Wednesday 30 April 2014

SENJATA 2.0 : KEPENTINGAN MEMPELAJARI SENJATA

Ni kawan ambik petikan kata-kata Ayahanda Guru Zainal Abidin Sheikh Awab yang terbentang di laman fesbuk beliau,

"Teringat masa lalu, nasihat dari Guru yang berpesan selalulah berbaik berpasang bermain dengan senjata tak kira mana pun. Lagipun bersaing  dengan senjata tidak akan mengecewakan kita, kadang kala bersaing (berkawan) dengan manusia mendatangkan dukacita dan pendustaan seperti sikap kita yang kadang-kadang suka dan asyik menipu diri sendiri".

Sebelum berLian Padukan lagi, kawan sudah memiliki buku tulisan Pakcik  Zainal dan Nigel Sutton yang bertajuk Silat Tua : The Malay Dance of Life. Untuk pengetahuan, Nigel Sutton merupakan salah seorang murid Lian Padukan bimbingan Ayahanda Haji Hasyim.

Dari tulisan pakcik, dapat kita buat hipotesis awal pentingnya memahiri ilmu persenjataan, terutamanya senjata alam Melayu. Mesrakan tubuh kita, anggota kita dengan senjata. Rasa sedapnya berat dan pegangan senjata. Rasakan sensasinya apabila senjata berlaga. Ada sebabnya.

Pertama, senjata - ikut faham kawan - adalah 'extended or additional limb' pada tubuh badan kita. Maka, sebagaimana senjata lapan kita, 'anggota' tambahan kita juga perlu dilatih untuk memastikan kita tidak tualu menggunakannya. Kita mungkin biasa bertumbuk tanpa senjata, namun apabila situasi memerlukan kita menggapai senjata, dengan latihan yang betul dan berterusan, kita tidak teragak-agak menggunakannya. Sebagai contoh, kawan cipta sebuah senario, kita dikepung musuh yang agak ramai dan memustahikan diri kita menyelamatkan diri sekadar bertangan kosong. Nak jadi cerita, ada batang mop di lokasi tersebut. Dengan mencapai batang mop tersebut, dan sedikit ilmu Lian Tembung (rujuk Ayahanda Haji Hasyim), sedikit keyakinan 'level up' dalam diri kita untuk berhadapan musuh (macam main game pulak).  Kenal Jackie Chan, Bapa Filem Aksi Sedunia? Kreativitinya menjana segala apa di sekitar sebagai senjata, wajar kita pelajari.

Mempelajari dan melatih senjata juga sangat penting supaya kita mahir mengendalikan senjata mengena sasaran. Ada orang cakap, seorang guru silat pulak tu, buat apa nak belajar main senjata. Capai, guna je terus. Takkan nak pegang parang, nak hayun parang pun kena belajar. Entahla, tapi kawan kompem-kompem tak setuju dengan kenyataan tersebut. Sungguhpun parang adalah peralatan harian, namun tanpa latihan dan ilmu yang betul, bukan mudah untuk dikendalikan tanpa kefahaman. Tanpa mengetahui sasaran-sasaran parang, arah serangan parang, sifat menyerang parang, bagaimana mahu menetak sasaran yang bergerak. Wajib install dalam kepala, musuh yang dihadapi bukan kosong.

Waima kita berilmu tangan kosong, senjata wajib kita pelajari. Mengenali senjata membantu kita memahami sifat serangan senjata, seperti perenggan di atas. Contohnya, parang. Parang, serangan utamanya adalah menetak, memandangkan saiz dan beratnya. Jadi, dengan mengetahui pattern serangan parang, kita mampu menghindar serangan parang, atau setidak-tidak mendulu serangan parang, sebelum serangan tersebut siap 'berumah'. Kalau pun waktu diserang, teknik yang terlintas di jasad kita adalah 'singkap', kita perlu tahu 'timing' dan sasaran yang hendak di singkap (petua ukur dan jangka). Salah 'timing' sebab tak berlatih, putus tangan kita.

Mempelajari senjata juga menambah jati diri dan semangat kepahlawanan dalam diri kita. Mempelajari keris, tongkat, selengan, buku lima, tekpi, kerambit, tumbuk lada, lawi ayam, rantai, cindai, dan lain-lain senjata alam Melayu membuatkan kita bangga dengan peradaban Melayu melalui ilmu logam Melayu dan sejarahnya. Banyak petua-petua bersenjata pada orang-orang lama yang masih terpelihara, menunggu pewaris seterusnya. Sayanglah kalau kita tidak mahu memeliharanya. Lihat sahaja kerambit, sudah pun mendunia, dipelajari skuad-skuad elit tentera seantero dunia. Buah pukul bangga dengan Lian Tekpinya, dan kita anak-anak Lian Padukan wajiblah bercita-cita memahiri tekpi sebaiknya.

Setakat ini kawan nukilkan bab senjata. Nanti takde modal pulak nak berbual untuk SENJATA 3.0


Sunday 27 April 2014

HORMAT

Untuk sekian kalinya, kawan tekankan bab hormat. Cuba kita baca tafsir ayat Al-Quran berikut,

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak  (dalam masa susah dan senang)" Surah Al-Ahzab ayat 21.

Apabila kita berborak berkenaan hormat, atau apa-apa jua sifat mahmudah, tidak dapat tidak, Rasulullah s.a.w lah tempat kita menyandarkan contoh seperti yang telah digarispandukan oleh Allah s.w.t. berdasarkan ayat di atas.

Allah s.w.t sudah terangkan lama dulu lagi, samada kita ambil tahu atau tidak, yang kalau kita mahukan keredhaan Allah s.w.t, dan masa depan di akhirat yang serba baik, Rasulullah s.a.w lah contoh ikutan yang paling utama.

Dan bagaimana relevannya perkara dia atas dengan kita-kita warga buah pukul?

Jawapannya: bukan semata-mata relevan, malah WAJIB!

