Monday 12 May 2014

MERAIKAN PERBEZAAN

Kawan pernah mengikuti sebuah seminar berkenaan pelancongan di Shah Alam, kira-kira tahun 2009. Pada tahun itu juga, tema sambutan Hari Pelancongan Sedunia ialah 'Celebrating Diversity', atau meraikan kepelbagaian.

Pertamanya, mari kita ikuti ayat 13 Surah Al-Hujurat:

"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan serta Kami telah menciptakan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenal dan (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya."

Berdasarkan di atas, dapatlah kita pastikan bahawasanya antara cara Allah  S.w.t menyatakan kekuasaanNya ialah melalui penciptaan lelaki dan perempuan, malah dipelbagaikan lagi dengan perbezaan bangsa yang merangkumi kelainan budaya, warna kulit, bahasa, cara berfikir dan..... masyaAllah, terlalu banyak untuk diceritakan.

Subhanallah...

Maka, kita kecilkan kotak perborakan kita ke ruang lingkup senibeladiri, supaya lebih terhad, sesuai dengan terhadnya daya upaya kita sebagai manusia yang tak punya apa.

Untuk menyenaraikan nama-nama senibeladiri yang wujud di dunia ini sahaja, sudah tidak terdaya dek jari jemari. Terlalu banyak, sesuai dengan banyaknya jumlah bangsa yang wujud di muka bumi. Itu pun kita berhipotesis mudah yang setiap bangsa mempunyai kaedah beladirinya yang tersendiri.

Maka, kita terhadkan lagi ke jagat Melayu, dengan senibeladiri silat. Subhanallah, silat sahaja sudah terlalu banyak untuk dinamakan senarainya. Bangsa Melayu, atau Austronesia yang merupakan bangsa yang dikenali dunia, mempunyai sub-bangsa atau suku terbanyak di dunia. Pun tak mampu nak disenaraikan tanpa rujukan ilmiah di sini. Kita andaikan yang setiap suku mempunyai kaedah beladiri atau silat tersendiri. Belum masuk lagi orang persendirian yang mengolah kaedah tersendiri dalam membeladiri dari ancaman.

Banyak sangat? Ok, kita ke buah pukul Syed Abdul Rahman Al-Yunani. Pun macam-macam nama, macam-macam kaedah, macam-macam cerita, macam-macam gaya. Apa tandanya tu? Perpecahan kah?

Tidak, melainkan semua perbezaan itu adalah dalam meraikan kekuasaan Allah s,w.t.

Kita maklum bahawa setiap unit individu adalah unik lagi tersendiri. Baca-bacalah tulisan Pendeta Zaaba, legenda persuratan Melayu yang mendahului zaman dalam 'Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri'. Beliau menyatakan bahawa setiap apa yang dilakukan insan, adalah tanggungjawab insan itu sendiri. Baca lagi kalau nak tahu lanjut.

Maka, dalam buah pukul, sesuatu yang mungkin menjadikan kita pengamalnya lebih unik adalah kefahaman. Buah pukul, pada pandangan peribadi kawan, bukanlah sesuatu yang difotostat bulat-bulat dari guru.

Kita yang hidup hari ini, tidak ada seorang pun yang menjadi saksi hidup menyaksikan bagaimana Datuk Awang Daik dan Pak Long Mat Yasin menerima ilmu buah pukul dari Syed Abdul Rahman Yunan. Maka, apa yang tinggal untuk kita adalah riwayat-riwayat yang pelbagai matan, yang diturunkan kepada kita melalui guru-guru yang bersanad. Memandangkan guru-guru juga adalah manusia, tidak dapat tidak, proses pembelajaran yang berlangsung sedari dahulu hingga kini akan menerbitkan kepelbagaian dalam gerak gaya dan kefahaman.

Oleh yang demikian, perkara yang masih lagi membingkai (framing factor) permainan buah pukul yang pelbagai aliran ini tidak lain adalah, petua dan rahsia pukul. Petua-petua dan rahsia-rahsia ini adalah adunan kefahaman dan pengalaman guru-guru terdahulu yang sentiasa sama hingga ke tangan kita, tinggal lagi gerak gaya dan silibus kita mungkin berbeza-beza.

Siapa dalam aliran buah pukul yang boleh menafikan syarat berdiri, ukur jangka, diam gerak gayang ruat, senjata lapan gayang lima, dan lain-lain lagi? Itulah sebenar-benar kesepaduan antara kita.

Terimalah perbezaan seadaanya,.

No comments:

Post a Comment