Sunday 2 February 2014

BUDAYA DI GELANGGANG LIAN PADUKAN

Setiap gelanggang seni beladiri punyai cerita dan budaya tersendiri. Dari setradisi silambam hingga semoden-moden MMA. Budaya yang diwujudkan secara langsung atau tidak mencerminkan peribadi guru, pengamal dan aliran itu sendiri.

Mari kawan nak ceritakan lebih kurangnya tentang gelanggang Lian Padukan, spesifiknya di gelanggang induk Ros Merah, Johor Jaya, Johor.

Bagi pencinta buah pukul dan persilatan yang berdekatan, kawan alu-alukan datang ke gelanggang induk dan bertemu rapat dengan guru utama Lian Padukan, Ayahanda Dr. Hj. Hasyim bin Hj. Salleh. Insyaallah, banyak persoalan yang boleh dirungkaikan.

Pertama, keterbukaan ayahanda dan rakan-rakan pelatih. Semua pengamal diasuh supaya menghormati tetamu dan tidak menidakkan permainan lain, sementelah Hj. Hasyim sendiri adalah pengamal pelbagai jenis aliran sebelum bersama Lian Padukan, dan masih ada pelajaran terpilih aliran-aliran tersebut yang ayahanda kongsikan bersama pelatih.

Keterbukaan itu juga mendorong tetamu atau penuntut baru supaya tidak meninggalkan langsung apa yang pernah dipelajari sebelum ke gelanggang Lian Padukan. Kadang-kala kita didendangkan dengan 'kosongkan cawan kamu' apabila melangkah ke gelanggang baru, tapi tidak di Lian Padukan. Penuntut baru digalakkan membawa bersama permainan asal dan berkongsi (berdemonstrasi, kalau tidak 'berdiri') dengan pengamal sedia ada dan Ayahanda  Hj. Hasyim. Insyaallah, kadangkala perbincangan di luar aliran membawa lebih kefahaman buat kita.

Sesi di gelanggang induk juga agak santai, ada minum-minum dan kadang-kadang makan-makan yang dihidangkan oleh Aunty Fifi dan rakan-rakan pelatih yang bermurah hati. Cuma, pendapat peribadi kawan, jangan terlalu hanyut dengan kesantaian. Dalam duduk-duduk pun, sembang-sembanglah tentang keilmuan. Ayahanda Hj. Hasyim kalau kena gaya sembang, mudah keluar macam-macam. Kita je lah larat atau tidak nak hadam.

Hormat-menghormati adalah budaya utama dalam mana-mana kelas sekalipun, tak terkecuali Lian Padukan. Tua dihormati, muda disayangi. Teringat kawan akan pesan yang dipanjangkan oleh orang tua-tua kampung kawan. 'Hormat itulah senjata kedua kita berdepan dengan sesiapa pun. Yang pertama, doa,'

Kefahaman adalah fokus utama pembelajaran di gelanggang utama Lian Padukan. Lain penuntut, lain corak pergerakan, lain kekemasan lian. Namun kefahaman adalah yang terpenting. Pantang ayahanda Hj. Hasyim bila penuntut tidak faham apa yang dikerjakan. Tidaklah dimaki, cuma yang tidak faham akan diperhaluskan lagi dengan terperinci.

Lagi yang kawan perhatikan, penuntut juga tidak didendangkan dengan istilah yang 'purba-purba'. Ceritanya tetap berkisar penumbuk dan bertumbuk. Falsafah  tetap diajar berlandaskan nukil dan buku nukil, serta petua-petua lama, cuma tidaklah istilah purba ini dilambung-lambungkan macam 'kalau kau tau maksud iu, maksud ini, kau lah orang yang lebih sekali'.

Satu lagi yang perlu difahami oleh tetamu dan penuntut baru, Hj. Hasyim dan gelanggang induk adalah tempat yang 'mesra buku', bersesuaian dengan title 'Dr.'nya. Penuntut sangatlah digalakkan membawa buku nota dan pen untuk mencatat pelajaran, petua, amalan dan lain-lain dari guru. Ini kawan perhatikan sendiri, Hj. Hasyim lebih menyenangi penuntut yang tak segan mengeluarkan buku dan mencatat setiap tunjuk ajar guru berbanding penuntut yang hanya dengar dan angguk sahaja. Juga pantang Hj. Hasyim, kalau penuntut yang mahu mencatat ilmu minta kertas dan pen dari rakan penuntut yang lain. Tidak ada kesungguhan menuntut di situ. Kedapatan juga tetamu dan penuntut yang menghadiahkannya buku. Kalaulah berkesempatan melihat koleksi buku-buku, terutamanya al-Quran, peminat buku pasti tertawan.

Hj. Hasyim dan rata -rata guru persilatan adalah insan yang mudah berbual. Macam-macam topik boleh dipanjangkan. Maka, sebagai anak muda dan penuntut, budayakanlah bertanya jika ada sebarang kekusutan. Buat research, pembacaan, tontonan dari mana-mana sumber. Ada persoalan, ada soalan. Ada soalan, ada modal berbual. Di mana-mana pun kita lihat, murid yang bertanya lebih biasanya dapat pun lebih. Dan bertanya pula biarlah dengan sikap dan tempatnya. Ada pelajaran yang mungkin hanya diajarkan kepada pengamal khatam, mungkin kita boleh tanyakan, namun jawapannya K.I.V dulu... Belum waktunya kan. Taat, insyaallah dapat.

Dan sudah semestinya, resam menuntut di gelanggang buah pukul - keras dan ganas. Tidak hanya di Lian Padukan, lain-lain gelanggang buah pukul juga menghadapi pasang surut penuntut yang mungkin tidak secocok dengan latihan yang serba keras. Kalau dah di peringkat pengenalan pun bengkak-bengkak dititik, ada harapan itulah hari pertama dan akhir ke gelanggang. Apa pun, atas minat masing-masing. Bukan semua senibeladiri bercerita tentang bertumbuk semata-mata. Selera masing-masing. Namun kalau mencari keras, antaranya Lian Padukan lah jawabnya.

Dan teras utama pengajian Lian Padukan, selain hal bertumbuk adalah, menghalusi maksud 'P.A.D.U.K.A.N' itu sendiri. Handal mana pun bertumbuk, jika Allah tak izin, takkan selamatnya kita.

Banyak lagi nak kawan ceritakan perihal gelanggang Lian Padukan, samada induk atau cawangan. Semuamya ada keistimewaan tersendiri. Begitu juga gelanggang beladiri lain.

Semuanya tentang mengenal diri sendiri.


No comments:

Post a Comment