Wednesday 19 February 2014

LIAN PADUKAN, SEDIA! JURUS 1, PASANG!

Mari kita berkenalan dengan silibus pertama dalam Kurikulum Standard Lian Padukan (KSLP) iaitu Jurus 1.

Selesai pelatih baru berkenalan dengan 'Buka Gelanggang' dan latihan-latihan pelampas pra jurus, pelatih dibawa berlatih dengan awal Lian Padukan iaitu mengenal jurus.

Peringkat jurus dalam Lian Padukan turut dikenali sebagai Jurus Senjata Lapan atau Pengenalan Senjata Lapan. Dalam peringkat ini, pelatih diajar melatih penggunaan senjata lapan iaitu penumbuk, siku, lutut dan kaki secara efektif. Pergerakan jurus pula adalah bertapak titi sebatang atau papan sekeping. Sebelum melanjut, kaedah papan sekeping adalah kaedah bertapak dalam silat yang bukan hak milik mutlak mana-mana perguruan. Susah jugak kalau tiba-tiba ada yang claim itu dia punya sahaja.

Permulaan jurus adalah perbuatan serangkai titik, perisai dan tumbuk. Bunyinya macam banyak kerja dalam satu perbuatan, namun huraiannya biarlah bergelanggang. Jurulatih atau pelatih senior akan menunjukkan satu persatu perbuatan tersebut dan aplikasinya. Kaedah tersebut menepati petua buah pukul yang selalu disebut-sebut iaitu '2 gerak 3 ruat'.

Seronoknya, jurus ini dikaedahkan secara mudah agar semua pelatih boleh menguasainya dengan cepat. Biar  cepat dapat, cepat dikuasai, boleh digunakan apabila terdesak nanti. Kalau ke gelanggang induk, di hari awal mendaftar lagi pelatih baru akan diberi rasa dan buah terbitan jurus satu ini, dan biasanya dalam keadaan betul-betul bertumbuk supaya pelatih baru merasai sendiri the essence of Lian Padukan iaitu keras dan ganas. Yang tak syoknya kadang-kadang itulah, tak kurang juga pelatih yang hilang selepas kelas pertama.

Tanya Ayahanda Haji Hasyim, jurulatih dan pelatih senior, kenapa titik dahulu, bukan tumbuk. Dari mana asalnya penumbuk. Apa itu buah, apa itu pukul. Kenapa mendulu, tidak menunggu. InsyaAllah anda akan dihidangkan dengan huraian yang mudah difahami dan tidaklah terlalu 'purba' untuk dirahsiakan. Terlalu berahsia pun tak elok sebenarnya. Pelatih dah datang menunjukkan kesanggupan mempelajari ilmu setitis yang kita ada, tak salah kita ajarkan selagi pada waktu dan peringkatnya. Nanti bila digunakan pada tempat yang betul untuk menyelamatkan diri dan keluarga, kita juga dapat pahalanya.

Jurus ada empat, namun buahnya, jurus 1 sahaja sudah beribu. Bukanlah buahnya ada seribu satu untuk hafalan semata-mata, tetapi seribu satu itu adalah terbitan sendiri dari kefahamannya yang kita perolehi melalui latihan dan pengalaman. Apa pun, kuasai dahulu buah silibus jurus 1 yang sangatlah mudah. Selepas itu olahlah sendiri buah-buah terbitan ikut kefahaman sendiri. Nasihat kawan, dahulukan praktikaliti berbanding fancy-fancy. Mahirkan satu dua buah cukup memadai daripada gah dengan ratusan buah yang belum pasti dimahiri. Orang tua-tua cakap dah, "biar sikit, tapi diamal (dilatih), boleh dibuat haikal, daripada banyak selalu tertinggal, dapat sial tak pasal-pasal".

Memahiri jurus 1 juga tidaklah lama, bergantung kepada kefahaman dan kemahiran individu. Jangan diligan nak cepat naik peringkat, naik lian jika jurus 1 masih meraban-raban. Tidak memahiri jurus 1 bagi pelatih Lian Padukan adalah suatu kerugian yang amat, kerana inilah permulaan segala permainan Lian Padukan. Dalam senibeladiri apa sekalipun, jangan memandang rendah pentingnya asas, kerana yang asas lah permulaan bagi sebuah kefahaman dan kemahiran.

Dan mohon maaf dari kawan, kawan tidak akan detailkan secara part by part berkenaan jurus, buah atau lian. Tulisan sekadar ibarat 'membuka tudung saji'. Nak tau lanjut, ke gelanggang terdekatlah untuk 'menjamah hidangan' Lian Padukan. Mungkin anda semua biasa lihat di mana-mana persembahan, rancangan televisyen atau Youtube. Memang dilihat mudah, namun untuk ditiru payah. Kawan sendiri duk tiru-tiru buah-buah Lian Padukan bertahun lamanya melalui Youtube, namun bila dah join sendiri, baru tahu yang sebenarnya. Apa pun, lebih baik berguru secara rasmi. Lebih berkat dan selamat, insyaAllah.








No comments:

Post a Comment