Tuesday 27 May 2014

MENILAI KEBERKESANAN 3.0 :SEJAUH MANA SUKAN SENIBELADIRI BERKESAN DALAM SITUASI SEBENAR

"Sport is a byproduct of war". 

Sukan merupakan nyahasil dari perang. Buktinya, kita lihat sahaja sukan kategori olimpik seperti rejam lembing, lontar peluru, lontar cakera, gusti graco roman, memanah, lawan pedang dan lain-lain.

Mulai baris ini, sukan seni beladiri akan kawan tulis sebagai sukan kombat. Glokal sikit bunyinya.

Dewasa ini, sukan yang paling mencanak naik ialah sukan kombat, terutamanya Seni Beladiri Campuran atau Mix Martial Art(MMA). Tidak ketinggalan, sukan kombat sedia ada yang masih mengekalkan bentuk asal sukan tersebut seperti Muay Thai, Silat Olahraga, Tinju, Gusti, Taekwando, Karate dan lain-lain. Sukan-sukan inilah akhirnya yang menjadi tunjang kepada MMA, yang sangat didominasi oleh atlet-atlet berlatar belakangkan Brazillian JiuJitsu (BJJ). MMA diakui sebagai sukan paling pantas berevolusi dari segi undang-undang, teknik dan taktikal, dan sudah pasti, benda yang didalangi USA akan turut maju dari segi promosi dan branding.

Banyak perlawanan-perlawanan ala Vale Tudo seperti yang boleh kita tonton dalam wayang lama seperti The Quest, Blood Sport dan lain-lain, namun yang paling menonjol ialah UFC, yang akhirnya turut merebak ke rantau Asia seperti One FC, Road FC dan terkini di Malaysia, MIMMA yang dapat sokongan padu dari Kementerian Belia dan Sukan. Namun, kalau tanya kawan secara peribadi, K1 dan boxing tetap pilihan hati kerana adanya atlet kegemaran kawan iaitu Buakaw Banchamek dan Manny Pacquaiao. Silat olahraga tidak terkecuali, kerana kawan ada pengalaman secara langsung dalam sukan tersebut.

5 perenggan intro, tak jumpa-jumpa jugak point tajuk. Ini contoh karangan gred C. Ok, evolusi sukan kombat kita cerita hari lain, namun hari ni, kawan nak bawak suatu perborakan tentang sukan kombat vs realiti. Biasa dengar tak dialog-dialog seperti di bawah?

A : Eleh, buat apa belajar silat-silat ni. Gaduh kang koboi jugak.
B : Aku tak minat masuk tournament ni. Tak puas nak tumbuk, nak tendang. Semua bersukat. Gaduh mana ada sukat-sukat. Taram je ikut suka.
C : Aku tak boleh masuk tournament, guru aku tak izin sebab silat aku ni bahaya, pure punya untuk bergaduh. Parah lawan aku nanti.

Cukup la 3. Kita jawab dulu setiap pernyataan.

A : Memang betul kalau gaduh nanti, dalam panik dan adrenaline rush, yang keluar dari kita pada mata kasar orang nampaknya macam koboi. Tapi bagi orang yang mendalami senibeladiri, dari gerak kasar 'nampak koboi' itulah boleh dipecahkan seninya satu persatu. Penumbuk bukan hanya penumbuk. Macam kita sendiri, pengamal Lian Padukan. Bila kita alunkan Jurus dan Lian, nampak segaknya, sajaknya, tegapnya. Tapi bila sungguh-sungguh main buah atau bergocoh, yang keluar buahnya berturut-turut, berdas-das. Pada mata kasar orang lain, nampak kekoboiannya (teruk sangat tatabahasanya). Namun pada kita, kita boleh lihat pola Jurus dan Lian yang disertakan dalam gerak kita. Ia juga didasari oleh pegangan kita, iaitu 'hendaklah mendulu jangan menunggu, BERTALU-TALU agar tak tualu', konsep 'tidak bermalam' dan 'diam-gerak-gayang-ruat'.

