Tuesday 7 January 2014

SENJATA






Terdapat pelbagai senjata dalam dunia senibeladiri. Senjata alam Melayu sahaja sudah terlalu banyak untuk dikaji dan dikenali seperti keris, kerambit, tumbuk lada, parang, tekpi, cindai, buku lima,...... banyak la.. Sesiapa yang ada kawan-kawan dari persilatan lain seperti Seni Silat Gayong Dato Meor Rahman, cuba tanya-tanya...

Senjata juga merupakan sebahagian daripada kebudayaan dan ketamadunan sesebuah bangsa. Umum mengetahui kehebatan Melayu dalam teknologi perlogaman dan persenjataan melalui penemuan dan tinggalan senjata api seperti lela rentaka, senapang pemuras dan banyak lagi. Penemuan-penemuan senjata seperti keris purba di Jepun umpamanya, membawa kita mengenang sejarah perhubungan alam Melayu dengan dunia timur jauh suatu masa dahulu.

Dalam tulisan ini, kawan ingin membawa pembaca ke skop penggunaan senjata dalam situasi sebenar. Dahulu, senjata merupakan kewajipan setiap individu. Lelaki gah dengan keris tersisip di pinggang. Wanita menyelitkan kerambit di sanggul rambut. Dengar juga cerita, gedebe di Kelantan sajak dengan kapak di belakang pinggang.

Namun, zaman berubah. Membawa dan menyimpan senjata-senjata tajam boleh mengundang padah undang-undang kepada yang membawanya. Maka, apa lagi pilihan kita? Adakah sebagai pengamal buah pukul, mengusung tekpi ke sana sini itu perkara biasa pada mata khalayak?

Itulah pentingnya kreativiti dan kebolehan membuat keputusan dengan tepat. Tambah lagi, silat memang terkenal dengan tipu helah dan kreativiti yang diakui dunia. 

Dalam situasi sebenar, apa yang ada di sekeliling kita boleh dijadikan senjata, bersesuaian juga dengan tugas harian kita. Contohnya, penjawat berkolar seperti guru, doktor, peon, atau apa-apa sahaja kerja yang memakai tali leher, boleh menggunakannya dengan kaedah senjata fleksibel seperti cindai atau dalam Lian Padukan, aplikasikan Lian Tasbih. Begitu juga wanita bertudung. Selain tudung sebagai pakaian menutup aurat, tudung juga senjata ampuh berkaedah cindai jika tahu menggunakannya. Cuma kalau tudung Fareeda, tak tau la kawan. Itu dah kira 'senjata menggoda'...

Bagi golongan pendidik pula, pen marker boleh dijadikan senjata berkaedah kayu / besi sejengkal. Dalam Lian Padukan, kawan sudah melihat Cikgu Azhar Kapar menggunakan kayu urut yang panjangnya sejengkal sebagai senjata dengan diaplikasikan bersama jurus 1. Kreatif.

Kawan sendiri, ke mana-mana pun bawa pen. Isteri kawan pun kawan nasihatkan sentiasa bawa pen untuk setidak-tidaknya menjaga diri bila situasi memerlukan. Dalam kereta, lock steering wajib ada. Kunci lock steering sentiasa dipegang, siap siaga cega curiga jika bala mendatang tiba-tiba.

Dan senjata paling wajib bagi kita umat Islam - DOA. Sayanglah, Rasulullah dah ajarkan 'senjata-senjata mukmin' yang ampuh lagi sangat-sangat boleh diandalkan, tapi tidak pula mahu kita gunakan. Tambahan lagi, hormat-menghormati dan menjaga tutur kata itu juga 'senjata' kita dari dimusuhi.








No comments:

Post a Comment