Saturday 12 April 2014

KEPENTINGAN PENERIMAAN, PENGIJAZAHAN DAN KEREDHAAN GURU

Dalam menuntut ilmu apa sekalipun, perkara terpenting perlu diberi penekanan ialah hubungan antara guru dan murid. Sebagai murid yang mahukan ilmu dari seseorang guru, tanpa adab dan tertib yang betul, ilmu yang diperolehi tidak membawa erti.

Dalam Islam sendiri, konsep menjaga hubungan guru dan murid mendapat tempat dalam institusi pendidikan Islam. Hal ini sudah dicontohkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagai guru dan para sahabat r.a. sebagai murid. Konsep yang sama juga diteruskan oleh para pendukung institusi pondok dan juga meresap masuk ke institusi pendidikan konvensional.

Kelangsungan ilmu yang dipelajari berkait rapat dengan keberkatan dan redha guru. Ini sudah termaktub dalam Al-Quran, di mana darjat orang berilmu diangkat oleh Allah s.w.t. Sudah tentu antara guru dan murid, darjat guru lebih utama, kerana ilmu yang dimiliki mengikut bidang yang dibidangi.

Dan sudah semestinya, dan ilmu persilatan dan buah pukul, konsep ini wajib terus disuburkan, selagi ilmu guru tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Kawan percaya, dalam senibeladiri asing juga, hubungan guru-murid tetap diberi penekanan kerana guru walau apa bidang dan pegangan agama sekalipun, wajar diberi penghormatan.

Malah, berani kawan katakan, antara punca kepincangan institusi kemasyarakatan kita sekarang adalah disebabkan guru tidak lagi dihormati oelh ibu bapa dan murid-murid sendiri. Media-media sudah membuktikan, ibu bapalah yang akhirnya menyumbang kepada kemunduran anak-anak dengan yang terkini, bapa buat laporan polis hanya kerana guru menggunting rambut anaknya. "Kenapa tak bagi amaran dulu? Anak saya sekarang alami kemurungan disebabkan hal itu.", lebih kurang dialognya yang kawan karang sendiri berdasarkan laporan akhbar. Terfikir jugak kawan, bapanya dulu tak sekolah ke, tak tau ke yang bab rambut panjang, guntingan tidak ikut standard termaktub dalam kesalahan tatadisiplin. Sahih buku peraturan beli masa hari pembelian buku langsung tak dibaca.

Berbalik pada kita-kita punya cerita, hubungan guru-murid dalam Lian Padukan.

Kita sedia maklum, bab hormat-menghormati dalam atau luar gelanggang ini adalah sesuatu yang sudah pun terpasak dalam diri, tinggal lagi nak dilatih, nak dibiasakan. Di awal gelanggang lagi, apabila kita buka gelanggang, kita diajak memfidyahkan Al-Fatihah kepada Baginda Nabi s.a.w, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, pada ibu bapa, pada guru-guru yang masih ada dan yang sudah meninggalkan kita, dan pada kita-kita sahabat sepelatihan. Kawan maklum, perkara ini jarang berlaku, hanya sesetengah jurulatih yang melazimkan peringatan ini di awal buka gelanggang. Ramainya yang datang terus buka gelanggang, dan terus berpelampas. Kan molek kita mulakan dulu dengan doa dan seterusnya, supaya semangat kekitaan dan penghargaan pada ilmu yang disusuri dari guru-guru terdahulu terus menerus kita suburkan.

Sahabat kawan dari perguruan Gayong pernah bagitau kawan, buka gelanggang mereka dimulakan dengan sedikit peringatan tentang penerima-penerima fidyah bacaan, diteruskan dengan Al-Fatihah, selawat dan Qulhuwallahu ahad. Pujian patut kita berikan pada sahabat-sahabat Gayong kita, dan kawan kira setiap perguruan silat juga punya kaedah buka gelanggang masing-masing. Yang baik, teruskan lah.

Ok, bab hubungan guru-murid. Kita hendaklah menghormati guru atau jurulatih yang mendidik dan mengasuh kita kerana mereka adalah pemegang amanah keilmuan perguruan. Setiap yang disampaikan pada kita pelatih baru adalah apa yang mereka terima dari generasi terdahulu. Seronoknya dalam Lian Padukan, kadang-kala kita akan dapat lebih, lebih dari apa yang mereka terima dari generasi sebelum mereka. Ini mungkin manifestasi kefahaman dan pengalaman yang mereka lalui sendiri sepanjang menuntut dan mengaplikasikan Lian Padukan dalam kehidupan.

