Wednesday 22 January 2014

MENILAI KEBERKESANAN 1.0


Apabila menyentuh berkenaan seni beladiri, antara isu yang selalu dibahaskan di forum-forum online, di kedai-kedai kopi, di gelanggang dan di mana – mana sahaja, adalah KEBERKESANAN.
Keberkesanan juga boleh dimaknakan sebagai kemenjadian dan kebolehbergantungan (dependable), samada dari segi jenis beladiri, teknik, praktikaliti dan logikaliti.

Persoalan berkenaan keberkesanan sesuatu beladiri atau teknik diperdebat dan dipersoalkan atas beberapa sebab dan medium, dan kawan nukilkan hanya beberapa iaitu:

1.       Ego pengamal sesebuah beladiri
2.       Pengalaman on field pengamal (pertandingan atau jalanan)
3.       Perkongsian (melalui seminar atau cross training)
4.       Kajian

EGO PENGAMAL

Ini adalah faktor besar, jika bukan utama, sesebuah beladiri atau teknik beladiri diperdebatkan. Ego wujud dari ketakjuban dan ketaksuban seseorang penuntut terhadap aliran yang dipelajari. Minda ‘’silat aku yang terbaik’’ adalah ‘booster’ bagi maraknya api keegoan. Mengkritik corak perguruan lain, menafikan keaslian perguruan lain, menidakkan keberkesanan sesebuah teknik tanpa kajian teliti dan lain-lain lagi kudis menambahkan lagi parah kurap keegoan ini.

Antara aliran yang sering menjadi mangsa keegoan sesebuah aliran ialah muay thai dan taekwondo. “Silat aku, setakat taekwondo duk main tendang tinggi tu, mudah-mudah je nak makan. Petik je teluq dia” dan “Tomoi? Depa memang keras, tapi kita boleh main lagi dengan depa. Guru kita pun pernah tumbangkan champion depa” adalah antara ayat klise yang menghukum pengamal kedua-dua aliran tersebut sebelum diuji di medan. Kedua-dua aliran tersebut sering menjadi penanda aras ‘kehebatan’ sesebuah aliran kerana ramainya (taekwondo) dan kerasnya (muay thai) aliran-aliran tersebut.

Apa pun, secara peribadi, gurulah punca sesebuah keegoan. Dalam mempertikaikan keberkesanan sesebuah beladiri, guru lupa menerapkan akhlak dan keterbukaan minda kepada penuntut.

PENGALAMAN ON FIELD
Pengalaman adalah guru terbaik. Betul. Tidak dapat dinafikan, manusia belajar terlalu banyak dari pengalaman hidup, dalam apa jua bidang sekalipun. Bayi perlu belajar merasa jatuh beberapa kali sebelum merasa nikmatnya berdiri dan tersadung beberapa kali sebelum merasa nikmatnya berjalan dan tersungkur beberapa kali sebelum merasa nikmatnya berlari.
Dalam hal beladiri, begitu juga. Terdapat pengamal yang tegar sanggup menyudi lain-lain perguruan hanya untuk membuktikan sendiri apa yang dipelajari adalah berkesan. Ego masih menyeliputi di sini. Menjatuhkan lawan lain aliran adalah sebuah kebanggaan dan perakuan yang aliran dianuti adalah terbaik. Turut biasa dilihat di pertandingan.

Ada juga kes sebenar, sesebuah aliran diuji keberkesanan. Cubaan ragut, rompak atau rogol dipatahkan melalui teknik beladiri yang dipelajari. Di sini, nilai sebenar BELADIRI menonjol keluar, iaitu digunakan pada keadaan yang mendesak. Dan di sini juga keberkesanan sesebuah aliran dipersoalkan, apabila seseorang yang mempelajari beladiri gagal memanfaatkan ilmu sebaiknya dan menjadi mangsa.

Bersambung…

No comments:

Post a Comment