Friday 18 April 2014

1 MINGGU 1 LIAN

Antara perkara terpenting yang perlu kita lakukan sebagai pelatih Lian Padukan ialah melakukan research and development (r&d). Dalam apa bidang sekalipun, r&d merupakan sesuatu yang sangat penting dalam memastikan kemajuan di bidang itu tercapai, tidak statik hanya pada suatu tempat atau keadaan sahaja. Lihat sahaja kehidupan kita hari ini, segala sesuatu dipermudahkan dengan adanya r&d daripada generasi terdahulu sebelum kita. Kereta yang sentiasa upgrade teknologinya, kediaman yang semakin selesa, dan lain-lain contoh yang boleh diambil intipatinya.

Bab bertumbuk juga begitu. Kita maklum, ilmu persilatan dan buah pukul terdahulu sudah pun membuktikan jasa kepada tanah air kita. Malah, pendekar-pendekar kita terdahulu melalui suatu zaman di mana bersenjata terselit di pinggang adalah dibolehkan, malah kewajipan sebagai anak jantan. Peperangan bersenjata adalah lumrah. Dan sudah semestinya, pengalaman-pengalaman tersebut melahirkan petua-petua yang sangat ampuh lagi berharga, hasil r&d yang mereka lakukan sewaktu bertarung hidup mati. Sudah tentu teknik terpilih sahaja yang mereka andalkan sewaktu perang, kan.

Buah pukul juga tidak terkecuali. Buah pukul sudah melalui suatu fasa yang agak panjang, hingga menerbitkan cabang permainan yang agak matang, berdasarkan pembawaan guru. Bab keaslian permainan, kawan kira biarlah mereka-mereka yang rasa mereka bawa aliran paling  asli sahaja yang bincangkan. Kawan takkan bermasa-masa bertikam lidah hal itu. Yang kawan tahu, Lian Padukan sudah pun 'asli' dalam bentuknya yang tersendiri, tanpa meninggalkan petua-petua dan rahsia-rahsia pukul sedari dahulu hingga kini. Ya, Lian Padukan memang di'claim' tidak asli, dan kami mengakui hakikat itu sedari hidupnya Allahyarham Mahaguru Pak Mat Kedidi, pengasas Lian Padukan. Namun, bagi yang terang hatinya, masak pengalamannya dan berfikiran terbuka, boleh melihat keaslian petua-petua dan rahsia-rahsia buah pukul masih lagi Lian Padukan pertahankan. Kita tidak lari dari landasan '2 gerak 3 ruat', 'senjata lapan gayang lima', 'rukun pukul', 'senjata pada kita, perisai pada musuh', 'hendak mengena tak nak kena', dan lain-lain lagi. Kalau dibawa berbincang, kita akan jumpa titik pertemuan, walaupun berbeza aliran, kerana kita sedarah sedaging dalam membawa permainan tinggalan Syed Abdul Rahman Al-Yunani, Dato Awang Daik dan Pak Long Mat Yassin.

Apa pun, berkenaan r&d, kawan menyeru diri kawan sendiri supaya tidak putus berguru dan berlatih agar lebih memahami pelajaran Lian Padukan. Maka, inisiatif kawan, kawan khususkan 1 minggu mengkaji dan melatih 1 lian (bagi yang di peringkat jurus, fokus pada jurus). Benar kita bergelanggang, setidak-tidaknya sekali seminggu, namun di waktu-waktu lain yang senggang, isi juga masa dengan berlatih. Apa-apa pun, dahulukan kewajipan beribadat wajib dan sunat.

Dalam tempoh itu, cuba dilatih sebanyak mungkin satu-satu pelajaran yang menjadi fokus kajian. Contohnya, Lian 1 atau Lian Selak Panjang. Kaji setiap perbuatan kasar dan halus dalam lian tersebut. Fahami punca dan sebab lian, tanyakan diri kenapa perlu sisip, kenapa perlu gelek. Catatkan dalam buku catatan peribadi. Mahirkan lian, kemaskan lian, sehingga gerak jadi sebati dengan jasad. Gerak tidak lagi diingat-ingat, bila diperlukan langsung ligat.

Bayangkan dalam seminggu, banyaknya kita ulang latih lian yang satu itu. Itu kalau seminggu. Kalau sebulan, setahun?

Kawan pernah baca, seorang karate master mendedikasikan 5 tahunnya hanya mengkaji 1 kata (kata atau pattern, atau lian bagi buah pukul atau pecah bagi sendeng). 5 tahun atau 10 tahun, kawan pun tak pasti. Tapi bayangkan, dedikasinya. Bayangkan juga kemahiran dan kefahamannya terhadap kata yang satu itu.

Ya, kita ada 16 lian dalam silibus Lian Padukan sebelum khatam, belum campur lian-lian asing lagi. Mempelajari semua silibus adalah kewajipan kita selaku pencinta Lian Padukan, namun tak salah kalau kita perincikan pada satu pelajaran untuk kita andalkan. Kawan pulak, sayang pada semua pelajaran lian, yang sempat dan masih kawan pelajari dari Ayahanda Haji Hasyim. Sebab tu kawan buat 1 Minggu 1 Lian. Tapi ada 1 Lian yang kawan sungguh-sungguh fokuskan untuk jadi andalan kawan. Lian apa, itu kawan tak nak ceritakan.

Apa pun, teruslah mengkaji dan mengaji (berguru).

No comments:

Post a Comment