Ilmu apa sekalipun yang kita tuntut, hatta ilmu bertumbuk sekalipun, keredhaan Allah s.w.t wajib kita raih. Sungguh, ilmu yang dituntut tidak lain dari ilmu dunia, namun dengan akal dan iman yang dianugerahkan pada kita, wajib kita menyingkap 'tabir' di sebalik ilmu buah pukul. Maka, apabila ilmu buah pukul ini sedikit sebanyak sebati dengan diri, sepatutnya keampuhan itu dijelmakan dengan sifat 'hormat'.

Ya, hormat. Hormat pada Allah s.w.t, hormat pada Rasulullah s.a.w, hormat  pada ibu bapa, guru dan semua di sekeliling kita. Tak dilupa, hormat pada diri sendiri.

Memang kedapatan ahli senibeladiri, di takat tertentu ilmunya, ego akan semakin membiak, menutupi langsung kerendahan hati dan ketinggian budi. Namun, kesilapan itu tidak boleh disandarkan pada ilmu yang dituntut, kerana mempelajari seni beladiri sebenarnya membawa kita mengenal potensi diri, dan 'mengenal' diri sendiri.

Di dunia ini, terlalu banyak senibeladiri yang tercipta, terlalu banyak untuk disenaraikan. Setiap seni itu unik lagi tersendiri, malah mempunyai kelebihan tersendiri. Hakikat itu sepatutnya kita terima dengan hati yang terbuka, kerana kepelbagaian ilmu itu sendiri adalah rahmat Ilahi.

Namun, yang terjadi adalah sebaliknya. Terdapat segelintir kita yang sewenang-wenang mempertikai keilmuan individu atau bangsa lain. Malah terlalu bermegah-megah dengan apa yang dimiliki. Lupa agaknya, kita manusia tak punya apa-apa pun, semuanya hak Allah Taala. Ilmu bergaduh dari guna batu (zaman Habil dan Qabil) hinggalah yang termoden dengan MMA, semuanya sudahpun ditakdirkan Allah.

Pernah kawan berbual-bual dengan orang lama (dan tua) yang sangat fasih bab persilatan, terutamanya silat pulut. Sikit sebanyak rahsia bertapak dan buah yang tersorok dalam tari silat pulut dirungkaikan pada kawan, yang alhamdulillah, sangat selari dengan apa yang ditunjukkan oleh Ayahanda Haji Hasyim. Buat warga Lian Padukan yang baru, rajin-rajinlah mengendeng untuk melihat Ayah bersilat pulut, dan mintak merasa buah-buah terbitan dari tari silat pulut. Mungkin semua dah tahu, yang Ayah juga boleh mengalunkan tari silat pulut yang dipelajarinya dari nendanya, ketika Ayah masih kecil lagi. Jangan tak tahu, silat pulut juga ada 'bisa'nya, 'sengat'nya. Sikit sebanyak, kefahaman ber'lian' turut bertambah dari sudut yang lebih bervariasi dan pelbagai.

Balik pada guru tua ni tadi. Katanya, biasanya kalau murid 'setengah masak' atau belum diperkenan pada mata guru, sembangnya melangit, bualnya deras dan hatinya keras, berbeza dengan murid yang dapat perkenan guru, nampak biasa-biasa sahaja, diamnya berisi, tenangnya bermakna. Ini kerana mereka sudah diisi dengan kefahaman yang 'tiada nyata segalanya melainkan Allah', 'qudrat iradat milik Allah', dan 'Innalillahi wa inna ilaihi raajiun'.

Apa pun, jangan pula disamakan sikap berlagak dengan bertegas. Berlagak ni, lain. Kosong. Ketegasan pula, biasanya diisi dengan ilmu, bagi mempertahankan maruah agama bangsa negara, keluarga, guru dan ilmu yang dituntut.

Makanya, kawan seru diri kawan dan seluruh warga Lian Padukan khususnya, tanamkanlah sifat hormat dalam diri sendiri. Percayalah, hormat menghormati membuatkan kita lebih dipandang tinggi. Tinggalkan segala perbalahan yang sia-sia, semata-mata mahu beraja di medan maya. Cerita kita pun sudah banyak meriwayatkan, yang semakin kita ditekan, semakin bertambah keahlian, semakin kuat semangat kekitaan.

Dan lebih penting, jadikan Rasulullah s.a.w dalam memupuk sifat hormat yang tinggi dalam diri. Sirah sudah membuktikan, ramai yang memeluk Islam kerana keindahan akhlak Baginda Nabi dan para sahabat r.a. Terbukti, akhlaklah 'senjata' paling ampuh dalam kehidupan dan perjuangan.

Sekian bebelan kawan buat masa ini. Terima kasih.

Lupa. Ayahanda Haji Hasyim khabarnya akan berangkat ke Australia bersama keluarga dalam beberapa hari, untuk menziarahi anakanda sulungnya yang melanjutkan pengajian master di sana. Sama-samalah kita doakan Ayah dan keluarga selamat pergi ke Australia dan selamat pulang ke Malaysia.




Monday 21 April 2014

MENILAI KEBERKESANAN 2.0

Kawan sambung tulisan yang tertangguh berkenaan menilai keberkesanan. Terus ke point.

PERKONGSIAN

Keberkesanan sesuatu teknik biasa juga dinilai apabila kita berbincang sesama teman sealiran atau berlainan aliran. Kadang-kala, sesuatu teknik yang menjadi silibus dalam sesebuah perguruan, merupakan teknik yang tidak bermanfaat bagi perguruan lain. Kadang-kala juga, sesuatu teknik dalam aliran yang dianuti dilihat tidak praktikal oleh pengamal, berdasarkam pengalaman on field pengamal, namun dilatih dan diajar juga kerana itu adalah silibus dalam perguruan.

