Sunday 6 April 2014

DOA RABITAH - MENYATUPADUKAN KEKITAAN LIAN PADUKAN

Hati ini telah bersatu berkumpul diperut bumiMu
Hati ini telah berpadu bersatu memikul beban dakwahMu
Hati ini telah mengikat setia untuk mendaulat untuk mendukung
SyariatMu di alam maya
Maka Ya Allah eratkanlah
Ikatan yang
Maka Ya Allah eratkanlah
Ikatan yang ada

Lirik di atas adalah sebuah nasyid yang sering kami nyanyikan sewaktu kawan bersekolah di sebuah sekolah beraliran agama kira-kira 16 tahun dahulu, selepas berhizib wajib setiap selepas Subuh dan Asar, iaitu  Al-Mathurat susunan  As Syahid Imam Hassan Al Bana. Nasyid tersebut merupakan manifestasi daripada Doa Rabitah yang terdapat dalam hizib tersebut.

Al-Mathurat, apabila dilantunkan secara berjemaah, sungguh-sungguh membangkitkan semangat jihad dalam diri. Jihad bukan hanya bermakna mengangkat pedang, jihad juga adalah segala apa daya yang kita curahkan dalam memperjuangkan agama Allah di muka bumi.

Al-Mathurat adalah zikir-zikir masyhur anjuran Baginda Rasulullah s.a.w di samping ayat-ayat al-Quran yang apabila dihayati makna-makna dan diselami  pengertiannya, akan mendatangkan 'zuk' dalam menyintai setiap amalan yang mendatangkan kebaikan di sisi Allah. Amalkanlah stiap hari, insyaAllah banyak keberkatan yang bakal diperolehi berdasarkan janji-janji nabi yang pernah diriwayatkan bagi setiap wirid.

Kawan petik Doa Rabitah dalam tulisan kali ini, memandangkan ini adalah doa menuntut perjuangan kita diredhai dan menyatukan hati-hati jemaah Lian Padukan sekalian.

Kita selaku ahli Lian Padukan mengetahui secara umum, yang perjalanan kita untuk menyebarluas ilmu Allah, berkongsi kelainan dalam keilmuan buah pukul, dan lain-lain lagi seringkali bertemu onak ranjau yang bukan kepalang. Malah kita sebagai anak-anak juga melihat sendiri tanggungan beban yang dipikul Ayahanda Haji Hasyim dalam mendidik dan memiin kita selama ini.

Maka, apa lagi yang mampu kita bekalkan kepada Ayah dan keluarga kita selain doa dan semangat kekitaan antara kita.

Doa Rabitah ini jugalah yang menjadi amalan ikhwan-ikhwan dalam Ikhwanul Muslimin dalam memarakkan bara semangat perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi. Mereka boleh, kita juga boleh insyaAllah.

Petua membaca doa tersebut, yang selalu kita dengar di mana -mana kuliah, adalah membacanya sambil memejamkan mata membayangkan keseluruhan wajah ahli-ahli jemaah, atau dalam skop kita, Lian Padukan. Kita menuntut penyatuan hati setiap ahli keluarga kita agar tetap hati dan dikuatkan semangat untuk terus bersama mendalami, mendukung dan menyebarluas ilmu persilatan Lian Padukan agar sedikit sebanyak boleh diandalkan untuk membantu perjuangan Islam di kemudian hari.

Apa kata kita cuba amalkan sewaktu buka gelanggang. Biar doa yang dibaca meresap hati-hati kita untuk berlatih lebih bersungguh-sungguh. Takpe tak hafal pun. Selalu-selalu baca, insyaAllah lekat.

Buku Al-Mathurat boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh negara, atau download sahaja di internet. Dalam apps pun banyak jugak. Jadikan amalan untuk kekuatan dalaman. Siap-siapkan diri dari sekarang, kerana amalan-amalan dalam Lian Padukan juga ada terkandung dalam Al-Mathurat.



No comments:

Post a Comment