Friday 4 April 2014

TUNTUTAN PENGAJIAN AGAMA

Dalam pada kita berlatih, hadir ke gelanggang, berpeluh riadah dan menunaikan tugasan tanggungjawab harian, janganlah kita lupa akan sebenar-benar tuntutan dalam menuntut, iaitu menuntut ilmu agama.

Disiplin pengajian dalam ilmu Islam terlalu luas. Tersangat luas untuk diteroka, dan terlalu dalam untuk diselami. Namun, luas atau dalam mana sekalipun pengajian agama Islam, hanya berpandukan Al-Quran dan Hadith, kita tidak akan hilang puncanya. Semakin diteroka semakin cinta, semakin diselami semakin memahami.

Apa pun, dalam menuntut ilmu, janganlah lupa dimulakan dengan Bismillah, al-fatihah dan doa. Banyak diriwayatkan doa-doa masyhur dari Al-Quran dan Al-Hadith yang boleh kita jadikan amalan, di samping doa-doa susunan ulama muktabar yang boleh kita jadikan amalan memulai suatu pengajian. Kita biasa dengan doa yang diajarkan di sekolahan, dan ingin kawan kongsikan suatu doa yang sangat masyhur diamalkan, terutama untuk anak-anak kecil. Biasa dengar bukan, doa Rasululullah s.a.w kepada Ibnu Abbas r.a yang berbunyi:

"Allahumma faqihhu fiddin wa alimhu takwil" yang bermaksud " Ya Allah, faqihkan (cerdikkan) dia dalam hal agama dan alimkan dia dalam takwil (ilmu tafsir).

Sebab itu, ulama-ulama hadith memandang berat setiap periwayatan yang datang dari Ibnu Abbas r.a, kerana khususnya doa Nabi kepada beliau.

Suatu waktu dalam kuliah tafsir hadith yang sempat kawan sertai, guru mengimamkan doa yang berbunyi Allahumma faqihna fiddin wa alimna takwil yang bermaksud Ya Allah, faqihkan kami hal agama dan alimkan kami ilmu takwil.

Meminjam doa Rasulullah s.a.w kepada Ibnu Abbas r.a.

Apa pun, dalam bab menuntut agama, memang berat dugaannya. Ye lah, benda baik, sudah tentu syaitan benci. Sedang kita nak ke gelanggang tuntut ilmu dunia pun di halang-halang, apa lagi ilmu akhirat.

Sebab itu, dalam doa masyhur dari Al-Quran iaitu "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah wa qina azabannar", Imam Hassan Al-Basri diberitakan merujuk 'fid dunya hasanah' yang bermaksud 'kebaikan di dunia' sebagai kelapangan menuntut ilmu dan istiqamah dalam beribadat. Harta juga bagi kita adalah kebaikan di dunia, namun harta dengan ilmu, mana yang lebih tinggi nilainya?

Sempatkanlah diri kita menuntut ilmu agama. Kita yang berLian Padukan, tuntutlah ilmu agama kerana Lian Padukan bukan hanya bercerita bab pukul memukul.

Di hujung nanti, kita akan bercerita mengenai PADUKAN itu sendiri. Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Nanti (Akhirat).

No comments:

Post a Comment