Saturday 19 April 2014

MOTIVASI 2.0 : NAIK PERINGKAT

Alhamdulillah, gelanggang induk semakin aktif bergerak. Semakin aktif mencetak keahlian baru. Semakin sempit ruang berlatih. Semakin meriah. Bagi yang lain yang turut berminat, jemput-jemputlah menjengah gelanggang terdekat dengan tempat anda.

Seronok bila ramai-ramai mula pada sela masa yang lebih kurang sama, suasana berlatih menjadi lebih aktif, kerana sama-sama baru nak mengenal, sama-sama rasa dititik, sama-sama pecah peluh, sama-sama dipukul jatuh, dan lain-lain.

Latihan beberapa hari lepas di gelanggang induk menyaksikan beberapa pelatih naik peringkat. Yang sudah memahiri jurus, naik ke Lian 1. Yang memahiri Lian 1, naik ke Lian 2. Dan yang lebih senior, juga bergerak ke peringkat seterusnya. Apa pun, jadikan kenaikan peringkat ini sebagai batu loncatan untuk lebih bergerak maju dalam Lian Padukan. Motivasi untuk menggali lebih lagi keistimewaan permainan Lian Padukan.

Namun, harus diingat. Naiknya peringkat bukanlah segala-galanya dalam Lian Padukan. Itu hanyalah sekadar penguasaan silibus. Yang paling penting tak lain adalah kefahaman. Maka, jangan terlalu dikejar untuk naik peringkat. Bagi yang belum naik juga ke peringkat seterusnya, walaupun sudah agak lama bergelanggang, jangan merasa rendah hati atau tawar hati. Teruskan juga berlatih. Mungkin kita kurang kekemasan pergerakan, namun dari aspek kefahaman dan pelaksanaan buah, itu tak jadi hal bagi kita. Cumanya, kekemasan tetap perlu dipelihara kerana di suatu hari kelak, kita akan diamanahkan untuk meneruskan legasi persilatan Lian Padukan. Takkan nak turunkan pada pewaris seterusnya 'barang' yang tak siap, kan.

Bagi yang naik peringkat pula, itu adalah amanah Ayahanda Haji Hasyim dan gurulatih yang membimbing kita. Setidak-tidaknya, gurulatih nampak kemahiran, kekemasan dan kefahaman kita pada sesuatu jurus atau lian, dan boleh diharap untuk menjaga kemurniaan silibus tersebut, sebelum diandalkan dengan peringkat seterusnya. Maka, dalam pada kita mempelajari peringkat yang baru, jangan ditinggal melatih pelajaran-pelajaran sebelum itu, terutama peringkat jurus dan pelampas, kerana setinggi mana pun peringkat kita, yang asas itu jugalah pegangan kita. Gigitlah yang asas itu sekuat-kuatnya dengan gigi geraham.

Sedikit tips untuk mereka yang baru naik peringkat pertama Lian. Pertama, fahami maksud nama Lian tersebut, seperti Lian Peringkat Pertama dikenali sebagai Lian Gelek 2 Belah yang merangkumi Lian Selak Panjang, Lian Siku, Lian  Singkap dan Lian Tekan (Lian 4 ni banyak jugak versi nama, Lian Selak Pendek, Lian Kelek Anak. Jangan konpius, benda sama je).

Pelajari betul-betul kaedah bergelek, kaedah bertapak dan mengalih tapak, cara langkah masuk, postur badan dan lain-lain gerak kasar dan halus. Lian 1 ok sikit la, nanti Lian 2 pening tang seberang lepas siku, Lian 3 pulak pening tang singkap dan tarik singkap. Rilek, benda boleh belajar. Jangan kalut. Bila dah dapat, rajin-rajin praktis, samada sendiri, berkawan atau di hadapan guru. Kemaskan langkah lian, sebelum beralih ke buah. Namun ada jugak kes, pelatih faham buah dulu, baru kemas langkah lian. Sebelum main buah, dia tak nampak keperluan lian, tujuan lian dan bentuk lian yang dipelajari. Ni kinestetik punya orang, bukan visual. Takde masalah, guru boleh sesuaikan corak pengajaran.

Waktu di peringkat Lian juga, berjinak-jinaklah dengan petua-petua pukul. Rajin-rajin baca segala apa yang terpampang di dinding gelanggang induk. Sedar tak sedar, punya banyak pelajaran dan petua yang boleh didapati di situ. Rajin tak rajin je mulut nak bertanya. Dan seboleh mungkin, jangan ada rasa nak pandai sorang-sorang. Pandai biar berkawan. Dan nak lagi pandai, belajar biarlah rajin mencatat nota. Benda bukan mampu kita ingat semua. Kan rugi bila lupa.

Dan sudah semestinya, restu guru dan pelatih senior yang mendidik kita. Paling tidak, hormatilah yang lebih dulu mempelajarinya dari kita, walaupun di usia berbeza. Kita biasa lihat pelatih yang lebih berusia menunjukkan hormat  pada gurulatih semuda Cikgu Sham Avatar, Cikgu Bayam dan Cikgu Amirul serta lain-lain nama. Ingat, senjata kita sebenarnya adalah hormat. Hormat itulah juga perisai kita yang dihantar pada musuh. Macam 'senjata pada kita, perisai pada musuh' jugak lah kan.


No comments:

Post a Comment