Saturday 8 March 2014

MOTIVASI UNTUK KONSISTENSI BERGELANGGANG


Rembat tanpa belas kasihan dari fesbuk 

Alhamdulillah, keahlian di gelanggang induk dewasa ini bertambah. Di sebalik pelbagai tohmahan dan kontroversi, Lian Padukan kian berkembang.

Bagi penuntut baru, kawan ucapkan selamat datang. Semoga semangat kalian tidak mudah luntur dan sentiasa sihat dan berkelapangan untuk ke gelanggang.

Baiklah, mari kita bualkan berkenaan motivasi untuk konsistensi bergelanggang. Motivasi secara umumnya ialah matlamat atau tujuan yang memangkin kesungguhan untuk mencapai sesuatu. Konsistensi pula ialah berterusan atau istiqamah dalam melakukan sesuatu. Dalam Islam sendiri, kita dianjuran istiqamah dalam melakukan sesuatu ibadat atau pekerjaan yang bermanfaat. Dalam bab mengamal pun, biar istiqamah walaupun berdikit-dikit. Kita orang buah pukul juga selalu dicanangkan dengan mutiara kata ‘biar sedikit, selalu diamal, boleh dibuat haikal, dari banyak selalu tertinggal.’

Maka, dalam Lian Padukan juga, untuk mencapai kemahiran dan kefahaman yang diinginkan, kita hendaklah istiqamah hadir ke gelanggang latihan. Secara umumnya, setiap insan adalah unik dan tersendiri perkembangannya dan dalam dunia pendidikan sendiri ada diistilahkan dengan ‘kecerdasan pelbagai’ (multiple intelligences). Tahap penguasaan seseorang penuntut berbeza dengan penuntut yang lain. Bagi yang tahu tahap diri, kekerapan hadir ke gelanggang mampu membantu peningkatan kendiri dalam berLian Padukan. Bagi yang cepat mahir, kekerapan hadir ke gelanggang menambahkan lagi ketajaman skill yang diperlukan.

Untuk memastikan konsistensi hadir ke gelanggang terpelihara, kita hendaklah setkan motivasi-motivasi tertentu. Pertama sekali, niat. Tentukan niat kita sedari hari pertama ke gelanggang. Nak jadi hero ke, nak jadi pejuang agama ke, nak sihat atau kurus ke, nak jadi orang handal dan gedebe ke, nak jadi gurulatih dan pelestari seni warisan bangsa, nak berkawan-kawan atau lain-lain yang ‘lillahi taala’. Niat sangat penting kerana itu juga adalah ‘roh’ bagi setiap perbuatan kita. Niat lillahi taala bagi perkara yang membawa kebaikan sudah dikira ibadah di sisi Allah s.w.t.

Ketika di gelanggang, cuba enjoy dan hayati setiap pengisian silibus dan latihan. Selalunya, orang yang enjoy dengan apa yang dilakukan akan membuahkan kepuasan yang bukan kepalang. Hadirkan enjoy ketika menitik tangan kawan, dan enjoy apabila dititik kawan. Ikhlaskan hati apabila diseberang rakan, semoga jatuhnya kita itu membawa kefahaman kepada rakan sepelatihan. Enjoykan diri melaksanakan setiap senaman dan pelampas, walaupun memenat dan menyakitkan, hasilnya tetap ada untuk kita banggakan.

Memang akan ada pelbagai kekangan yang menghalang seperti kesihatan, masa kerja, kematian, kemalangan, majlis-majlis, keadaan cuaca dan sebagainya. Jika tidak dapat hadir ke gelanggang, paling tidak hantarlah mesej untuk memaklumkan kepada guru gelanggang.

Secara peribadi, perkara yang memotivasikan kawan untuk ke gelanggang ialah ‘kejahilan’ kawan dalam bab bertumbuk dan kemusykilan kawan dalam persoalan kehidupan. Maka, tempat terbaik untuk kawan ajukan setiap soalan adalah di gelanggang. Ayahanda Haji Hasyim seperti yang kita kenali, tidak pernah jemu melayan kedatangan murid mahupun tetamu luar ke rumahnya. Kalau bersembang bab ilmu, boleh dilayannya penuntut atau tetamu sehingga ke azan subuh berkumandang.  Sebab itu, sebelum ke gelanggang, kawan usahakan diri mencari soalan-soalan samada berkaitan persilatan atau kehidupan supaya ada modal untuk dirujuk kepada Ayahanda. Catat siap-siap soalan yang nak ditanya dalam buku catatan. Seeloknya buku lah, berbanding gajet-gajet. Lebih sentimental dan bersungguh-sungguh. Bila dibaca balik setiap catatan pada waktu-waktu lain, setidak-tidaknya menyalakan semangat untuk berlian. Secara peribadi, walaupun berjauhan dengan gelanggang, buku catatan peribadi Lian Padukan sentiasa kawan belek untuk tujuan ingatan dan kefahaman. Contohnya, kadang-kala kawan lupa perkara yang pernah dibincangkan dengan Ayahanda berkenaan ‘Hikayat 1001 Penumbuk’, maka catatan-catatan (bertarikh) itu banyak membantu. Bagi sesiapa yang mahu bertandang ke rumah Abang Din Gondrong, dengan adab yang betul, cuba-cubalah kecek nak tengok buku catatan beliau. Pasti bermotivasi nak menulis selepas itu. Kalau kita tengok pun, orang dulu-dulu dah lama membudayakan mencatat ilmu seperti ini, seperti yang dicontohkan oleh Allahyarham Pak Sani Abu Samah (al-fatihah) yang menghasilkan ‘Buku Nukil’ yang menerangkan segala hal tentang bertumbuk dan rahsia-rahsia nukil.

Motivasi boleh jadi dalam pelbagai bentuk. Paling penting, istiqamah dalam perbuatan. Hadirlah kerap-kerap ke gelanggang pada waktu kelas. InsyaAllah, kita dapat apa yang kita hajati, dengan didahului doa. Paling tidak, kita berpeluh wajib secara berkala. Banyak kajian mengatakan senaman secara berkala mingguan mampu menyumbang kesihatan berpanjangan. Kehadiran yang konsisten juga menunjukkan kekuatan semangat penuntut untuk berjaya dalam Lian Padukan.

Apa pula ukuran kejayaan dalam Lian Padukan? Hadirlah secara istiqamah ke gelanggang, mana-mana gelanggang sekalipun. InsyaAllah, sama-sama kita beroleh jawapan.


No comments:

Post a Comment