Thursday 22 May 2014

MOTIVASI 3.0 : KENAPA MEMILIH LIAN PADUKAN?

Pernah tak tanya diri sendiri, kenapa aku belajar Lian Padukan? Apa yang ada pada Lian Padukan? Kenapa aku memilih untuk terus bersama Lian Padukan?

Dan macam-macam soalan lagi yang boleh diolah, dengan maksud yang lebih kurang.

Kawan nak bercerita dari perspektif peribadi kawan sendiri, dan kawan percaya masing-masing mempunyai cerita tersendiri apabila memilih Lian Padukan sebagai martial art pilihan.

Sebelum itu, kawan awalkan dengan penafian. Tulisan ini bukanlah menidakkan mana-mana senibeladiri. Ini hanya perkongsian cerita sebab-sebab kawan memilih Lian Padukan, dan memandangkan kita demokrasi dalam memilih, pilihlah ikut citarasa masing-masing.

Asalnya kawan tulis bagaimana kawan jumpa Lian Padukan. Panjangnya ya rabbi, berjela. Sampai sendiri baca pun menyampah. Ni kawan padam, kawan tukar approach, bagi lagi simple.

Sebab pertama kawan memilih Lian Padukan ialah, ia menepati citarasa kawan. Di usia kawan yang sudah melebihi suku abad, dah masuk awal 30an, kawan tidak lagi larat nak berguling, menghambur bagai. Apa yang kawan perlukan ialah permainan yang mudah, yang lebih direct, straight to the point. Ceritanya berkisar pukul, pukul, pukul. Pun begitu, pelajaran lain seperti kuncian, gelutan dan lain-lain tetap ada, mengikut huraian kefahaman.

Ya, kefahaman. Inti pelajaran Lian Padukan ialah kefahaman. Semua gurulatih menekankan aspek kefahaman dalam berLian. Bukan semata-mata hafalan. Awalnya, memang kita kena tiru dan hafal gerak yang ditunjukkan gurulatih dan senior, namun sikit demi sikit, apabila kita mula menguasai psikomotor sesuatu gerak, kita mampu bergerak secara spontan dan mengolah kefahaman, malah permainan sendiri berlandaskan gerak yang sudah dibebaskan oleh Lian Padukan.

Lian Padukan membantu kawan membebaskan gerak dan mengutamakan praktikaliti berbanding fancy-fancy. Sewaktu peringkat jurus dan lian, memang kita berlatih gerak kawad dan rigid yang sudah dipatternkan, mengikut kehendak lian tersebut. Namun, melalui latihan, jurus dan lian menyepadukan gerak senjata lapan kita dalam bergayang, menunjukkan jalan menyudahkan 'kerja' memukul. Jurus dan lian menghidupkan senjata lapan kita untuk bebas bergerak. Kita juga mampu mengolah permainan trademark sendiri untuk dijadikan andalan seperti pukulan, kuncian, bantingan dan lain-lain.

Silibus Lian Padukan juga tidaklah banyak, dan tidak diada-adakan untuk dibanyakkan. Rata-rata aliran buah pukul memang begitu. Pelajaran yang termaktub ringkas, padat dan semuanya mempunyai tujuan dan kegunaan dalam beladiri. Bukan semata-mata untuk visualisasi. Dalam Lian Padukan, silibus wajibnya didasari oleh 4 Jurus dan 16 Lian, belum termasuk lian-lian asing, lian khatam dan lain-lain pelajaran tambahan. Tak lah banyak mana, dan tidak memakan masa. Tinggal lagi, nak mahir, latihan hendaklah digiatkan, tidak hanya bergantung di gelanggang semata-mata.


Suasana pembelajaran juga membuatkan kawan tegar bersama Lian Padukan. Rata-rata gurulatih dan senior tidak berkira dalam berkongsi pelajaran, semata-mata mahu memahamkan pelatih. Kalau yang diajar tu Jurus 1, semua aspek dalam jurus tersebut akan diturunkan tanpa simpan-simpan, sehingga kita merasakan jurus itu sahaja sudah cukup untuk dibuat bekalan.

Tak hanya cerita bab bertumbuk. Pelajaran dalam Lian Padukan juga dipenuhi dengan nasihat menasihati. Pelatih yang belajar Lian Padukan terdiri daripada pelbagai latar belakang kerja dan kehidupan. Maka, pengalaman masing-masing banyak membantu dalam penambahan pandangan kehidupan sesama ahli. Yang pandai agama, akan berkongsi tentang bab-bab agama. Yang pandai berniaga, akan berkongsi tips-tips perniagaan. Yang terkapai-kapai tak punya tujuan, akan dibimbing rakan-rakan ahli hingga hidupnya berarah kepada kebaikan.

Setiap pelatih Lian Padukan juga mewarisi secara turun temurun sesuatu yang sangat berharga, iaitu 'sakit'. Sakit dititik, dipukul, dihempas jatuh akan diwariskan pula kepada pelatih seterusnya, dan itulah yang berlaku terus-menerus. Maka, redha-meredhai sangatlah dituntut. Di waktu itu datangnya ikhlas dan puas.

Camne? Tak lah menarik mana cerita kawan, kan. Nampak Lian Padukan lebih tidak menarik pulak jadinya di tangan kawan. Namun itulah pilihan kawan. Walaupun kawan ada mempelajari lain-lain seni beladiri sebagai bekalan dan sekadar pengetahuan, namun Lian Padukan yang kawan 'gigit' seteguhnya dengan gigi geraham. Walaupun selalu ditidakkan dan dijahatmulutkan oleh banyak pihak, inilah pilihan kawan.

Kami ahli Lian Padukan sudah pun berjalan di atas laluan yang tidak rata, tidak selesa, penuh ranjau onak berduri, dilempar kata umpat nista.Namun, inilah pilihan kami.

Kami bangga sebagai ahli Lian Padukan.


No comments:

Post a Comment