan siku menjadi sebati dengan diri kita. Pantang rapat, siku tahu mahu singgah ke mana. Jik sungguh-sungguh mahu meng'install' kemahiran siku ke tubuh badan kita, maka tidak dapat tidak, wajib berlatih setiap hari agar permainan siku sebati dengan anggota dan gerak kita. Latihan sasaran dan bebanan menggunakan bahan bantu berlatih seperti heavy bag dan dumbbell perlu diterapkan dalam latihan seharian, tidaklah hanya menyiku angin semata-mata.

Kemahiran penggunaan siku juga wajar diterapkan ke dalam seni survival jalanan untuk wanita. Ini kerana, siku lelaki atau wanita, sama sahaja kerasnya. Maka, wanita-wanita patut tahu pada diri mereka sudah siap senjata semulajadi yang sangat ampuh, tinggal lagi wanita perlu mencari ilmu bagi mengisi persiapan diri.

Siku - secara peribadi, adalah senjata kegemaran kawan.

No comments:

Post a Comment