Monday 31 March 2014

MEMAHAMI LIAN 3.0 : ANALISIS DAN APLIKASI MELALUI PENDEKATAN BUNKAI OYO KARATE

Pertama sekali, kawan memerlukan keterbukaan sidang pembaca (kalau ada) terutama yang beraliran buah pukul, khasnya Lian Padukan dan karate. Bagi pengamal tegar lagi 'asli' dalam buah pukul, perkara yang kawan ingin kongsikan mungkin luar norma perbincangan sesama warga buah pukul, lebih-lebih lagi mengaitkan konsep senibeladiri yang bukan asal lingkungan buah pukul mersing. Bagi pengamal Lian Padukan, mungkin kawan memandai-mandai, sedangkan perkara yang ingin kawan tulis sudahpun lengkap diajar dalam Lian Padukan. Bagi pengamal karate pula, kawan bukan menciplak, cuma mengaitkan cara kawan memahami Lian Padukan - cara kawan - dengan meminjam pendekatan aliran kalian sebagai bandingbeza secara ilmiah. 

Mudah kata, kawan mahu memvisualisasikan kefahaman kawan dalam bentuk tulisan. 

Pendekkan cerita, kawan berkesempatan bertemu sahabat lama yang beraliran Aikido Aikikai dan Karate (Shotokan barangkali). Walaupun beliau beraliran matahari terbit, beliau tetap meminati silat, yang juga beliau pelajari sewaktu di universiti dahulu, iaitu Silat Helang Putih Perkasa. Pertemuan seketika kami akhirnya tidak lari dari berbualkan modal yang kami minati - seni beladiri.

Ikutkan profail sahabat kawan, bukanlah boleh dienteng-enteng. Setidak-tidaknya, beliau bertaraf jurulatih dalam Aikido Aikikai. Jadi, sambil bermuzakarah (dan berdiri), kami berbincang mengenai persamaan dan perbezaan yang terjalin antara seni-seni yang kami pelajari. Setidak-tidaknya, kami bersetuju yang tujuan berlatih senibeladiri adalah untuk self defense dan kesihatan.

Yang menarik minat kawan, apabila kawan menunjukkan jurus dan lian serta aplikasinya, beliau tertarik untuk menyamakan pendekatan lian dengan kata bunkai dan kata oyo dalam karate.

Bila kawan dengar oyo, kawan cuma sambut "Ayoyo..." Serius, kawan tak tau apa itu.

Penerangan demi penerangan disampaikan. Begitu juga, kawan ditunjukkan kata dan aplikasinya. Akhirnya, sikit sebanyak kawan faham, malah sangat berterima kasih kerana pendekatan itu memberi kawan lebih peluang untuk mengkaji kepelbagaian seni.

Bunkai secara harfiah bermaksud analisis, manakala oyo ialah aplikasi. Konsep bunkai dan oyo sangat penting untuk difahami oleh pengamal karate supaya mereka memahami setiap gerak kata yang mereka latihkan tidak sia-sia. Memandangkan ini nota peribadi kawan mengenai Lian Padukan, kawan pinjam sekejap konsep tersebut bagi membuktikan yang Lian Padukan sangat universal dan transparent dengan kepelbagaian konsep dan seni.

Meh try kawan  'bunkai'kan dan 'oyo'kan Lian. Marah jugak orang Lian Padukan ni...

LIAN BUNKAI

Semasa peringkat jurus 1 lagi, kita sudah pun diterangkan perincian setiap teknik dan tapak yang terkandung di dalamnya. Sebaik memahiri perbuatan titik, perisai, tumbuk dan cara melangkah, kita diceritakan tujuan setiap perbuatan. Setelah itu, kita ditunjukkan buah-buah yang boleh diterbitkan. Peringkat jurus lebih kepada memahirkan senjata lapan Baik, kawan ambil Lian 1 sebagai contoh untuk memudahkan perincian, memandangkan lebih banyak teknik.

Lian 1 merupakan lian pertama dalam Lian Peringkat Pertama. Secara analisis, atau kawan pernah sebut sebagai 'cerakin', lian tersebut terdiri daripada gabungan teknik Jurus 1, sisip, gelek kanan, selak penjang, gelek kiri, selak panjang, simpan dan seterusnya (yang tak tau, nanti boleh belajar).

Dengan mengetahui setiap teknik yang terkandung, kita latihkan dengan pasangan untuk memahami tujuan setiap teknik. Soalan-soalan seperti mengapa mendulu, mengapa sisip, mengapa perlu gelek, mengapa perlu gelek 2 belah dan lain-lain akan menjadi pemangkin kepada pemahaman kita terhadap setiap teknik yang dilatih. Malah, secara analitikal, setiap perincian teknik akan menerbitkan buah-buah. Contohnya, teknik sisip menerbitkan buah 'sapu cat' atau 'calit' yang praktikal dalam mengalihkan tumpuan lawan, malah mungkin membuka ruang menumbangkan lawan. Analisis juga membawa kepada kajian teknik sebelum 'sapu cat' atau 'calit' lagi seperti Jurus 1 dan 'malangkan'. Malang bagi mereka yang meninggalkan langsung buah 'sapu cat' ini dengan alasan 'tidak perlu' atau 'kau belum sampai kefahaman lagi', memandangkan ini antara buah feveret Ayahanda Haji Hasyim sendiri yang jarang ditinggalkannya sebaik 'berdiri'. Malah, 'calit' ini juga ada liannya yang tersendiri, terkandung dalam pelajaran lian-lian asing.

LIAN OYO

Oyo pula setakat kawan google, bermaksud aplikasi. Setelah kita memahami dan memahiri setiap teknik yang terdapat dalam Lian 1 tadi, kita cuba mengaplikasikan teknik-teknik tersebut melalui corak-corak serangan yang pelbagai. Malah, aturan dalam lian juga mungkin berubah, berdasarkan situasi. Setiap teknik malah mungkin boleh berdiri sendiri dengan kekuatan tersendiri, contohnya buah Jurus 1 yang mungkin tidak sempat dilapis oleh lawan, cukup untuk menumbangkan lawan tanpa perlu bergelek dan berselak.

Tak faham? Mungkin kawan je yang faham.Takpelah, ni kan nota peribadi kawan.

Pendekatan Bunkai dan Oyo dalam karate sebenarnya membuka ruang kepada pengamal-pengamal aliran tersebut untuk tidak putus mengkaji setiap kata-kata atau pattern yang wujud dalam karate. Dalam Lian Padukan sendiri pun, kita ada 'istiadat khatam' bagi yang usai mempelajari silibus sebagai tanda pengiktirafan, namun ruang mengkaji setiap perincian teknik dalam Lian tidak pernah padam, sentiasa ada untuk difikirkan, dibincangkan dan dipelajari. Alhamdulillah, Ayahanda Haji Hasyim tidak pernah berkira untuk berkongsi pelajaran. Rezeki masing-masing, kalau kena cara. dapat lebih la.

Apa pun, atas kita. Tak faham, bertanya. Faham, berkongsi. Nak lebih, berlatih.

No comments:

Post a Comment