Dewasa ini, kita boleh lihat keterbukaan ahli senibeladiri dalam medan perkongsian ilmu melalui medium yang pelbagai. Mungkin tempias MMA yang meningkat naik. Antara medan perkongsian ilmu ialah seminar dan perkumpulan seni budaya. Kita boleh lihat, dalam seminar, perkongsian berkenaan teknik sangat terbuka untuk dikaji dan dinilai. Seminar juga adalah salah satu langkah mudah bagi peminat senibeladiri yang kesuntukan masa untuk mempelajari teknik terpilih yang boleh diandalkan di jalanan. Antara yang paling aktif dalam persilatan tanah air menjalankan seminar terbuka ialah Ayahanda Pakcik Zainal Penang Silat Tua, Guru Wan Yusmar Silat Harimau Berantai dan lain-lain lagi. Lian Padukan juga pernah menganjurkan seminar yang disertai ahli senibeladiri pelbagai aliran seperti kursus Lian Tasbih dan aplikasi Lian Kipas Nandung, Kursus Belantali dan Rahsia Tangan Cengkadak serta Seminar Hikayat 1001 Penumbuk.

Medan perkongsian seperti ini memerlukan keterbukaan minda dan penerimaan peserta. Hormat menghormati juga membantu kelancaran perkongsian dalam mencari adunan teknik yang berkesan untuk beladiri.

KAJIAN

Sudah pun kawan kongsikan sedikit berkenaan r&d. Suka untuk kawan memetik kata-kata Guru Jak Othman, guru pakar persilatan dan persenjataan Melayu Tradisional yang terkenal seantero dunia. Beliau dalam temubual slot Mahaguru    dan dalam kolum tulisan beliau di SENIBELADIRI pernah menyifatkan bahawa ilmu persenjataan (atau pertarungan) merupakan 'sains'. Di sini kita faham yang bidang senibeladiri ini sentiasa terbuka untuk kajian dan penambahbaikan, berlandaskan petua-petua ampuh yang diturunkan zaman-berzaman. Maka kajian berkenaan teknik yang berkesan perlu diteruskan, agar pelatih dapat manfaat melalui kajian dan pembelajaran. Mungkin perlu ada sedikit kelonggaran bagi pelatih untuk mempelajari 1,2 teknik berkesan perguruan untuk dibawa sebagai bekalan, supaya boleh digunakan sebaik melangkah keluar dari gelanggang di hari pertama pembelajaran. Ingat, jenayah tidak menunggu mangsa handal dahulu.

Kajian juga perlu meliputi kes-kes yang selalu berlaku, senjata yang sering digunakan dan modus operandi penjenayah. Contohnya, samseng lorong- lorong sering tidak bersendiri apabila memeras ugut mangsa, dan bersenjata tajam, dalam keadaan mengelilingi mangsa atau merapatkan mangsa ke dinding, pada ketika mangsa berjalan bersendirian. Maka, keterhadan teknik sangat membantu, kerana dalam situasi merungcing, mangsa tidak perlu digelabahkan dengan ribuan teknik yang tak mampu terlaksana.


Apa-apa pun, nanti kawan sambung lagi.

Saturday 19 April 2014

MOTIVASI 2.0 : NAIK PERINGKAT

Alhamdulillah, gelanggang induk semakin aktif bergerak. Semakin aktif mencetak keahlian baru. Semakin sempit ruang berlatih. Semakin meriah. Bagi yang lain yang turut berminat, jemput-jemputlah menjengah gelanggang terdekat dengan tempat anda.

Seronok bila ramai-ramai mula pada sela masa yang lebih kurang sama, suasana berlatih menjadi lebih aktif, kerana sama-sama baru nak mengenal, sama-sama rasa dititik, sama-sama pecah peluh, sama-sama dipukul jatuh, dan lain-lain.

Latihan beberapa hari lepas di gelanggang induk menyaksikan beberapa pelatih naik peringkat. Yang sudah memahiri jurus, naik ke Lian 1. Yang memahiri Lian 1, naik ke Lian 2. Dan yang lebih senior, juga bergerak ke peringkat seterusnya. Apa pun, jadikan kenaikan peringkat ini sebagai batu loncatan untuk lebih bergerak maju dalam Lian Padukan. Motivasi untuk menggali lebih lagi keistimewaan permainan Lian Padukan.

Namun, harus diingat. Naiknya peringkat bukanlah segala-galanya dalam Lian Padukan. Itu hanyalah sekadar penguasaan silibus. Yang paling penting tak lain adalah kefahaman. Maka, jangan terlalu dikejar untuk naik peringkat. Bagi yang belum naik juga ke peringkat seterusnya, walaupun sudah agak lama bergelanggang, jangan merasa rendah hati atau tawar hati. Teruskan juga berlatih. Mungkin kita kurang kekemasan pergerakan, namun dari aspek kefahaman dan pelaksanaan buah, itu tak jadi hal bagi kita. Cumanya, kekemasan tetap perlu dipelihara kerana di suatu hari kelak, kita akan diamanahkan untuk meneruskan legasi persilatan Lian Padukan. Takkan nak turunkan pada pewaris seterusnya 'barang' yang tak siap, kan.

Bagi yang naik peringkat pula, itu adalah amanah Ayahanda Haji Hasyim dan gurulatih yang membimbing kita. Setidak-tidaknya, gurulatih nampak kemahiran, kekemasan dan kefahaman kita pada sesuatu jurus atau lian, dan boleh diharap untuk menjaga kemurniaan silibus tersebut, sebelum diandalkan dengan peringkat seterusnya. Maka, dalam pada kita mempelajari peringkat yang baru, jangan ditinggal melatih pelajaran-pelajaran sebelum itu, terutama peringkat jurus dan pelampas, kerana setinggi mana pun peringkat kita, yang asas itu jugalah pegangan kita. Gigitlah yang asas itu sekuat-kuatnya dengan gigi geraham.

Sedikit tips untuk mereka yang baru naik peringkat pertama Lian. Pertama, fahami maksud nama Lian tersebut, seperti Lian Peringkat Pertama dikenali sebagai Lian Gelek 2 Belah yang merangkumi Lian Selak Panjang, Lian Siku, Lian  Singkap dan Lian Tekan (Lian 4 ni banyak jugak versi nama, Lian Selak Pendek, Lian Kelek Anak. Jangan konpius, benda sama je).

