Sunday 27 April 2014

HORMAT

Untuk sekian kalinya, kawan tekankan bab hormat. Cuba kita baca tafsir ayat Al-Quran berikut,

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak  (dalam masa susah dan senang)" Surah Al-Ahzab ayat 21.

Apabila kita berborak berkenaan hormat, atau apa-apa jua sifat mahmudah, tidak dapat tidak, Rasulullah s.a.w lah tempat kita menyandarkan contoh seperti yang telah digarispandukan oleh Allah s.w.t. berdasarkan ayat di atas.

Allah s.w.t sudah terangkan lama dulu lagi, samada kita ambil tahu atau tidak, yang kalau kita mahukan keredhaan Allah s.w.t, dan masa depan di akhirat yang serba baik, Rasulullah s.a.w lah contoh ikutan yang paling utama.

Dan bagaimana relevannya perkara dia atas dengan kita-kita warga buah pukul?

Jawapannya: bukan semata-mata relevan, malah WAJIB!

Ilmu apa sekalipun yang kita tuntut, hatta ilmu bertumbuk sekalipun, keredhaan Allah s.w.t wajib kita raih. Sungguh, ilmu yang dituntut tidak lain dari ilmu dunia, namun dengan akal dan iman yang dianugerahkan pada kita, wajib kita menyingkap 'tabir' di sebalik ilmu buah pukul. Maka, apabila ilmu buah pukul ini sedikit sebanyak sebati dengan diri, sepatutnya keampuhan itu dijelmakan dengan sifat 'hormat'.

Ya, hormat. Hormat pada Allah s.w.t, hormat pada Rasulullah s.a.w, hormat  pada ibu bapa, guru dan semua di sekeliling kita. Tak dilupa, hormat pada diri sendiri.

Memang kedapatan ahli senibeladiri, di takat tertentu ilmunya, ego akan semakin membiak, menutupi langsung kerendahan hati dan ketinggian budi. Namun, kesilapan itu tidak boleh disandarkan pada ilmu yang dituntut, kerana mempelajari seni beladiri sebenarnya membawa kita mengenal potensi diri, dan 'mengenal' diri sendiri.

Di dunia ini, terlalu banyak senibeladiri yang tercipta, terlalu banyak untuk disenaraikan. Setiap seni itu unik lagi tersendiri, malah mempunyai kelebihan tersendiri. Hakikat itu sepatutnya kita terima dengan hati yang terbuka, kerana kepelbagaian ilmu itu sendiri adalah rahmat Ilahi.

Namun, yang terjadi adalah sebaliknya. Terdapat segelintir kita yang sewenang-wenang mempertikai keilmuan individu atau bangsa lain. Malah terlalu bermegah-megah dengan apa yang dimiliki. Lupa agaknya, kita manusia tak punya apa-apa pun, semuanya hak Allah Taala. Ilmu bergaduh dari guna batu (zaman Habil dan Qabil) hinggalah yang termoden dengan MMA, semuanya sudahpun ditakdirkan Allah.

Pernah kawan berbual-bual dengan orang lama (dan tua) yang sangat fasih bab persilatan, terutamanya silat pulut. Sikit sebanyak rahsia bertapak dan buah yang tersorok dalam tari silat pulut dirungkaikan pada kawan, yang alhamdulillah, sangat selari dengan apa yang ditunjukkan oleh Ayahanda Haji Hasyim. Buat warga Lian Padukan yang baru, rajin-rajinlah mengendeng untuk melihat Ayah bersilat pulut, dan mintak merasa buah-buah terbitan dari tari silat pulut. Mungkin semua dah tahu, yang Ayah juga boleh mengalunkan tari silat pulut yang dipelajarinya dari nendanya, ketika Ayah masih kecil lagi. Jangan tak tahu, silat pulut juga ada 'bisa'nya, 'sengat'nya. Sikit sebanyak, kefahaman ber'lian' turut bertambah dari sudut yang lebih bervariasi dan pelbagai.

Balik pada guru tua ni tadi. Katanya, biasanya kalau murid 'setengah masak' atau belum diperkenan pada mata guru, sembangnya melangit, bualnya deras dan hatinya keras, berbeza dengan murid yang dapat perkenan guru, nampak biasa-biasa sahaja, diamnya berisi, tenangnya bermakna. Ini kerana mereka sudah diisi dengan kefahaman yang 'tiada nyata segalanya melainkan Allah', 'qudrat iradat milik Allah', dan 'Innalillahi wa inna ilaihi raajiun'.

Apa pun, jangan pula disamakan sikap berlagak dengan bertegas. Berlagak ni, lain. Kosong. Ketegasan pula, biasanya diisi dengan ilmu, bagi mempertahankan maruah agama bangsa negara, keluarga, guru dan ilmu yang dituntut.

Makanya, kawan seru diri kawan dan seluruh warga Lian Padukan khususnya, tanamkanlah sifat hormat dalam diri sendiri. Percayalah, hormat menghormati membuatkan kita lebih dipandang tinggi. Tinggalkan segala perbalahan yang sia-sia, semata-mata mahu beraja di medan maya. Cerita kita pun sudah banyak meriwayatkan, yang semakin kita ditekan, semakin bertambah keahlian, semakin kuat semangat kekitaan.

Dan lebih penting, jadikan Rasulullah s.a.w dalam memupuk sifat hormat yang tinggi dalam diri. Sirah sudah membuktikan, ramai yang memeluk Islam kerana keindahan akhlak Baginda Nabi dan para sahabat r.a. Terbukti, akhlaklah 'senjata' paling ampuh dalam kehidupan dan perjuangan.

Sekian bebelan kawan buat masa ini. Terima kasih.

Lupa. Ayahanda Haji Hasyim khabarnya akan berangkat ke Australia bersama keluarga dalam beberapa hari, untuk menziarahi anakanda sulungnya yang melanjutkan pengajian master di sana. Sama-samalah kita doakan Ayah dan keluarga selamat pergi ke Australia dan selamat pulang ke Malaysia.




No comments:

Post a Comment