Tuesday 4 March 2014

PENINGKATAN PRESTASI MELALUI LATIHAN BERCORAK KESUKANAN

Sebelum ini, kawan pernah menulis berkenaan cross training dalam Lian Padukan. Kali ini, kawan akan cuba spesifikkan corak-corak latihan yang boleh diamalkan samada dalam gelanggang mahupun persendirian. Kalau ada yang komen 'ini bukan yang asli, tapi diada-adakan', 'tak perlu nak berpenat-penat sangat, bertumbuk kat jalan bukan lama, tak sampai seminit pun' dan lain-lain lagi yang tak mesra motivasi, lantakkan mereka. Kalau ada yang mengata belakang, biarkan. Ada sebab mereka di belakang kita. Kalau ada yang cuba menjatuhkan kita, biarkan. Ada sebab mereka ada di bawah kita.

LATIHAN AEROBIK DAN ANAEROBIK

Bila berkaitan dengan robik, yang biasa masyarakat kita dengar dan amalkan ialah senamrobik. Johor sangat dikenali dengan budaya J-robiknya. Sebenarnya, latihan aerobik dan anaerobik adalah latihan yang melibatkan penyertaan dan ketidaksertaan oksigen. Aerobik ialah latihan yang melibatkan konsumsi oksigen secara menyeluruh oleh tubuh badan. Latihan ini melibatkan intensiti atau kekerapan sederhana dalam tempoh masa yang panjang. Contoh latihan ialah joging, skipping, bermain bola sepak, berenang dan lain-lain. Contoh latihan aerobik dalam latihan Lian Padukan ialah melakukan jurus 1 -4dan lian 1-16 secara berterusan tanpa henti. Latihan aerobik penting dalam peningkatan stamina dan endurance kita. Sebelum melaut, oksigen berfungsi sebagai 'pembakar' glukosa iaitu sumber tenaga badan kita.

Latihan anaerobik pula menumpukan penggunaan tenaga yang melebihi kadar pernafasan sehingga tubuh dipaksa bekerja tanpa oksigen. Maka, kekuatan dan kepejalan otot dapat dilatih secara maksima. Contoh latihan anaerobik ialah sprinting, High Intensity Interval Training atau TABATA, latihan bebanan, kettlebell, speed ball dan focus mit, dan lain-lain. Dalam Lian Padukan, jurus perdana senafas adalah antara yang bercirikan anaerobik.

Kedua-dua latihan ini boleh dilatih berasingan atau disekalikan. Mari kita kaitkan dengan falsafah pegangan ahli Lian Padukan iaitu 'hendaklah mendulu jangan menunggu, bertalu-talu tak tualu'.

Mendulu memerlukan kita mampu membaca gerak dan niat lawan (rujuk guru dan banyakkan latihan) Mendulu juga memerlukan kepantasan dalam melaksanakan lapis sekiranya kita ditekan atau direbut (anaerobik). Bertalu-talu memerlukan stamina untuk melaksanakannya (aerobik) di samping kepantasan (anaerobik) melaksanakan kerja sehingga musuh jatuh. Selain itu, ketepatan juga perlu (pelampas dan focus mit) supaya pukulan sentiasa sampai pada sasaran.

Ini sekadar contoh pelaksanaan latihan yang boleh kita ambil tahu untuk peningkatan prestasi kita dan kesihatan kita. Jadilah kita pengamal Lian Padukan yang sihat jasad dan rohani dengan pengetahuan dan ilmu yang membina. Sekadar bertaring di lama fesbuk tak bawa ke mana. Hebat 'bertumbuk' di fesbuk hanya menambah lemak di perut, sedang belalai mengontot dan gading tidak berasah. Berlatihlah kita di dunia realiti agar kita mampu menjadi ikon gaya hidup sihat dan menarik minat ramai lagi menyertai Lian Padukan. Biar kita tidak bergaya dengan istilah yang 'purba-purba', namun setakat tekan tubi seratus kali dalam seminit (rekod peribadi penulis 94 tekan tubi dalam seminit. 6 to go!) boleh kita usaha.

No comments:

Post a Comment