Sunday 18 May 2014

MEMAHAMI LIAN 4.0 : GELEK

Sebagai pengamal buah pukul, khususnya Lian Padukan, antara perkataan dan pelajaran yang palin disebut-sebut ialah GELEK.

Merujuk carian di website Pusat Rujukan Persuratan Melayu, berdasarkan maksud yang tersenarai dalam Kamus Pelajar Edisi Pertama, gelek ialah 4. menggerakkan badan ke kiri dan ke kanan berganti-ganti; melenggok-lenggokkan badan ketika menari atau berjalan dll. 5. mencondongkan badan ke samping utk mengelakkan pukulan dll. (copy paste).

Dalam senibeladiri serata dunia, gelek adalah antara pergerakan utama yang diajarkan. Seni Silat sendiri mengutamakan perbuatan gelek dalam permainannya. Maka, berdasarkan Lian Padukan yang kawan pelajari, kawan spesifikkan setakat kefahaman kawan. Lain-lain huraian minta dirujuk dengan gurulatih berhampiran.

Secara terperinci, melalui sukatan pelajaran Lian Padukan, gelek diperkenalkan kepada pelatih di Lian Peringkat Pertama, sesudah pelatih memahiri peringkat Jurus. Lian Peringkat Pertama iaitu Lian Gelek Dua Belah memperincikan perbuatan gelek dalam melapis serangan-serangan bersifat jurus atau sehala. Itu pun baru satu muka lian. Kalau diikutkan, permainan lian ini melibatkan penguasaan pelatih menghadapi sayembara dikelilingi lawan dari mana-mana bahagian. Tapi kita kecilkan skop supaya lebih mudah dicerna.

Antara fungsi perbuatan gelek ialah untuk mengalihkan daya tujahan, lejangan atau momentum musuh, selain mengelak serangan atau pukulan. Kita sedia maklum, setiap kita adalah unik dan tersendiri dari segi saiz dan jisim fizikal. Kalau diikutkan yang besar mengalahkan yang kecil, sampai bila-bila pun dunia tidak akan adil. Maka, yang kecil hendaklah menambahbaik kemahiran untuk mengatasi yang besar, dan antara jalannya ialah dengan menguasai gelek. 

Bayangkan, apabila berlaku perlagaan yang melibatkan samada kita mendulu musuh menunggu, atau kita menunggu musuh mendulu, atau sama-sama mendulu (mendatang), berlaga secara sehala akan melibatkan faktor kekuatan, kepantasan, timing, ketepatan dan lain-lain. Maka, cara terbaik untuk mengalihkan atau menyerap daya serangan musuh yang kita tak terlayan ialah dengan bergelek. Gelek juga menepati petua persilatan iaitu 'tumpang kederat' dan 'membujur lalu melintang patah'.Kalau sama-sama menunggu pulak, camne cerita? Elok ajak pergi kedai kopi, minum-minum layan wrestling lagi baik.

Kalau kita ikuti permainan Wing Chun, mereka sangat menekankan konsep 'centre line'. Pertembungan sesama 'centre line' tidak akan memenangkan yang lemah, maka mematikan 'centre line' dengan cara meneutralkan 'centre line foundation' sangat membantu dalam mengalahkan lawan. 

Pernah kawan menziarahi gelanggang sebuah aliran buah pukul yang berasal dari Melaka, agak terkenal gurunya di arena persilatan tanah air. Dengan hanya gelek, beliau menunjukkan kaedah memukul musuh tanpa mengalihkan tapak sedikit pun. Sangat sesuai digunakan di tempat sempit. Beliau juga menunjukkan cara menyampaikan penumbuk ke sasaran dengan lebih padu melalui gelek. Walaupun berlainan pendekatan, kawan terima sebagai ilmu yang sangat bernilai untuk dimanfaatkan.

Dalam Lian Peringkat Pertama, kawan ambil Lian Satu sebagai contoh, perbuatan gelek ditunjangi oleh peralihan tapak. Di waktu bergelek, kita sebenarnya mengalih tapak jurus ke arah yang lain (perhatikan betul-betul kisaran tapak kaki) semasa kita menyambut atau menumpang kederat musuh (konsep 'datang disambut'). Selepas gelek, kita hendaklah melanjutkan kerja (tidak bermalam) dengan secepat mungkin, samada masuk buah-buah jurus jika musuh tidak sempat melapis (balik diturut) atau gelek sekali lagi sebagai alternatif sekiranya kita pula yang dilapis (dekat direbut). Lapis-melapis akan terus berlaku hingga ke peringkat gelut dan pantas tewas. Latihan yang berterusan akan membantu kita menghidupkan senjata lapan supaya hidup bergayang lima.

Gelek secara kesukanan melibatkan penggunaan otot abdominal dan oblique. Oleh yang demikian, selain latihan lian, latih juga kawasan 'core muscles' agar perbuatan gelek kita lebih mantap dan berkesan. Ini boleh dilakukan melalui latihan-latihan kecergasan bersifat kalistenik atau weight training seperti oblique twist, kettlebell swing, chin up pull up, plank dan lain-lain lagi.

Tapak juga hendaklah kemas dan kukuh. Bergelek tanpa kedudukan tapak yang kukuh boleh mengakibatkan kita yang jatuh. Antara cara terbaik melatih kekuatan lower body muscle ialah squat kicking yang kita duk latih di gelanggang. Jangan hanya di gelanggang, jadikan juga amalan di rumah. Kaum suami, ini senaman feveret kita sepatutnya.

Apa pun, ini sekadar catatan kawan, setakat pengetahuan kawan yang terhad. Jika tidak menepati selera mana-mana pengamal dan pelatih, maafkan kekurangan kawan dalam menggali dan memahami khazanah Lian Padukan. Yang penting, keterhadan yang kita ada itu, jadikanlah pemangkin untuk kita lebih bersemangat berlatih, berguru dan mengkaji agar ilmu yang kita ada bakal menyinari kehidupan kita kelak.

Sekian perborakan kawan. Lain-lain hal, kita cerita hari lain. Wassalam.

No comments:

Post a Comment