Monday 17 March 2014

BENIH YANG BAIK, MEMERLUKAN TANAH YANG BAIK



KALAU ASAL BENIH YANG BAIK


Suatu malam, ketika belajar silat di rumah Tuan Haji Jamaluddin Shahdan, beliau berkata kepada kami;


"Silat ini ibarat suatu benih yang baik, kalau kita semaikan di atas tanah yang baik, dan dijaga dengan baik, cukup dengan air dan bajanya, maka ia akan bercambah, bertunas, membesar dan menghasilkan bunga dan buah2an yang baik juga". 


Mari kita renungkan sedalam2nya, sekiranya silat itu adalah benih yang baik, maka tanah itu adalah diri kita. Baja dan air, adalah usaha dan latihan kita. Sejauh mana berkesannya silat itu, adalah buahnya (hasilnya).

Maka tanyakan pada diri kita, adakah aku tanah yang baik itu? Tanyakan pada diri kita, adakah betul cara aku menyiram dan membajai pohon itu? Adakah mencukupi air dan baja itu? Jika jawapannya adalah tidak, usah kita tanyakan mengapa kita tidak mendapat hasil yang baik itu.. Ia bukanlah soal baik atau tidaknya benih itu, tapi ia soal cara dan sikap kita semasa menjaga pohon itu..

MAKA JANGAN PERSOALKAN SAMA ADA SILAT MELAYU ITU BAGUS ATAU TIDAK. TAPI PERSOALKAN DIRI ANDA, BAGUS ATAU TIDAKNYA ANDA MENGAMALKAN ILMU TERSEBUT ~


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Petikan di atas kawan ambil dari page FB Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid. Seriously, kawan sangat-sangat terkesan dengan butir status di atas.

Aki Jamaluddin Sendeng Haji Hamid bukanlah nama kecil anak di persada persilatan tanah air, bahkan sudah pun mendunia. Sungguhpun kawan beraliran Lian Padukan, namun kekaguman kawan pada beliau tidaklah dapat ditahan-tahan. Teringin sangat bertemu, bersalam emas sepuluh dengan guru sekaliber ini.

Perkara yang ingin kawan kongsikan ialah 'benih'. Ya, silat (atau apa jenis beladiri) adalah suatu 'benih' yang sudah pun dicambahkan dengan molek oleh guru-guru kita. Namun, kitalah, yakni jasad 'bertanah' ini, adakah mampu menyemai 'benih' sebaik itu?

Dalam alam buah pukul, terlalu banyak dakwa-dakwi, hentam-menghentam dan pangkah-memangkah yang berlaku terhadap aliran-aliran yang pelbagai, walaupun akarnya sama. Soal keaslian, pertikaian nukil dan sanad, rahsia dan 'rahsia', salah faham dan lain faham, sembang deras dan lain-lain lagi mewarnai kanvas warga buah pukul dengan tidak berapa mole sekali. Sudah-sudahlah..

Buah pukul itu adalah benih yang mencari tanah untuk disemaikan. Kenapa tidak kita menyiapkan jasad kita supaya menjadi tanah yang mengembangbiakkan (menyebarkan) benih itu dengan subur sekali. Di hujungnya, kita mahukan buah yang lazat dan mampu memberi kenyang (manfaat) kepada semua. Kalau benih itu asyik 'oh, ini rahsia', 'aliran kau tak asli, hanya kulit tidak isi', dan 'permainan ini hak kami' sahaja, membusuklah benih itu tanpa sempat disemai dan disebarkan atau diwariskan.

Bab 'isi kulit' ini pun banyak sangat ceritanya. Baiklah, kalau nak sangat tahu apa 'isi'nya Lian Padukan, ini kawan nak ceritakan. Isi bagi Lian Padukan terkandung dalam PADUKAN itu sendiri, seperti yang dihakikatkan oleh Mufti Johor ketika diasaskan nama tersebut, iaitu Dato Haji Ahmad bin Awang - Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Anda. Ayahanda Haji Hasyim pula menyebut Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Anda Nanti.

Lian Padukan hanyalah salah satu ikhtiar kita dalam mempertahankan diri sekiranya situasi memerlukan. Allah juga yang menggerakkan kita, atau memenangkan kita. Kalaupun kita tumpas, Allah sudah maktubkannya sejak azali lagi. Itu datangnya 'serah', yakni serah diri selayaknya pada jagaan Allah. Sebagai umat Islam, apa lagi yang kita mahukan selain pengawasan Allah...

Maka, jagalah 'benih' yang kita perolehi sebaik mungkin. 'Benih' itu boleh jadi apa-apa nama, apa-apa aliran. Yang penting, kita siapkan 'tanah' yang baik untuk disemaikan. Murid-murid juga adalah 'tanah' untuk disemaikan 'benih' tersebut. Kalau 'tanah' itu asyik didendangkan dengan 'kitalah yang terbaik', 'kitalah yang terhebat', 'nak jadi otai belajarlah buah pukul. Kalau nak berjoget, belajarlah silat' dan lain-lain yang tak enak didengar, jadilah 'tanah' itu tandus dan kontang dari menyuburkan benih. 

'Tanah' kontang, nak tanam apa? Macam mana nak dapat 'buah' (manfaat)?




No comments:

Post a Comment