Sunday 16 February 2014

MEMAHAMI LIAN 2.0 - MENCERAKINKAN LIAN

Kita ke maksud perkataan 'cerakin' terlebih dahulu. Cerakin - mengikut daftar Pusat Rujukan Persuratan Melayu - membawa maksud menghuraikan sesuatu bahan kepada bahagian -bahagian, menceraikan, melakukan penyelidikan pada sesuatu dan lain-lain makna lagi.

Dalam Matematik Tahun 4, cerakinkan nombor diajarkan di awal silibus mengikut KSSR. Nombor dicerakinkan mengikut nilai digit dan nilai tempat. Boleh refer buku anak-anak yang darjah 4 kalau mahu. Nanti meleret pulak jadinya.

Bagaimana pula mahu mencerakinkan lian? Melalui kefahaman.

Sebagai contoh, kita ke Lian 3 mengikut silibus Lian Padukan, iaitu Lian Singkap. Kawan sukakan lian ini kerana mudah untuk menerangkan buah-buah yang boleh diterbitkan dari lian ini. Dalam sesi aplikasi, kita diajar mengaplikasikan lian mengikut gerak yang sudah dibakukan, mengikut kehendak lian tersebut. Namun, cuba kita pecahkan lian tersebut 'part by part', maka akan terbitlah buah-buah yang sangat ringkas dan mampu dikembangkan mengikut kemahiran kita. Contohnya, perbuatan singkap dalam Lian 3 cukup memadai dan bertepatan pula dengan petua silat 'makan gerak' dan 'selak daun petik buah'. Kawan sendiri menerbitkan kaedah '4 tingkap' hanya dari gabungan perbuatan singkap dan cengkadak.

Itulah peri pentingnya memahami lian, mendalami lian, mengkaji lian dan melatih lian. Tidak lain, untuk kegunaan kita juga. Pun begitu, walaupun buah-buah boleh diproses dan diasingkan dari lian, lian wajib dilatih kerana gerak utama dalam lian adalah 'ibu' kepada pergerakan kita memukul dan mempertahankan diri.

Bak kata Ayahanda Haji Hasyim, 'pergerakan pada kaki, perbuatan pada tangan'. Bab ini, latihannya ada dalam lian. Ramai juga sebenarnya hanya melekat di peringkat jurus, belum sampai ke lian dah cabut, sebab beranggapan dengan jurus sahaja sudah cukup untuk menjadi jagoan jalanan. Sayang, belum pun menggapai bintang, sudah berpuas hati lena berselimutkan awan...

Apa pun, ini pandangan peribadi kawan, sepanjang secebis pengalaman kawan bergelanggang di Lian Padukan. Mungkin kefahaman kawan berbeza dengan rakan pelatih yang lain. Maka, apa -apa pun, rujuklah guru gelanggang berdekatan.

No comments:

Post a Comment