Friday 14 February 2014

SIHAT MELALUI SILAT - CERGAS DAN SIHAT DENGAN LIAN PADUKAN

Ok, kali ni kawan nak posting ala-ala kempen kesihatan. Hidup sihat melalui silat.

Silat secara umum adalah pola pergerakan yang mempunyai faedah-faedah umum dan khusus, antaranya dari sudut kesihatan.

Saudara Azlan Ghanie dari SeniBeladiri mempopularkan senaman tua yang bertunjangkan silat sebagai alternatif mencapai kesihatan luaran dan dalaman. Ayahanda Haji Hasyim sendiri mahukan anak-anak buahnya berfizikal kemas dan sihat, sesuai dengan kekemasan ilmu yang ditanggung pelatih Lian Padukan.

Malah, hampir semua senibeladiri menekankan kesihatan luaran dan dalaman sebagai persiapan membentuk pahlawan yang lengkap.

Lian Padukan juga tidak terkecuali, ada senaman tersendiri yang menjadikannya antara pilihan bagi warga senibeladiri untuk kekal sihat.

Kawan kongsikan serba sedikit senaman-senaman unik yang menjadi silibus wajib bergelanggang Lian Padukan. Kawan mulakan dengan squat kicking yang merupakan favourite kawan.  Squat kicking adalah core exercise bagi melatih abdominal area dan ke bawah. Squat sendiri dalam dunia kecergasan moden  dikenali sebagai ibu senaman (ibu lian?). Perbuatannya mudah sahaja, mencangkung - bangun - tendang tikam - mencangkung. Namun tanpa kawalan nafas yang betul, 10 kali squat dah mencungap. Senaman ini yang diamalkan berterusan mampu menguatkan bahagian bawah badan, perut dan memberi ketepatan tendangan. Janganlah hendaknya pelatih Lian Padukan meninggalkan langsung senaman ini. Walaupun dilihat mudah, namun impaknya besar. Bagi kaum suami, ini boleh jadi adalah senaman kegemaran anda.

Pelampas-pelampas tangan juga wajib dilatih untuk menghidupkan anggota agar 'bermata'. Kawan ingat lagi, awal melangkah ke gelanggang induk, senaman tepuk-menepuk disajikan kepada kawan. Kekok juga mulanya, tapi bila dah mahir, seronok. Bukan itu saja, pelampas-pelampas tangan ini juga hendaklah dilatih sekuat hati, hingga perit-perit, bengkak-bengkak tangan. Sakit dipermulaannya, namun alah bisa tegal biasa. Pelampas dicipta sedemikian rupa untuk melasakkan anggota. Bayangkan kita melempang tangan sendiri sekuat hati hingga sendiri rasa sakit dan peritnya, daya melempang yang sama kita pindahkan ke musuh. Buah melempang pun ada liannya yang tersendiri, latihlah asasnya supaya mudah kita terima lian tersebut apabila tiba masanya. Peringkat reju juga memerlukan kita mahir akan penggunaan pelampas.

Lagi senaman yang menjadi kegemaran kawan adalah 'laga senjata'. Berpasangan, kita lagakan anggota badan kita bersama rakan sepelatihan. Di sini kita melatih untuk bertoleransi dengan kesakitan yang bakal kita hadapi apabila kemahiran bertumbuk diperlukan. Perlu diingat, 'sediakan payung sebelum hujan. Bukanlah tak kena hujan, tapi kalau kena pun pada tempat-tempatnya'. Cuba teka, ini ayat siapa?

Dalam melatih jurus juga, kita boleh mempelbagaikan kaedah latihan. Antara yang pernah digunapakai di gelanggang Lian Padukan adalah 'Jurus Perdana' 3 langkah senafas. Kepantasan dan kawalan nafas adalah kunci kesempurnaan senaman ini. Kawan sendiri juga selalu mengubah-ubah cara latihan peribadi, agar tidak plateau. Antaranya buat lian semuka senafas, buat lian 4 muka senafas (kalau larat la), buat lian dengan selaju yang boleh, buat lian satu muka satu lian (1-16), dan macam-macam lagi. Dalam bab berlian pula, kawan turut fokus kesempurnaan melatih Lian 16 iaitu Lian Gulung dalam silibus Lian Padukan. Lian ini menekankan kawalan pernafasan untuk kecergasan luaran dan dalaman,  yang kawan lihat boleh disimilarkan dengan latihan erat anggota nafas atau 'lean' dalam aliran Sendeng Haji Hamid atau 'kata sanchin' dalam aliran karate. Malah, kaedah pernafasan dalam Lian Gulung juga kawan aplikasikan dalam lain-lain lian, sekadar mengvariasikan latihan. Benda memang tak diajar guru gelanggang, namun tidakkah ada sifat keguruan dalam diri kita sendiri, untuk mendisiplinkan diri?

Banyak lagi senaman sebenarnya, yang boleh kita adaptasikan dalam berlatih. Malah, tak salah andai dengan kreativiti kita, kita mempelbagaikan latihan untuk kemahiran kita. Ingat, yang nak bertumbuk, nak gunakan kemahiran adalh diri kita sendiri. Guna juga bahan bantu latihan seperti punching bag, pao, wooden dummy (kalau ada duit), dumbell dan apa-apa sahaja. Pelajaran di gelanggang namun kemahiran hendaklah terus dilatihkan tak kira mana pun. Stamina dan kecergasan, kewajipan sendiri.

Secara peribadi, Lian Padukan adalah jalan kawan mencari kecergasan dan kesihatan. Lain orang, lain cara. Yang penting, kemahuan ada.

Taknak lah masuk golongan trademark yang bersilat. Apa, tak tau golongan trademark bersilat? Mudah je. Sembang lebat, tapi umur tak capai 40an dah obes. Kadang-kadang lagi tebal sandang, lagi tebal lemak di perut. Ilmu banyak-banyak turun ke perut.

Sebab tu, walaupun berLian Padukan, antara idola kawan dalam bersilat ialah Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman, pengasas Silat Seni Gayong. Badannya katang, sekatang ilmunya. Beliau di hayatnya mahukan pengamal gayong dan silat umumnya berfizikal gagah, agar menimbulkan gerun di mata musuh negara. Dan kalau kita lihat di Jepun sendiri, semakin tinggi 'dan', semakin mereka menjaga fizikal mereka. Tak bagi malu pada 'dan' yang disandang katanya.

Maka, kawan menyeru warga Lian Padukan. Sentiasalah berlatih, dan bersenam. Ada riwayat yang Allah lebih sayangkan hambaNya yang sihat dan kuat. Yakinlah, kita memerlukan umat Islam yang gagah luaran dan dalaman untuk menghadapi masa depan. Siap sedialah dengan segala kemampuan yang kita ada.

No comments:

Post a Comment