Monday 6 January 2014

MEMAHAMI LIAN - BUAH APLIKASI DAN BUAH KEFAHAMAN

Pertama sekali, kemunculan blog ini adalah kesinambungan kepada blog http://titikperisai.blogspot.com yang kawan kehilangan passwordnya. InsyaAllah, kawan akan usahakan secara aktif menyumbangkan tulisan berkenaan seni beladiri, Lian Padukan khususnya.

Sebagai permulaan, kawan membawa pembaca ke sebuah tajuk iaitu 'Memahami Lian'. Andai ada kekurangan, minta berilah pandangan memandangkan kawan masih mentah dalam arena buah pukul. Kawan juga menulis dari konteks Lian Padukan yang kawan pelajari, dan sebarang perbezaan pendapat sama-samalah kita raikan dengan hati terbuka dan berlapang dada, insya Allah..

MEMAHAMI LIAN

Pelbagai makna boleh diberi dalam memahami Lian.  Lian boleh disimilarkan dengan pattern dalam taekwando, kata dalam karate atau belebat dalam silat, malah ada juga aliran silat menamakannya sebagai kawad jurus. Juga boleh disamakan dengan bunga silat. Akan ada yang mengatakan permainan lian atau buah pukul tidak ada bunga tari, namun sebagai peminat silat, kawan ada hujah berdasarkan pengalaman dan perkongsian dengan guru-guru silat dan buah pukul, terutama dari Ayahanda Haji Hashim Salleh.

Mengikut kefahaman kawan, Lian adalah himpunan pergerakan dan buah-buah pukul yang di ‘pre-arrange’kan untuk tujuan latihan dan ingatan. Setiap pola pergerakan, langkah, buah yang dihimpun adalah bersesuaian berdasarkan situasi. Sebagai contoh, perbuatan gelek dalam lian menepati petua ‘tumpang kederat’ yang banyak dipakai dalam permainan silat.

Lian juga tidak lain adalah kesepaduan anggota senjata lapan bergayang lima berlandaskan rukun-rukun, petua dan rahsia pukul.

Namun, adakah dengan sekadar menghafal lian, penuntut boleh memahami tujuan dan kegunaan Lian?

Jawapannya samalah dengan menghafal F=ma. Sekadar dihafal, tahukah murid apakah maksud F, m dan a? Fahamkah murid akan aplikasinya? Tidak. Pastilah hanya dengan penerangan oleh guru dan latihan yang berterusan, murid mampu mengaplikasikan formula tersebut dalam soalan-soalan yang berlandaskan 'Daya'.

Begitu juga Lian. Lian adalah formula sebenarnya, supaya pelatih-pelatih mampu berlatih sendiri atau berpasangan untuk memantapkan kemahiran dan kefahaman Lian.

Bagaimana pula cara mengaplikasian Lian dalam situasi sebenar? Soalan yang sama juga ditanyakan pada semua seni beladiri yang terdapat di dunia, bagaimana menilai keberkesanan dan keampuhan sesuatu senibeladiri atau teknik beladiri apabila berhadapan situasi sebenar. Belajar bertahun bagai nak rak, bila terpaksa, koboi juga keluarnya.

Dalam silibus Lian Padukan, diperincikan oleh guru-guru kepada 2 bahagian, iaitu buah aplikasi dan buah kefahaman. Buah aplikasi Lian menuntut pelatih menggayakan Lian secara berpasangan mengikut kehendak Lian yang dipelajari. Sebagai contoh, Lian 1 (Lian Selak Panjang). Apabila berlatih, pelatih yang menyerang akan menggayakan pergerakan gelek 2 belah dalam menyambut lapis-lapis yang dibuat oleh pelatih yang menyambut serangan (konsep mendulu-menunggu). Ini merupakan suatu bentuk 'pre-arranged sparring' dalam menguji pengetahuan pelatih mengaplikasikan bentuk Lian yang dipelajari.

Setelah pelatih mahir dengan buah aplikasi, pelatih akan diuji pula dengan buah-buah kefahaman Lian yang mampu menerbitkan pelbagai buah (mengikut kreativiti) berlandaskan Lian yang dimahiri. Jika sebelum ini pelatih bergelek 2 belah semasa berlatih untuk mengikut bentuk Lian, dalam situasi sebenar pelatih mungkin hanya perlu bergelek sebelah sahaja dalam melapis pukulan, sekadar mengalih atau menumpang kederat musuh sebelum memukul musuh bertalu-talu dengan buah-buah jurus. Di sinilah nampak ke'koboi'annya, namun koboi yang berseni dan berpetua. Bentuk Lian sudah tidak 'berbentuk' lagi.

Jadi, apa perlunya belajar gelek 2 belah, kiri kanan? Gelek sebelah kan dah cukup?

Dalam Lian Padukan, apabila menyebut istilah "Senjata Lapan", ini bermakna kesemua anggota senjata - kanan dan kiri - hendaklah dilatih. WAJIB dilatih. Maka, untuk membiasakan kesemua senjata tangkas bertindak, semuanya hendaklah dilatih tanpa tapi-tapi. Contohnya, dalam Jurus Perdana, adakah anggota kanan sahaja yang 'pergi'? Mahu pergi bertalu-talu, biarlah semua senjata dilatih bersama.

Mungkin Lian Padukan berbeza dari lain-lain aliran, dan mungkin juga kefahaman kawan menghuraikan berbeza dengan rakan-rakan sealiran. Apa pun, semuanya ilmu Allah. Sama-samalah kita kongsikan..








No comments:

Post a Comment