Kita juga hendaklah terbuka menerima sebarang teguran atau kritikan, memandangkan kita tidak pernah memulakan sesuatu ilmu dengan kesempurnaan. Cuba kenang kembali jenuhnya nak menguasai Jurus 1. Kekok-kekok perbuatan, sebab tidak pernah dibiasakan sebelum itu. Namun setelah menguasainya, kita pulak seronok mengajarnya pada pelatih-pelatih baru. Kan?

Bab menerima, juga ada adabnya. Dalam perguruan Lian Padukan, tidak ada upacara pelik-pelik menerima murid. Bayar pendaftaran, segala ilmu Lian Padukan layak diterima mengikut masa dan tahapnya. Namun, gelanggang tetap terbuka bagi khalayak yang mahu datang melihat-lihat dahulu, merasa dahulu, manalah tahu Lian Padukan menepati selera atau tidak.

Dan semestinya, perkara yang sama kita warisi dari dahulu hingga sekarang adalah 'sakit'. Sakit dititik adalah sakit yang sama guru-guru terdahulu rasakan. Dan sakit itu juga suatu hari nanti kita wariskan, samada kepada murid kita atau musuh yang masuk ukur berdepan kita.

Bab pengijazahan juga tidak lari dalam institusi Lian Padukan. Pengijazahan adalah pengesahan ilmu yang guru turunkan kepada murid, dan murid sebagai penanggung ilmu tersebut. Pendaftaran dalam persatuan adalah pengijazahan pertama pelatih dalam perguruan, dan perlu diketahui, adanya ilmu-ilmu tertentu yang hanya diijazahkan apabila tiba masa dan ketikanya. Perlu diingat, tiada ilmu rahsia dalam Lian Padukan, hanya kita sahaja samada belum mempelajarinya kerana belum tiba layaknya, atau kita sendiri berat mulut nak bertanya Ayahanda Haji Hasyim. Keilmuan berijazah ini adalah kerana ia memerlukan amanah dalam diri pelatih, yang hanya boleh dinilai setelah sekian waktu kita berLian Padukan. Contohnya, Lian Singkir Tapak Seratus Asmaul Husna.

Memang Lian ini mudah sahaja kita tonton di mana-mana, dan perbuatannya juga mungkin mudah untuk ditiru. Namun, di sebalik setiap perbuatannya, hanya Ayahanda Haji Hasyim sahaja yang layak menerangkan dan menurunkan pada ahli-ahli khatam. Setakat pengetahuan kawan, tidak ada lagi guru atau jurulatih Lian Padukan yang mempunyai kelayakan khusus untuk menurunkan Lian tersebut kepada ahli lain, samada sudah khatam atau tidak. Lian ini adalah amanah khusus kepada setiap ahli khatam yang sudah Ayah letakkan kepercayaan untuk membawa nama Lian Padukan. Jika sebarang-sebarang diceritakan atau diajarkan kepada yang belum sampai waktunya, malah yang bukan ahli Lian Padukan, bermakna pecah amanah sudah berlaku. Adakah lagi keberkatan dan redha guru, apabila amanah yang dijanjikan, dilanggar?

Ini kawan ungkit kerana biasa lihat sendiri dalam forum-forum internet dan fesbuk, ada ahli yang kawan tahu belum dikhatamkan ilmu, sewenang-wenang membicarakan tentang permainan Lian Singkir Tapak Seratus. Walaupun sedikit yang didedahkan, sudah cukup memberitahu adanya yang ketirisan amanah di situ.

Belum cerita lagi bab belot, tikam belakang, pemecah belah ahli. Lagi sedih kalau na dikenangkan. Situasi sama yang berlaku pada hampir semua perguruan silat.

Apa pun, selalu-selalulah menyertakan guru-guru kita dalam doa saban hari. Guru mengaji, guru sekolah, guru memandu, guru buah pukul dan mana-mana guru yang sempat kita tuntuti ilmu berfaedah dari mereka. Hadith sudah menyatakan yang perkara kita bawa pergi hingga ke alam barzakh adalah doa anak soleh, harta yang diinfakkan ke jalan Allah dan ilmu yang bermanfaat. Doa kita pada guru juga dinilai tinggi di sisi Allah, dan '.what goes around, comes around". InsyaAllah, kita juga bakal didoakan kembali oleh murid-murid andai kita juga menjadi guru suatu hari nanti.

Peliharalah adab berguru sebaik mungkin. Jagalah amanah guru sebaik mungkin. InsyaAllah, ada keberkatannya di kemudian hari, kita sedari atau tidak. Malah, boleh jadi juga, walaupun berjenuh belajar buah pukul, kita langsung tak berpeluang bertumbuk menggunakannya, kerana berkatnya ilmu kita pelajari.

Allah lindungi kita dari bala kerana adab yang kita jaga.

Mudah-mudahan, Amiin.....

No comments:

Post a Comment