Saturday 22 February 2014

KEPENTINGAN ASAS

Apa khabar pengamal senibeladiri dan Lian Padukan khususnya, sihat?

Bagaimana dengan latihan, ok?

Pencapaian semakin baik atau statik?

Atau menurun langsung?

Apa-apa pun, terpulanglah pada diri sendiri.

Kembali ke tajuk. Kita berbincang berkenaan kepentingan asas. 

Dalam pembelajaran agama, asas terpenting perlu dipelajari adalah Aqidah, Feqah dan Akhlak. Ia bersangkutan langsung dengan Iman, Islam dan Ihsan (rujuk hadith masyhur riwayat Umar Al-Khattab berkenaan kunjungan Jibrail a.s kepada Junjungan Rasulullah s.a.w)

Dalam pengajian Al-Quran, asas terpenting ialah penguasaan huruf-huruf hijaiyah alif ba ta bawa ke ya. Tak kenal huruf macam mana nak mengaji, nak memahami.

Dan di persekolahan dari peringkat pra lagi, kanak-kanak diterapkan asas mengenal huruf dan nombor (literasi dan numerik) a.b.c dan 1.2.3...

Asas membawa ke mana kita sekarang. Dan di setiap waktu, asas-asas itulah yang kita gunakan. Contohnya, walaupun kita dah mempelajari pembezaan dan kamiran dalam matematik tambahan, asas tambah tolak bahagi darab jugak yang kita gunakan untuk mengira bajet BR1M, kira belanja anak-anak, kira hutang dengan ah long dan lain-lain. 

Dalam bertumbuk juga begitu...

Kita boleh jadi didendangkan dengan pebagai istilah, falsafah dan petua yang tercatat dalam nukil atau gorengan mana-mana guru atau 'kaki-sembang-lebat-dalam-facebook-tapi-obes-nak-bawak-diri-pun-jenuh-harap-tumpang-nama-keturunan-je-lah' , namun yang terutama perlu kita tekankan adalah asas. Tanpa asas yang kukuh, kita takkan mampu sampai pada mana-mana falsafah dan petua. Contohnya, bagi pengamal Lian Padukan, kita mungkin memahami dan boleh mentafsirkan 'hendaklah mendulu jangan menunggu, bertalu-talu agar tak tualu' sambil pejam mata dan hembus asap rokok (merokok difatwakan HARAM), namun apabila asas jurus 1 tidak dimahirkan sesungguhnya, petua tersebut sekadar lafaz 'menanam tebu di bibir sahaja'.

Sebab itu, Ayahanda Haji Hasyim sangat-sangat keras mahukan pelatih memahiri Jurus 1 iaitu asas kepada segala asas dalam Lian Padukan. Pusinglah ke lian mana sekali pun, peringkat mana sekalipun, ceritanya itu juga.

Itu bab bertumbuk. Bagaimana pula persiapan sebelum terjadinya bertumbuk?

Sebelum kita cerita tentang 'dulu kau tiba aku', 'pukul dibunuh dengan dulu, dulu dibunuh dengan ......' dan lain-lain lagi mutiara kata, bagaimana dengan iktikad kita yang kita ni tak punya daya? Mainlah yang asli ke, yang purba ke, yang terhebat mana sekalipun, persiapkan diri kita dengan asas 'kita tak punya daya melainkan Allah'. Nama family gah mana pun, kalau dah Allah tetapkan kita tak bergerak, tak bergeraknya kita.

Juga asas kesihatan yang baik. Terus terang cakap, banyak pengamal silat dan buah pukul Melayu tidak menunjukkan tauladan yang baik berkenaan menjaga kesihatan. Kita disurahkan dengan senaman itu, senaman ini dalam silat Melayu, namun yang mengajarnya itu pun bernafas bak naga, asap semedang di mulutnya. Mengajar ilmu persilatan kepada anak-anak yang masih bersekolah dengan selamba rokok di mulut dan di jari. Apa ni? Bukan main meluat benci pada Yahudi, tapi hat rokok nak buang pun sayang. Bila kawan baca dalam keluaran terkini Senibeladiri (cover depan guru YM Tengku Musa. Syabas Gayang Lima!), Guru Jack Bulat, Melayu pekat dari Itali ada menyuarakan bibit kekesalan dengan sesetengah pengamal silat yang mengajar tentang sihat namun tidak dengan cara sihat. Mengajar silat tapi dengan rokok terlekat. Mengangguk laju kawan, berkongsi kekesalan yang sama.

Dan kondisi fizikal pengamal silat juga banyak yang out. Tu tandanya asas perguruan tidak dipegang dengan kukuh. Ye lah, bayangkan kalau sebutir penumbuk dilatih beribu kali, sempat ke lemak nak berkumpul. Kalau satu lian dilatih seratus kali, ok, jangan banyak, 10 kali, bayangkan gagahnya fizikal, sajaknya pengamal lian. Yang ini, kawan angkat topi respek pada salah seorang sahabat baik Ayahanda Haji Hasyim iaitu Guru Po Yee Gerak Lian. Idola kawan bab fitness. Umur dah banyak, tapi segak. Hasil lian yang tak jemu dilatih. Tengok anak buah Pok Yee pun gagah-gagah belaka. Asas kesihatan dipegang kuat.

Banyak lagi cerita bab asas ni. Kena fikir di luar kotak, hatta tanpa kotak. Bercerita tentang asas pun tak ada sudahnya, apatah lagi yang lain.





No comments:

Post a Comment