Pelajari betul-betul kaedah bergelek, kaedah bertapak dan mengalih tapak, cara langkah masuk, postur badan dan lain-lain gerak kasar dan halus. Lian 1 ok sikit la, nanti Lian 2 pening tang seberang lepas siku, Lian 3 pulak pening tang singkap dan tarik singkap. Rilek, benda boleh belajar. Jangan kalut. Bila dah dapat, rajin-rajin praktis, samada sendiri, berkawan atau di hadapan guru. Kemaskan langkah lian, sebelum beralih ke buah. Namun ada jugak kes, pelatih faham buah dulu, baru kemas langkah lian. Sebelum main buah, dia tak nampak keperluan lian, tujuan lian dan bentuk lian yang dipelajari. Ni kinestetik punya orang, bukan visual. Takde masalah, guru boleh sesuaikan corak pengajaran.

Waktu di peringkat Lian juga, berjinak-jinaklah dengan petua-petua pukul. Rajin-rajin baca segala apa yang terpampang di dinding gelanggang induk. Sedar tak sedar, punya banyak pelajaran dan petua yang boleh didapati di situ. Rajin tak rajin je mulut nak bertanya. Dan seboleh mungkin, jangan ada rasa nak pandai sorang-sorang. Pandai biar berkawan. Dan nak lagi pandai, belajar biarlah rajin mencatat nota. Benda bukan mampu kita ingat semua. Kan rugi bila lupa.

Dan sudah semestinya, restu guru dan pelatih senior yang mendidik kita. Paling tidak, hormatilah yang lebih dulu mempelajarinya dari kita, walaupun di usia berbeza. Kita biasa lihat pelatih yang lebih berusia menunjukkan hormat  pada gurulatih semuda Cikgu Sham Avatar, Cikgu Bayam dan Cikgu Amirul serta lain-lain nama. Ingat, senjata kita sebenarnya adalah hormat. Hormat itulah juga perisai kita yang dihantar pada musuh. Macam 'senjata pada kita, perisai pada musuh' jugak lah kan.


Friday 18 April 2014

1 MINGGU 1 LIAN

Antara perkara terpenting yang perlu kita lakukan sebagai pelatih Lian Padukan ialah melakukan research and development (r&d). Dalam apa bidang sekalipun, r&d merupakan sesuatu yang sangat penting dalam memastikan kemajuan di bidang itu tercapai, tidak statik hanya pada suatu tempat atau keadaan sahaja. Lihat sahaja kehidupan kita hari ini, segala sesuatu dipermudahkan dengan adanya r&d daripada generasi terdahulu sebelum kita. Kereta yang sentiasa upgrade teknologinya, kediaman yang semakin selesa, dan lain-lain contoh yang boleh diambil intipatinya.

Bab bertumbuk juga begitu. Kita maklum, ilmu persilatan dan buah pukul terdahulu sudah pun membuktikan jasa kepada tanah air kita. Malah, pendekar-pendekar kita terdahulu melalui suatu zaman di mana bersenjata terselit di pinggang adalah dibolehkan, malah kewajipan sebagai anak jantan. Peperangan bersenjata adalah lumrah. Dan sudah semestinya, pengalaman-pengalaman tersebut melahirkan petua-petua yang sangat ampuh lagi berharga, hasil r&d yang mereka lakukan sewaktu bertarung hidup mati. Sudah tentu teknik terpilih sahaja yang mereka andalkan sewaktu perang, kan.

Buah pukul juga tidak terkecuali. Buah pukul sudah melalui suatu fasa yang agak panjang, hingga menerbitkan cabang permainan yang agak matang, berdasarkan pembawaan guru. Bab keaslian permainan, kawan kira biarlah mereka-mereka yang rasa mereka bawa aliran paling  asli sahaja yang bincangkan. Kawan takkan bermasa-masa bertikam lidah hal itu. Yang kawan tahu, Lian Padukan sudah pun 'asli' dalam bentuknya yang tersendiri, tanpa meninggalkan petua-petua dan rahsia-rahsia pukul sedari dahulu hingga kini. Ya, Lian Padukan memang di'claim' tidak asli, dan kami mengakui hakikat itu sedari hidupnya Allahyarham Mahaguru Pak Mat Kedidi, pengasas Lian Padukan. Namun, bagi yang terang hatinya, masak pengalamannya dan berfikiran terbuka, boleh melihat keaslian petua-petua dan rahsia-rahsia buah pukul masih lagi Lian Padukan pertahankan. Kita tidak lari dari landasan '2 gerak 3 ruat', 'senjata lapan gayang lima', 'rukun pukul', 'senjata pada kita, perisai pada musuh', 'hendak mengena tak nak kena', dan lain-lain lagi. Kalau dibawa berbincang, kita akan jumpa titik pertemuan, walaupun berbeza aliran, kerana kita sedarah sedaging dalam membawa permainan tinggalan Syed Abdul Rahman Al-Yunani, Dato Awang Daik dan Pak Long Mat Yassin.

Apa pun, berkenaan r&d, kawan menyeru diri kawan sendiri supaya tidak putus berguru dan berlatih agar lebih memahami pelajaran Lian Padukan. Maka, inisiatif kawan, kawan khususkan 1 minggu mengkaji dan melatih 1 lian (bagi yang di peringkat jurus, fokus pada jurus). Benar kita bergelanggang, setidak-tidaknya sekali seminggu, namun di waktu-waktu lain yang senggang, isi juga masa dengan berlatih. Apa-apa pun, dahulukan kewajipan beribadat wajib dan sunat.

Dalam tempoh itu, cuba dilatih sebanyak mungkin satu-satu pelajaran yang menjadi fokus kajian. Contohnya, Lian 1 atau Lian Selak Panjang. Kaji setiap perbuatan kasar dan halus dalam lian tersebut. Fahami punca dan sebab lian, tanyakan diri kenapa perlu sisip, kenapa perlu gelek. Catatkan dalam buku catatan peribadi. Mahirkan lian, kemaskan lian, sehingga gerak jadi sebati dengan jasad. Gerak tidak lagi diingat-ingat, bila diperlukan langsung ligat.

