Monday 13 January 2014

MUHAMMAD

Allahumma solli ala Saidina Muhammad wa ala alihi wasahbihi ajmain

Pertama sekali, sama-samalah kita memanjatkan kesyukuran dilahirkan ke dunia sebagai umat RasulAllah s.a.w..

Berjasanya ibu ayah dan guru kita, lebih berjasa lagi RasulAllah s.a.w kepada kita..

Bayangkan, sebesar-besar rahmat Allah s.w.t kepada alam ialah dengan kelahiran Muhammad s.a.w. Maka berselawatlah sebanyak-banyaknya, sedangkan Allah s.w.t dan para malaikat berselawat kepadanya.

Selawat juga adalah kunci kepada segala amalan dan doa. Sombongnya kita jika berdoa, tidak disebut nama RasulAllah s.a.w. sedangkan Islamnya kita datangnya dari baginda..

Sebagai pengamal buah pukul, Islam, tidak ada lagi pendekar, pahlawan, pendeta, mahaguru, guru yang lebih terbilang, lebih handal, lebih sempurna, lebih segala-galanya melebihi baginda nabi. Bagindalah gedung segala ilmu. SEGALA ILMU. Maka berselawatlah kepada baginda, kerana sepatah bismillah yang guru dan ibu ayah ajarkan kepada kita adalah bersusurgalur hingga ke baginda.

Jiwailah kisahnya, keperibadiannya, kecantikan akhlaknya. Ya, dewasa ini, kita mengaku memperjuangkan ajaran nabi. Namun sayangnya, kita menipu. Perjuangan banyak dari kita hanyalah berlandaskan emosi dan ikut ikutan. Berani hanya kerana kita ramai, sedangkan nabi dulu perjuangannya bermula dalam keadaan terasing. Lihatlah kita sekarang, ramai pun hanya seperti buih di lautan...

Kita lupa barangkali, dakwah nabi adalah bersenjatakan akhlak. Lebih ramai yang mentauhidkan Allah hanya dengan jalan akhlak yang dicontohkan nabi dan para sahabat, melebihi jalan perang.

Lihatlah kemelut kini, contohnya polemik 'kalimah'. Memang benar, kaum kafir tidak akan pernah senang dengan kebenaran. Mereka akan cari jalan untuk membawa kita kepada kesesatan. Namun adakah dengan 'melawan 'dengan emosi' boleh menawan kebatilan? Muhammad dibaling najis, tetap dibalas dengan doa supaya hidayah diberi kepada yang tidak mengerti.

Benar kita wajib bersikap keras dengan kafir. Namun berteriak, bersorak, bukanlah kekerasan yang dituntut. Keras yakni tegas, bukan mengasah parang dan berselempang semata-mata. Masjid rumah Allah tempat yang patut dihadiri setiap hari, bukan medan mandi-mandi bersiap perang.

Kita belum punya akal yang sihat, kerana membiarkan amarah menguasai diri.

Sayang, sedangkan senjata akhlaklah warisan para nabi, tidak kita gunakan sebaik mungkin.

Lailaha illallah..muhammadurrasulullah...

Salam maulidurrasul..

No comments:

Post a Comment