Thursday 8 May 2014

BUDAYAKAN MEMBACA

Dalam menuruti arus ombak pembangunan yang semakin buas menghempas, tidak boleh tidak, kita hendaklah menempatkan diri dalam bahtera peradabn dan keilmuan. Antara kemudi terbaik selain berguru adalah membaca buku.

Kita sebagai warga buah pukul amnya dan Lian Padukan khususnya, tidak boleh tidak, wajib memastikan diri sendiri dan keluarga berbudaya dengan budaya membaca. Tidaklah hanya kita tau ilmu bertumbuk, ilmu-ilmu lain pun kita kena gali sama. Dan kalau kita fokuskan pada bidang senibeladiri, sangat banyak bahan bacaan yang boleh membantu kita sedikit sebanyak membuka minda akan luasnya ilmu yang Allah s.w.t kurniakan kepada manusia.

Ok, kawan ajak semua ke skop lebih kecil dahulu, yang lebih lokal. Di Malaysia, kita sebenarnya agak terhad sumber bacaan bercetak yang bertemakan senibeladiri. Antara yang paling umum diketahui adalah maljalah Seni Beladiri yang diterbitkan oleh Saudara Azlan Ghanie. Selain itu, lain-lain bahan bacaan bertema senibeladiri yang diketahui ialah Silat Tua : The Malay Dance of Life (Pak Cik Zainal Abidin dan Nigel Sutton), Tempur Tangan Kosong - TETAK (Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia), Senaman Silat Jiwa Sihat Untuk Semua (Ajar-ajar Megat Ainuddin), Seni Silat Melayu - Sejarah, Perkembangan dan Budaya, dan lain-lain. Setakat ini, senarai di atas adalah antara  yang kawan ada. Ada lagi juga buku yang dikeluarkan secara internal oleh perguruan-perguruan tertentu, yang mungkin susah diperolehi oleh yang bukan ahli.

Kita kembalikan diri kita dengan bacaan utama umat Islam, dengan ayat terawal yang disampaikan kepada Junjungan Mulia kita, Rasulullah s.a.w yang membawa maksud,

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan."

Surah Al-Alaq ayat 1.

Berdasarkan petikan ayat di atas, kita difahamkan oleh guru-guru tentang kepentingan menuntut ilmu yang kuncinya adalah membaca. Awal-awal perintah lagi Allah s.w.t sudah menuntut kita mencari ilmu dan membaca. Oh ye, iqra' yakni 'bacalah' itu juga mempunyai takwilan yang lebih luas, lebih dari sekadar 'baca' yang kita faham. Untuk memperolehi takwilan tersebut, kawan sarankan pembaca merujuk pada yang ahli dalam tafsir Al-Quran melalui pengajian kitab di masjid-masjid atau pondok yang terdekat.

Dalam senibeladiri, selain bahan bacaan yang kawan senaraikan, banyak lagi terbitan yang boleh kita dapatkan, rata-rata adalah terbitan antarabangsa. Antaranya ialah Black Belt Magazine, Seni Silat Gayong - The Malay Art of Self-defense, The Way of Warrior, The Essences of Aikido dan banyak lagi. Sangat banyak, dengan watak paling banyak dikaji dan dibaca penulisan dan pemikirannya ialah tak lain tak bukan, the late Bruce Lee.

Kawan juga ada memiliki bahan bacaan bercetak berkenaan Brucee Lee yang kawan dapatkan di MPH, dan lebih banyak melalui download pdf di internet. Walaupun banyak yang didakwa-dakwikan berkenaan mendiang, kawan tetap kagumi semangat, disiplin, rejim latihan dan kepakaran berbahasa yang beliau miliki. Falsafah 'be like water' adalah antara pegangan kawan, yang apabila kawan kaji, juga memiliki persamaan dengan falsafah yang tertulis dalam The Book of Five Rings nukilan legenda pemedang seantero dunia, Miyamoto Mushashi. Kawan sedang dalam usaha untuk menterjemahkan tulisan Miyamoto Mushashi (yang sudah diinggeriskan) ke Bahasa Melayu dan cuba menemukan silang kefahaman antara Five Rings dengan falsafah Lian Padukan, sekadar sebagai tambahan ilmu buat kawan dan insyaallah akan kawan kongsikan dengan semua. Cuma, ini akan ambil masa, memandangkan kawan sendiri masih mendalami Lian Padukan.

Akar kepada tulisan kawan hari ini ialah, kawan nak ajak pembaca supaya membaca bahan-bahan ilmiah untuk meningkatkan kefahamn dan penguasaan kita dalam apa jua lapangan. Kalau kita yang berLian Padukan, bebaskan diri kita untuk terus mengkaji dan mempelajari kepelbagaian senibeladiri dunia. Insyaallah, penambahan ilmu dan pengalaman tidak pernah mengecewakan kita. Juga, rujuk-rujuk pada gurulatih kita, terutama Ayah tentang Nukil Buah Pukul yang menyimpan khazanah yang bukan kepalang. Kaji kata-kata hikmah buah pukul yang kawan tengok banyak disebarluaskan di internet. Takwilkannya dengan guru buah pukul terdekat.

Dan jangan tinggalkan langsung, paling tidak sehari sekali baca, bacaan paling utama. Gedung segala ilmu. Gedung segala hikmah. Mukjizat teragung Allah s.w.t turunkan pada Nabi pilihanNya yang utama, Rasulullah s.a.w.

Al-Quran.

Kitab yang menjanjikan cahaya pada hati kita. Semakin dibaca, hati semakin terang, insyaAllah. Handal bertumbuk berpukul, banyak membaca macam-macam bacaan, kalau yang satu ini ditinggalkan, tiadalah ertinya.

No comments:

Post a Comment