Bayangkan dalam seminggu, banyaknya kita ulang latih lian yang satu itu. Itu kalau seminggu. Kalau sebulan, setahun?

Kawan pernah baca, seorang karate master mendedikasikan 5 tahunnya hanya mengkaji 1 kata (kata atau pattern, atau lian bagi buah pukul atau pecah bagi sendeng). 5 tahun atau 10 tahun, kawan pun tak pasti. Tapi bayangkan, dedikasinya. Bayangkan juga kemahiran dan kefahamannya terhadap kata yang satu itu.

Ya, kita ada 16 lian dalam silibus Lian Padukan sebelum khatam, belum campur lian-lian asing lagi. Mempelajari semua silibus adalah kewajipan kita selaku pencinta Lian Padukan, namun tak salah kalau kita perincikan pada satu pelajaran untuk kita andalkan. Kawan pulak, sayang pada semua pelajaran lian, yang sempat dan masih kawan pelajari dari Ayahanda Haji Hasyim. Sebab tu kawan buat 1 Minggu 1 Lian. Tapi ada 1 Lian yang kawan sungguh-sungguh fokuskan untuk jadi andalan kawan. Lian apa, itu kawan tak nak ceritakan.

Apa pun, teruslah mengkaji dan mengaji (berguru).

Saturday 12 April 2014

KEPENTINGAN PENERIMAAN, PENGIJAZAHAN DAN KEREDHAAN GURU

Dalam menuntut ilmu apa sekalipun, perkara terpenting perlu diberi penekanan ialah hubungan antara guru dan murid. Sebagai murid yang mahukan ilmu dari seseorang guru, tanpa adab dan tertib yang betul, ilmu yang diperolehi tidak membawa erti.

Dalam Islam sendiri, konsep menjaga hubungan guru dan murid mendapat tempat dalam institusi pendidikan Islam. Hal ini sudah dicontohkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagai guru dan para sahabat r.a. sebagai murid. Konsep yang sama juga diteruskan oleh para pendukung institusi pondok dan juga meresap masuk ke institusi pendidikan konvensional.

Kelangsungan ilmu yang dipelajari berkait rapat dengan keberkatan dan redha guru. Ini sudah termaktub dalam Al-Quran, di mana darjat orang berilmu diangkat oleh Allah s.w.t. Sudah tentu antara guru dan murid, darjat guru lebih utama, kerana ilmu yang dimiliki mengikut bidang yang dibidangi.

Dan sudah semestinya, dan ilmu persilatan dan buah pukul, konsep ini wajib terus disuburkan, selagi ilmu guru tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Kawan percaya, dalam senibeladiri asing juga, hubungan guru-murid tetap diberi penekanan kerana guru walau apa bidang dan pegangan agama sekalipun, wajar diberi penghormatan.

Malah, berani kawan katakan, antara punca kepincangan institusi kemasyarakatan kita sekarang adalah disebabkan guru tidak lagi dihormati oelh ibu bapa dan murid-murid sendiri. Media-media sudah membuktikan, ibu bapalah yang akhirnya menyumbang kepada kemunduran anak-anak dengan yang terkini, bapa buat laporan polis hanya kerana guru menggunting rambut anaknya. "Kenapa tak bagi amaran dulu? Anak saya sekarang alami kemurungan disebabkan hal itu.", lebih kurang dialognya yang kawan karang sendiri berdasarkan laporan akhbar. Terfikir jugak kawan, bapanya dulu tak sekolah ke, tak tau ke yang bab rambut panjang, guntingan tidak ikut standard termaktub dalam kesalahan tatadisiplin. Sahih buku peraturan beli masa hari pembelian buku langsung tak dibaca.

Berbalik pada kita-kita punya cerita, hubungan guru-murid dalam Lian Padukan.

Kita sedia maklum, bab hormat-menghormati dalam atau luar gelanggang ini adalah sesuatu yang sudah pun terpasak dalam diri, tinggal lagi nak dilatih, nak dibiasakan. Di awal gelanggang lagi, apabila kita buka gelanggang, kita diajak memfidyahkan Al-Fatihah kepada Baginda Nabi s.a.w, ahli keluarga dan para sahabat Baginda, pada ibu bapa, pada guru-guru yang masih ada dan yang sudah meninggalkan kita, dan pada kita-kita sahabat sepelatihan. Kawan maklum, perkara ini jarang berlaku, hanya sesetengah jurulatih yang melazimkan peringatan ini di awal buka gelanggang. Ramainya yang datang terus buka gelanggang, dan terus berpelampas. Kan molek kita mulakan dulu dengan doa dan seterusnya, supaya semangat kekitaan dan penghargaan pada ilmu yang disusuri dari guru-guru terdahulu terus menerus kita suburkan.

Sahabat kawan dari perguruan Gayong pernah bagitau kawan, buka gelanggang mereka dimulakan dengan sedikit peringatan tentang penerima-penerima fidyah bacaan, diteruskan dengan Al-Fatihah, selawat dan Qulhuwallahu ahad. Pujian patut kita berikan pada sahabat-sahabat Gayong kita, dan kawan kira setiap perguruan silat juga punya kaedah buka gelanggang masing-masing. Yang baik, teruskan lah.

Ok, bab hubungan guru-murid. Kita hendaklah menghormati guru atau jurulatih yang mendidik dan mengasuh kita kerana mereka adalah pemegang amanah keilmuan perguruan. Setiap yang disampaikan pada kita pelatih baru adalah apa yang mereka terima dari generasi terdahulu. Seronoknya dalam Lian Padukan, kadang-kala kita akan dapat lebih, lebih dari apa yang mereka terima dari generasi sebelum mereka. Ini mungkin manifestasi kefahaman dan pengalaman yang mereka lalui sendiri sepanjang menuntut dan mengaplikasikan Lian Padukan dalam kehidupan.