B : Tak minat masuk tournament, tapi minat bergaduh je. Mentaliti yang ni, memang kena perbetulkan. Ini ikhlas kawan cakap. Ramai kedapatan pengamal buah pukul berpegang yang ilmu ini hanya berkisar bertumbuk dan bergaduh. Itu pendapat masing-masing. Tapi bagi kawan, secara peribadi, kalau kita mahu ilmu buah pukul dikategorikan sebagai 'ilmu senibeladiri', fokus hendaklah lebih kepada pembinaan insan itu sendiri. Ilmu yang diterapkan hendaklah mengenai disiplin, pembinaan sahsiah, keteguhan tauhid, fekah dan akhlak serta lain-lain. Ilmu senibeladiri itu luas, terlalu luas. Jangan dikecilkan skopnya hanya pada bertumbuk dan bergaduh. Ilmu senibeladiri sepatutnya mampu menjadi benteng kepada kita dari berbudaya samseng, bukan menjadikan kita sebagai samseng. Dan sukan kombat adalah antara medan terbaik dalam melatih jiwa kepahlawanan dalam diri kita. Latihannya, disiplinnya, penghayatannya, kepatuhan kepada peraturan dan lain-lain nilai positif.

C : Yang ni, kita boleh andaikan yang gurunya syok sendiri. Cuba fahami matlamat sukan kombat, iaitu SUKAN itu sendiri. Sukan merupakan medan untuk kita mengasah bakat dan keyakinan pada tempat yang betul. Seseorang yang mempelajari ilmu senibeladiri, secara sedar atau tidak, mempunyai keyakinan diri yang agak tinggi. Apabila gagal disalurkan dengan betul, terbitlah ego yang tidak tentu hala. Pantang berlaga bahu sikit, nak bertumbuk. Apa punya gila. Maka, sukan kombat merupakan saluran yang sesuai untuk mengalirkan tenaga positif hasil pembelajaran senibeladiri. Dalam sukan kombat juga, kemenangan dengan kaedah yang menepati peraturan pertandingan merupakan target utama. Mencederakan lawan tanpa tujuan bukan faktor utama pertandingan. Yang dinilai adalah kemahiran, hasil disiplin dan latihan berterusan.

Begitulah lebih kurangnya tentang sukan kombat dalam menjawab prejudis ABC tersebut. Sekarang, kita cuba pula bualkan berkenaan sukan kombat dalam situasi sebenar seperti pergaduhan jalanan, berhadapan jenayah dan lain-lain. Seperti yang kita maklum, sukan kombat bolehlah dikategorikan kepada full contact, ground fight, point fight dan lain-lain. Karate misalnya, menekankan aspek kesempurnaan teknik dalam pengumpulan markah (yang bukan kyokushin). Taekwando juga begitu, serangan menepati sasaran menghadiahkan mata. Tak terkecuali, silat olahraga yang mana jatuhan menghasilkan pungutan mata yang besar, selain tumbukan dan tendangan yang menepati sasaran terpilih. MMA pula, seperti yang kita tonton di UFC, turut menggunakan kutipan mata dalam mencari pemenang andai tiada tap out atau KO.

Bagaimana pula jika di situasi sebenar? Dikepung penjenayah atau diperas samseng jalanan. Apabila langkah 1000 bukan lagi pilihan yang ada, hadapilah dengan ilmu. Perkara yang dilatih untuk sukan kombat boleh digunapakai, dengan sedikit modifikasi. Samada sukan kombat atau situasi sebenar, perkara seperti timing ( jangkaan masa), distancing (jangkaan jarak) accuracy (ketepatan),speed ( kepantasan), endurance (daya tahan), kawalan emosi dan intelek tetap sama digunakan. Malah, kelebihan berpihak pada atlet sukan kombat kerana melalui disiplin dan latihan yang keras, semua yang tercatat tadi sudah diprogramkan secara langsung pada diri. Tinggal lagi, di situasi sebenar, sasaran bahaya yang dihadkan dalam sukan kombat sudah tidak dihadkan lagi. Setiap vital point pula menjadi sasaran menentukan survival dalam pertarungan.

Tak dinafikan, adanya atlet sukan kombat yang kecundang di pertarungan jalanan dengan jaguh jalanan yang tidak pun belajar senibeladiri, namun ketagih merasai sensasi pukulan membenam batang tubuh lawan. Itu nanti kita cerita lagi di tajuk lain.

No comments:

Post a Comment