Kita juga hendaklah terbuka menerima sebarang teguran atau kritikan, memandangkan kita tidak pernah memulakan sesuatu ilmu dengan kesempurnaan. Cuba kenang kembali jenuhnya nak menguasai Jurus 1. Kekok-kekok perbuatan, sebab tidak pernah dibiasakan sebelum itu. Namun setelah menguasainya, kita pulak seronok mengajarnya pada pelatih-pelatih baru. Kan?

Bab menerima, juga ada adabnya. Dalam perguruan Lian Padukan, tidak ada upacara pelik-pelik menerima murid. Bayar pendaftaran, segala ilmu Lian Padukan layak diterima mengikut masa dan tahapnya. Namun, gelanggang tetap terbuka bagi khalayak yang mahu datang melihat-lihat dahulu, merasa dahulu, manalah tahu Lian Padukan menepati selera atau tidak.

Dan semestinya, perkara yang sama kita warisi dari dahulu hingga sekarang adalah 'sakit'. Sakit dititik adalah sakit yang sama guru-guru terdahulu rasakan. Dan sakit itu juga suatu hari nanti kita wariskan, samada kepada murid kita atau musuh yang masuk ukur berdepan kita.

Bab pengijazahan juga tidak lari dalam institusi Lian Padukan. Pengijazahan adalah pengesahan ilmu yang guru turunkan kepada murid, dan murid sebagai penanggung ilmu tersebut. Pendaftaran dalam persatuan adalah pengijazahan pertama pelatih dalam perguruan, dan perlu diketahui, adanya ilmu-ilmu tertentu yang hanya diijazahkan apabila tiba masa dan ketikanya. Perlu diingat, tiada ilmu rahsia dalam Lian Padukan, hanya kita sahaja samada belum mempelajarinya kerana belum tiba layaknya, atau kita sendiri berat mulut nak bertanya Ayahanda Haji Hasyim. Keilmuan berijazah ini adalah kerana ia memerlukan amanah dalam diri pelatih, yang hanya boleh dinilai setelah sekian waktu kita berLian Padukan. Contohnya, Lian Singkir Tapak Seratus Asmaul Husna.

Memang Lian ini mudah sahaja kita tonton di mana-mana, dan perbuatannya juga mungkin mudah untuk ditiru. Namun, di sebalik setiap perbuatannya, hanya Ayahanda Haji Hasyim sahaja yang layak menerangkan dan menurunkan pada ahli-ahli khatam. Setakat pengetahuan kawan, tidak ada lagi guru atau jurulatih Lian Padukan yang mempunyai kelayakan khusus untuk menurunkan Lian tersebut kepada ahli lain, samada sudah khatam atau tidak. Lian ini adalah amanah khusus kepada setiap ahli khatam yang sudah Ayah letakkan kepercayaan untuk membawa nama Lian Padukan. Jika sebarang-sebarang diceritakan atau diajarkan kepada yang belum sampai waktunya, malah yang bukan ahli Lian Padukan, bermakna pecah amanah sudah berlaku. Adakah lagi keberkatan dan redha guru, apabila amanah yang dijanjikan, dilanggar?

Ini kawan ungkit kerana biasa lihat sendiri dalam forum-forum internet dan fesbuk, ada ahli yang kawan tahu belum dikhatamkan ilmu, sewenang-wenang membicarakan tentang permainan Lian Singkir Tapak Seratus. Walaupun sedikit yang didedahkan, sudah cukup memberitahu adanya yang ketirisan amanah di situ.

Belum cerita lagi bab belot, tikam belakang, pemecah belah ahli. Lagi sedih kalau na dikenangkan. Situasi sama yang berlaku pada hampir semua perguruan silat.

Apa pun, selalu-selalulah menyertakan guru-guru kita dalam doa saban hari. Guru mengaji, guru sekolah, guru memandu, guru buah pukul dan mana-mana guru yang sempat kita tuntuti ilmu berfaedah dari mereka. Hadith sudah menyatakan yang perkara kita bawa pergi hingga ke alam barzakh adalah doa anak soleh, harta yang diinfakkan ke jalan Allah dan ilmu yang bermanfaat. Doa kita pada guru juga dinilai tinggi di sisi Allah, dan '.what goes around, comes around". InsyaAllah, kita juga bakal didoakan kembali oleh murid-murid andai kita juga menjadi guru suatu hari nanti.

Peliharalah adab berguru sebaik mungkin. Jagalah amanah guru sebaik mungkin. InsyaAllah, ada keberkatannya di kemudian hari, kita sedari atau tidak. Malah, boleh jadi juga, walaupun berjenuh belajar buah pukul, kita langsung tak berpeluang bertumbuk menggunakannya, kerana berkatnya ilmu kita pelajari.

Allah lindungi kita dari bala kerana adab yang kita jaga.

Mudah-mudahan, Amiin.....

Thursday 10 April 2014

YURAN - SALAHKAH MENERIMANYA?

"Apa la ambik-ambik yuran. Silat lama-lama tak ambik yuran pun."

"Ni la orang kita, dengan silat pun nak buat duit."

"Yang asli tak terima yuran -yuran ni. Nanti guru tak ikhlas mengajar, duk mengharap duit je."

Banyak lagi la, kalau nak cerita semua.

Bab yuran ni, sudah menjadi persoalan dan penentangan yang agak serius juga dalam jagat persilatan. Sebelum kita bualkan tentang komplen-komplen orang tentang yuran, kita pergi ke kebaikan yuran dahulu.

Kebaikan yuran

1. Menjana kekuatan persatuan. Mudah persatuan nak buat kursus, nak buat majlis, nak beli bahan bantu berlatih, nak jamu makan-makan masa latihan dan sembang-sembang, nak provide aksesori.

2. Sebagai penghargaan pelatih kepada guru dan persatuan. Guru pun ada kerja lain, tanggungjawab lain. Ada tanggungan. Masa yang dikongsi bersama pelatih juga ada nilai. Contoh macam di induk sendiri, Ayah tak berapa sihat, tapi tak pernah berkira masa pun yang diluangkan dengan pelatih. Dari lepas Isyak sampai ke waktu dhuha esok hari. Tak salah kalau keluar sedikit secara berkala bulanan untutk menghargai masa dan ilmu guru.

3. Orang dulu-dulu kemampuannya terhad pada harta, tapi digantikan dengan taat setia dan kederat tenaga. Tolong guru tebas lalang, kutip getah sekerap, bajak sawah. Biasa dengar kan, legend Haji Hamid Sendeng berguru dengan Panglima Kiyai Salleh?

4. Komitmen kita pada diri, guru dan persatuan. Setidak-tidaknya, bila berbayar, kita akan lebih bersungguh-sungguh nak ke gelanggang, sebab mentaliti kita sekarang kan 'value for money'. Bila tak bayar tu yang kehadiran macam biskut chipsmore. Kejap ada, kejap tak ada.

5. Melengkapkan syarat menuntut ilmu, ikut panduan para ulama. Kata Saidina Ali r.a, menuntut ilmu itu bersyarat. Hendaklah cerdas, bersungguh-sungguh, sabar, mengeluarkan biaya, berguru dan panjang masanya. Dengan yuran,  setidak-tidaknya 4 syarat sudah kita penuhi.

Dan lain-lain lagi.

Sekarang kita tengok komplen orang yang anti yuran

Komplen anti yuran

1. Dulu-dulu takde pun sistem yuran ni. Datang belanja kopi ais ikat tepi je, guru dah senyum, dah ikhlas nak ajar.

2. Yuran ni menyusahkan anak murid yang tak mampu.


3. Yuran ni macam jual ilmu pulak, sedangkan ilmu ni tak ternilai harganya,

4. Yuran ni propaganda Yahudi dan Freemason nak jatuhkan orang Islam.

Sekarang pulak, kita jawab komplen-komplen tersebut

Jawapan komplen anti yuran

1. Kau samakan ilmu guru kau dengan kopi ais ikat tepi? Kau samakan masa guru kau berlama-lama sampai subuh dengan kau dengan kopi ais ikat tepi?

2. Guru bukan kejam. Guru la antara manusia paling ikhlas. Biasa dengar tak kisah atlet karate Malaysia yang suatu masa waktu dia budak-budak, dia miskin papa kedana tak mampu nak bayar yuran nak join karate, tapi jurulatih ambik jugak budak ni. Jurulatih keluar duit poket sendiri tanggung belanja yuran, baju seragam, exam naik belt, sampai budak ni mampu berdiri sendiri dan akhirnya jadi wakil Malaysia. Boleh nampak tak, yuran yang sepatutnya dia bayar dah diganti dengan komitmen, kesungguhan dan ketaatan dia berlatih dan akhirnya berjasa pada negara. Komitmen kau kuat macam tu tak? Datang rumah guru yang dah tua, dah sakit-sakit tengah malam, tapi buat lian main-main depan guru. Wakil Malaysia tak? Jadi samseng jugak. Yang sedih, guru jugak... Dah la dapat kopi ais ikat tepi je, anak murid jadi 'samseng' berlaga dalam fesbuk pulak.

3. Bukan jual ilmu, cuma macam dah dibincangkan tadi, berbelanja tu mewakilkan kesungguhan dan komitmen kita nakkan ilmu tu. Kan menuntut ilmu itu bersyarat. Bila kita datang dengan cukup syarat nakkan ilmu guru, kan seronok guru nak mengajar. Cerita bab ikhlas, ikhlas kan datang bila datangnya 'zuk', datangnya puas, datangnya seronok.

4. Kaki baca teori konspirasi dan benda-benda share dalam fesbuk. Siang malam fikir nak mengyahudikan semua benda, padahal fesbuk yang dia main tu pun, yahudi punya.

Apa-apa hal, yuran ni bukanlah jatuh hukumnya wajib. Cuma kalau kita nak persatuan bergerak maju, kita sebagai ahli, sebagai keluarga, tak salah menyumbang sekadar termampu secara berkala. Lagipun, yuran yang ditetapkan setiap persatuan tak lah tahap membunuh pada orang yang mahukan ilmu dari persatuan tersebut. Brazillian Jiu Jitsu yang bertambah sekarang ni, pada kita yang tak nak, memanglah nampak yurannya tak terjangkau akal. Tapi pada yang nak, apa ada hal.

Lagi, bagi yang anti yuran dan mempertikaikan persatuan atau kumpulan lain yang beryuran, tak perlulah nak pertikai-pertikai hal orang. Bila berpersatuan, kita berdaftar pada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Nak kena hantar laporan kewangan, akiviti, minit menyuarat bagai. Ceritanya, bukan mudah nak berpersatuan. Kamu yang bukan ahli persatuan tu, diam-diam sudahlah. Bagi mereka urus sendiri persatuan mereka. Bila mereka maju, kita yang lain-lain dalam persilatan dan buah pukul juga dapat nama baik.

Berbalik ke tajuk, salahkah menerimanya?


Sunday 6 April 2014

DOA RABITAH - MENYATUPADUKAN KEKITAAN LIAN PADUKAN

Hati ini telah bersatu berkumpul diperut bumiMu
Hati ini telah berpadu bersatu memikul beban dakwahMu
Hati ini telah mengikat setia untuk mendaulat untuk mendukung
SyariatMu di alam maya
Maka Ya Allah eratkanlah
Ikatan yang
Maka Ya Allah eratkanlah
Ikatan yang ada

Lirik di atas adalah sebuah nasyid yang sering kami nyanyikan sewaktu kawan bersekolah di sebuah sekolah beraliran agama kira-kira 16 tahun dahulu, selepas berhizib wajib setiap selepas Subuh dan Asar, iaitu  Al-Mathurat susunan  As Syahid Imam Hassan Al Bana. Nasyid tersebut merupakan manifestasi daripada Doa Rabitah yang terdapat dalam hizib tersebut.

Al-Mathurat, apabila dilantunkan secara berjemaah, sungguh-sungguh membangkitkan semangat jihad dalam diri. Jihad bukan hanya bermakna mengangkat pedang, jihad juga adalah segala apa daya yang kita curahkan dalam memperjuangkan agama Allah di muka bumi.

Al-Mathurat adalah zikir-zikir masyhur anjuran Baginda Rasulullah s.a.w di samping ayat-ayat al-Quran yang apabila dihayati makna-makna dan diselami  pengertiannya, akan mendatangkan 'zuk' dalam menyintai setiap amalan yang mendatangkan kebaikan di sisi Allah. Amalkanlah stiap hari, insyaAllah banyak keberkatan yang bakal diperolehi berdasarkan janji-janji nabi yang pernah diriwayatkan bagi setiap wirid.

Kawan petik Doa Rabitah dalam tulisan kali ini, memandangkan ini adalah doa menuntut perjuangan kita diredhai dan menyatukan hati-hati jemaah Lian Padukan sekalian.

Kita selaku ahli Lian Padukan mengetahui secara umum, yang perjalanan kita untuk menyebarluas ilmu Allah, berkongsi kelainan dalam keilmuan buah pukul, dan lain-lain lagi seringkali bertemu onak ranjau yang bukan kepalang. Malah kita sebagai anak-anak juga melihat sendiri tanggungan beban yang dipikul Ayahanda Haji Hasyim dalam mendidik dan memiin kita selama ini.

Maka, apa lagi yang mampu kita bekalkan kepada Ayah dan keluarga kita selain doa dan semangat kekitaan antara kita.

Doa Rabitah ini jugalah yang menjadi amalan ikhwan-ikhwan dalam Ikhwanul Muslimin dalam memarakkan bara semangat perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi. Mereka boleh, kita juga boleh insyaAllah.

Petua membaca doa tersebut, yang selalu kita dengar di mana -mana kuliah, adalah membacanya sambil memejamkan mata membayangkan keseluruhan wajah ahli-ahli jemaah, atau dalam skop kita, Lian Padukan. Kita menuntut penyatuan hati setiap ahli keluarga kita agar tetap hati dan dikuatkan semangat untuk terus bersama mendalami, mendukung dan menyebarluas ilmu persilatan Lian Padukan agar sedikit sebanyak boleh diandalkan untuk membantu perjuangan Islam di kemudian hari.

Apa kata kita cuba amalkan sewaktu buka gelanggang. Biar doa yang dibaca meresap hati-hati kita untuk berlatih lebih bersungguh-sungguh. Takpe tak hafal pun. Selalu-selalu baca, insyaAllah lekat.

Buku Al-Mathurat boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh negara, atau download sahaja di internet. Dalam apps pun banyak jugak. Jadikan amalan untuk kekuatan dalaman. Siap-siapkan diri dari sekarang, kerana amalan-amalan dalam Lian Padukan juga ada terkandung dalam Al-Mathurat.



Friday 4 April 2014

TUNTUTAN PENGAJIAN AGAMA

Dalam pada kita berlatih, hadir ke gelanggang, berpeluh riadah dan menunaikan tugasan tanggungjawab harian, janganlah kita lupa akan sebenar-benar tuntutan dalam menuntut, iaitu menuntut ilmu agama.

Disiplin pengajian dalam ilmu Islam terlalu luas. Tersangat luas untuk diteroka, dan terlalu dalam untuk diselami. Namun, luas atau dalam mana sekalipun pengajian agama Islam, hanya berpandukan Al-Quran dan Hadith, kita tidak akan hilang puncanya. Semakin diteroka semakin cinta, semakin diselami semakin memahami.

Apa pun, dalam menuntut ilmu, janganlah lupa dimulakan dengan Bismillah, al-fatihah dan doa. Banyak diriwayatkan doa-doa masyhur dari Al-Quran dan Al-Hadith yang boleh kita jadikan amalan, di samping doa-doa susunan ulama muktabar yang boleh kita jadikan amalan memulai suatu pengajian. Kita biasa dengan doa yang diajarkan di sekolahan, dan ingin kawan kongsikan suatu doa yang sangat masyhur diamalkan, terutama untuk anak-anak kecil. Biasa dengar bukan, doa Rasululullah s.a.w kepada Ibnu Abbas r.a yang berbunyi:

"Allahumma faqihhu fiddin wa alimhu takwil" yang bermaksud " Ya Allah, faqihkan (cerdikkan) dia dalam hal agama dan alimkan dia dalam takwil (ilmu tafsir).

Sebab itu, ulama-ulama hadith memandang berat setiap periwayatan yang datang dari Ibnu Abbas r.a, kerana khususnya doa Nabi kepada beliau.

Suatu waktu dalam kuliah tafsir hadith yang sempat kawan sertai, guru mengimamkan doa yang berbunyi Allahumma faqihna fiddin wa alimna takwil yang bermaksud Ya Allah, faqihkan kami hal agama dan alimkan kami ilmu takwil.

Meminjam doa Rasulullah s.a.w kepada Ibnu Abbas r.a.

Apa pun, dalam bab menuntut agama, memang berat dugaannya. Ye lah, benda baik, sudah tentu syaitan benci. Sedang kita nak ke gelanggang tuntut ilmu dunia pun di halang-halang, apa lagi ilmu akhirat.

Sebab itu, dalam doa masyhur dari Al-Quran iaitu "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah wa qina azabannar", Imam Hassan Al-Basri diberitakan merujuk 'fid dunya hasanah' yang bermaksud 'kebaikan di dunia' sebagai kelapangan menuntut ilmu dan istiqamah dalam beribadat. Harta juga bagi kita adalah kebaikan di dunia, namun harta dengan ilmu, mana yang lebih tinggi nilainya?

Sempatkanlah diri kita menuntut ilmu agama. Kita yang berLian Padukan, tuntutlah ilmu agama kerana Lian Padukan bukan hanya bercerita bab pukul memukul.

Di hujung nanti, kita akan bercerita mengenai PADUKAN itu sendiri. Pada Allah Diserahkan Untuk Keselamatan Nanti (Akhirat).